Ahad, Januari 02, 2011

Soal Jawab: Kaedah rundingan di mahkamah jimat masa, kos

Baru-baru ini, Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi mengumumkan kaedah ‘plea bargaining’ atau rundingan bagi pengakuan bersalah untuk kurangkan pertuduhan dan hukuman terhadap tertuduh sesuatu kesalahan jenayah akan dilaksanakan di mahkamah Malaysia tidak lama lagi, namun masih ramai tidak tahu apa sebenarnya kaedah itu serta natijahnya. Wartawan Edisi Mingguan, ROHANIZA IDRIS dan MOHD AZIS NGAH bertemu bekas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Salehuddin Saidin dan Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan untuk mengulas perkembangan terbaru ini.

Apa sebenarnya kaedah rundingan pengakuan bersalah ini.

Ia bertujuan memudahkan perbicaraan kes jenayah ringan, bukan kes bunuh atau Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. Prinsipnya apabila seseorang mengaku salah, mahkamah tak perlu buang masa bicara, sebaliknya terus jatuhkan hukuman. Ia jimatkan masa mahkamah dan mengurangkan beban kos ditanggung rakyat. Lebih 90 peratus kes dibicarakan mahkamah jenayah adalah kes ringan misalnya maki hamun atau curi. Kalau kes berat, sudah tentu pendakwa tak akan setuju.

Sebelum pindaan ini, kaedah sama ada diguna pakai di mahkamah, tetapi disebabkan tidak dibuat secara rasmi mengikut undang-undang, hakim kadang-kadang tak bersetuju dengan cadangan itu. Kadang-kala pendakwa tak mahu bekerjasama bagi mengelak salah tanggapan misalnya dituduh berat sebelah atau menerima rasuah kerana membenarkan tawaran. Bagi mengelakkan salah tanggapan itu, mereka tidak bersetuju guna pendekatan tawaran. Ada mahkamah berikan syarat tertuduh boleh buat akuan tetapi keputusan penuh masih di tangan hakim, maknanya tiada jaminan tempoh hukuman. Walaupun pendakwa raya bersetuju pinda tuduhan bunuh kepada bunuh tanpa niat, mahkamah boleh benarkan pengakuan tetapi hakim tegaskan hukuman akan ditentukan kemudian. Jadi, sebagai peguam bela dan tertuduh, mereka tidak pasti berapa tahun akan dipenjarakan kerana hukuman bunuh boleh penjara enam bulan hinggalah 20 tahun.

Tertuduh akan takut nak buat permohonan pengakuan dan peguam bela tak akan nasihatkan anak guam mereka terima kerana tiada jaminan keputusan hukuman akan lebih ringan walaupun hakim bersetuju dengan pengakuan. Melalui pindaan ini, apabila tertuduh mengaku bersalah, pendakwa raya boleh pinda tuduhan. Misalnya kes pergaduhan menyebabkan kematian, mereka akan didakwa atas tuduhan bunuh tetapi pendakwa raya boleh pinda tuduhan kepada bunuh tanpa niat kerana hukuman berbeza, iaitu antara enam bulan hingga 20 tahun. Melalui pindaan kanun acara jenayah, hukuman maksimum ialah 10 tahun, jadi orang yang mengaku bersalah boleh terima hukuman itu, bergantung kepada mereka untuk terima atau tidak. Mereka perlu fikirkan nak teruskan perbicaraan yang memungkinkan mereka dibebaskan atau akan didapati bersalah hingga dipenjara 20 tahun atau menerima pengakuan dengan maksimum hukuman 10 tahun.

Bagaimana kesan kaedah ini kepada tempoh penyelesaian kes pendakwaan.
Sebelum pindaan, perbicaraan kadang-kadang ambil masa tiga hingga lima tahun. Orang kena tuduh yang direman akan berada dipenjara, jika diikat jamin mereka boleh bebas sementara. Ada kes direman sehingga enam tahun. Sepanjang tempoh itu, saksi perlu hadir setiap kali perbicaraan dan membabitkan kos ditanggung kerajaan. Saya ingin tegaskan bahawa ini bukan kaedah untuk melepaskan orang bersalah. Kaedah ini cuma babitkan kes kecil di mana pendakwa raya menimbang keterangan mengurangkan pendakwaan tetapi hak mutlak bergantung kepada mereka. Keduanya, saya percaya pendakwa raya akan turunkan dakwaan sewenang-wenangnya. Contoh kes, seseorang didakwa mencuri secara kekerasan menggunakan pisau, mengaku bersalah mencuri tetapi memohon kepada pendakwa raya bahawa dia cuma cucuk pen pada mangsa untuk menakutkannya. Jadi, tertuduh merayu supaya pendakwaan dikurangkan kepada kes curi tanpa senjata.

Sejauh mana pula kesannya kepada usaha mengurangkan kes tertunggak dan kos serta menjimatkan masa mahkamah.

Mengikut anggaran Majlis Peguam, kaedah itu mampu selesaikan 20 hingga 30 kes ringan tertunggak. Contohnya tuduhan membunuh dengan memandu secara berbahaya. Peguam Negara akan tentukan kepentingan awam diutamakan, jadi tidak timbul isu kaedah ini bertujuan nak bebaskan orang bersalah atau nak menggalakkan jenayah. Rayuan itu hanya dibenarkan kepada pesalah pertama saja. Kesalahan kedua atau lebih tidak layak membuat permohonan. Ia memang terhad dan jika kes bunuh tanpa niat dikurangkan, pesalah tetap dipenjara 10 tahun, bukan dibebaskan. Kaedah ini layak diguna pakai untuk semua kes Kanun Acara Jenayah termasuk juvana, imigresen, alam sekitar, cetak rompak, tidak termasuk kes sivil seperti saman malu. Dari segi kos, ia mengurangkan beban rakyat misalnya kos saksi yang berulang alik ke mahkamah. Semua kos itu ditanggung kerajaan kerana saksi dalam senarai pendakwa raya perlu dibayar dan tempoh bersidang juga perlu diambil kira sebagai kos.

Jika perbicaraan dipendekkan atau langsung tiada, tidakkah ia menjejaskan pendapatan peguam.

Jika dilihat berdasarkan kepentingan peguam, mungkin sedikit menjejaskan pendapatan mereka tetapi Majlis Peguam lebih melihat kepada kepentingan awam, kepentingan sistem keadilan jenayah. Itu satu perkara yang kita boleh terima dan anggap sebagai keperluan serta perkembangan yang mesti ada dan diamalkan.

Dari segi pendapatan, ia terlalu kecil berbanding perkembangan dan sistem keadilan kes. Hak peguam, hak ikat jamin, hak dapatkan bicara yang adil, itu juga diambil kira dan semuanya penting. Kadang-kadang tertuduh memang bersalah berdasarkan fakta dan bukti, tetapi tidaklah boleh dianggap dia bersalah hingga langsung tak boleh diturunkan (hukuman) jika dia mengaku salah. Apa akan jadi jika dia didapati tak bersalah sedangkan kita habiskan masa beberapa tahun dan panggil berpuluh saksi. Kos sudah dibayar sepanjang perbicaraan dan akhirnya tertuduh menang dan bebas, tidakkah ia membuang masa, sedangkan pendakwa raya boleh fokus kepada kes berat, misalnya kes yang boleh menimbulkan ancaman kepada masyarakat. Kita boleh selesaikan kes dalam tempoh dua atau tiga bulan, berbanding lima tahun. Bila dakwaan diturun, mereka tetap dihukum, cuma lebih ringan.

Bagaimana mahu memastikan kaedah ini nanti berjalan lancar dan tidak mengundang persepsi negatif rakyat.

Keputusan membenarkan rayuan adalah hak mutlak pendakwa raya, peguam cuma mengkaji kes dan fakta sebelum buat permohonan, pembentangan dan bincang dengan pendakwa raya. Itu konsep yang kita amalkan. Sebelum pindaan dibuat, banyak perbincangan membabitkan pejabat Peguam Negara, Majlis Peguam dan badan kehakiman untuk tentukan satu cara dengan ambil kira konsep boleh diambil pakai. Ini satu pindaan teliti kerana babit kajian dan perbincangan selama setahun. Jika masyarakat menganggap kaedah ini boleh galakkan orang buat jenayah, ia salah. Kenapa kita perlu jaga hak orang kena tuduh hingga bagi diskaun hukuman. Sebenarnya persepsi itu tak tepat kerana kaedah ini cuma babit kes kecil. Kes ragut juga tak layak kerana babitkan kepentingan awam. Di luar bandar, misalnya kes curi kambing, curi kasut, kes juvana, boleh ditolak ansur bertujuan kurangkan beban dan bagi peluang kedua kepada tertuduh kesalahan pertama. Bagi kes direman, mereka masih berpeluang gunakan hak ini mulai tahun depan.

- BERITA HARIAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.