Selasa, Disember 14, 2010

Diskaun hukuman hingga 50 peratus

KUALA LUMPUR 13 Dis. - Konsep 'plea bargaining' atau tawaran pengakuan bersalah yang memberi peluang tertuduh menikmati hukuman ringan sehingga 50 peratus, akan dilaksanakan secara formal dalam prosiding mahkamah tidak lama lagi.

Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi berkata, pengurangan sehingga separuh daripada hukuman maksimum itu melibatkan semua jenis tuduhan jenayah termasuk kesalahan yang menetapkan hukuman mati mandatori.

Menurut beliau, pelaksanaan proses itu yang diluluskan oleh Parlimen pada Jun lalu amat penting bagi mempercepatkan pelupusan kes selain menjimatkan masa mahkamah.

Zaki memberitahu dahulu ia tidak terkandung di bawah Kanun Acara Jenayah (CPC) dan hanya dilaksanakan atas budi bicara pendakwa raya namun kini, ia lebih formal melibatkan pindaan undang-undang dengan memasukkan Seksyen 172C CPC.

Ujar beliau, garis panduan mengenainya sedang dirangka oleh Jabatan Peguam Negara dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kehakiman, Majlis Peguam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

''Konsep 'plea bargaining' hanya melibatkan tuduhan terhadap pesalah kali pertama, ia tidak layak ditawarkan kepada mereka yang mempunyai rekod jenayah,'' ujar Zaki.

Ketua Hakim Negara menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Majlis Hakim-Hakim Malaysia Kali Kedua 2010 di sini hari ini.

Persidangan tiga hari itu melibatkan seramai 128 hakim dan pesuruhjaya kehakiman seluruh negara bagi membincangkan hala tuju jabatan kehakiman bertujuan meningkatkan prestasi pegawai-pegawainya.

Peserta turut mengambil peluang berkongsi pengalaman serta menyemak statistik pergerakan kes seluruh negara dan mengenal pasti masalah yang timbul sehingga menyebabkan kes terpaksa ditangguhkan.

Sementara itu, seorang Hakim Mahkamah Persekutuan ketika diminta menjelaskan pelaksanaan 'plea bargaining' berkata, konsep itu melibatkan tiga pihak iaitu tertuduh, pendakwa raya dan mahkamah dan dijalankan secara tertutup.

Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin berkata, konsep itu perlu dikuatkuasakan dalam tempoh 30 hari selepas dituduh.

Sekiranya 'plea bargaining' tidak dapat dilaksanakan maka perbicaraan harus bermula dalam tempoh 90 hari.

Menurut beliau, jika dahulu 'plea bargaining' tidak semestinya menawarkan pengurangan hukuman 50 peratus tetapi kini ia memberi kelebihan kepada tertuduh selain menjimatkan masa mahkamah kerana perbicaraan tidak akan dijalankan setelah tertuduh mengaku bersalah.

Ujar Zulkefli, sebarang keputusan juga tidak boleh dirayu ke peringkat yang lebih tinggi kerana ia dicapai atas persetujuan tertuduh dan pendakwa raya melainkan ia melibatkan alasan teknikal dan persoalan undang-undang.

''Konsep itu melibatkan persefahaman ketiga-tiga pihak bagi mendapat pengurangan hukuman sehingga 50 peratus daripada jumlah maksimum yang dikenakan di bawah akta tertentu,'' ujar beliau ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian tersebut.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts