Khamis, Februari 17, 2011

Amaran jangan salah guna logo, nama SC

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) meminta orang ramai supaya berhati-hati terhadap penggunaan logo dan nama SC tanpa kebenarannya dan disalahgunakan untuk tujuan promosi mana-mana laman web, produk atau program pelaburan.

SC mendapati www.kuasaforex.com telah menggunakan identiti korporat suruhanjaya itu dalam laman web tersebut bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan yang berkaitan dengan dagangan mata wang asing.

SC menegaskan pihaknya tidak sekali-kali mempunyai kaitan dengan laman web tersebut atau pengusahanya.

Malah, SC telah memasukkan laman web tersebut dalam senarai Amaran Pelabur dan akan mengambil tindakan wajarnya berhubung dengan penggunaan nama SC yang tidak diberi kebenaran dan mengelirukan itu.

Penipuan boleh dibuat melalui peluang pelaburan yang nampak menarik atau skim pelaburan dalam talian.

Ia juga boleh dibuat dengan penipuan sebagai program pembelajaran atau latihan.

Skim itu ada kalanya mendakwa telah mendapat kelulusan atau persetujuan pengawal selia.

Orang ramai adalah diingatkan bahawa SC tidak pernah meluluskan sebarang promosi laman web atau produk atau program pelaburan.

Senarai syarikat dan individu yang dilesenkan oleh SC untuk menjalankan aktiviti pelaburan, termasuk menyediakan khidmat nasihat pelaburan, boleh didapati di laman web SC di www.sc.com.my.

SC juga ingin menasihati orang ramai bahawa aktiviti yang berkaitan dengan dagangan pertukaran mata wang berada di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia dan memerlukan kelulusan bank tersebut.

Bagi maklumat lanjut mengenai dagangan forex, orang ramai dinasihati supaya menghubungi bank pusat di talian 1-300-88-5465 atau melalui e-mel di bnmtelelink@bnm.gov.my.

Sesiapa yang menemui mana-mana laman web atau emel atau sebarang maklumat di Internet yang berkaitan dengan nasihat pelaburan atau perkhidmatan yang berkaitan dengan sekuriti yang diragui, perlu memberitahu SC di talian 603-62048999 atau e-mel di aduan@seccom.com.my.

Orang ramai juga boleh menulis kepada Hal Ehwal Pelabur & Pengaduan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 3 Persiaran Bukit Kiara, Bukit Kiara 50490 Kuala Lumpur dan faksimile 603-62048991.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts