Ahad, September 05, 2010

Punca tindakan biadap Bendera

Tindakan biadab Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) dalam kempen anti-Malaysia kebelakangan ini merupakan hasil reformasi dan revolusi media serta nilai budaya di Indonesia sejak selepas pemerintahan Suharto digulingkan pada 1998.

Timbalan Setiausaha Agung Lembaga Persahabatan Indonesia Malaysia (Prima), Chairul Anhar berkata, ia terjadi apabila berita-berita negatif membabitkan Bendera yang melemparkan slogan anti-Malaysia dipilih menjadi tajuk utama media cetak dan elektronik di Indonesia.

Katanya, walaupun sesetengah perubahan nilai di Indonesia disambut baik namun sebahagian lagi seperti kebebasan media secara keterlaluan boleh mengancam hubungan baik di antara dua negara berjiran.

"Kebebasan media di Indonesia kini sungguh dahsyat sehingga kita menyaksikan bukan sahaja Malaysia diganyang dalam media, tetapi Presiden Susilo (Bambang Yudhoyono) sendiri menghadapinya setiap hari.

"Jadi, saya minta pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia memahami keadaan ini terutama selepas 1998 dan jangan layan kerenah Bendera," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditemani oleh Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor yang juga Pengerusi Yayasan Generasi Baru Nusantara.

Chairul yang telah 20 tahun berulang-alik antara Jakarta dan Kuala Lumpur atas urusan perniagaan serta persahabatan terpanggil untuk menjelaskan nilai kebebasan di Indonesia sehingga memperlihatkan kebiadaban Bendera, kepada rakan-rakannya di Malaysia.

Antara provokasi dan penghinaan Bendera termasuk melemparkan najis manusia dan membakar Jalur Gemilang di Kedutaan Malaysia di Jakarta pada 23 Ogos lalu bagi membantah insiden penahanan tiga pegawai penguatkuasa marin Indonesia oleh polis Malaysia.

Chairul menambah, pihak pemerintah kedua-dua negara perlu segera mencari punca serta menyelesaikan masalah yang menyebabkan kempen anti-Malaysia kembali muncul di Indonesia.

"Tubuhkan badan seperti Tim Pencari Fakta yang dianggotai individu profesional dalam bidang undang-undang, marin dan pemetaan untuk menyelesaikannya," tegasnya.

Pada insiden 13 Ogos lalu itu, tiga pegawai penguat kuasa marin Indonesia bertindak menahan tujuh nelayan Malaysia kerana didakwa berada di perairan Indonesia walaupun alat sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) mereka tidak berfungsi ketika kejadian.

Selepas itu, sepasukan polis marin Malaysia tiba ke tempat kejadian dan mengejar tiga pegawai Indonesia berkenaan kerana didakwa menceroboh perairan Malaysia sebelum berjaya menahan mereka.

Ketujuh-tujuh nelayan Malaysia dan tiga pegawai marin Indonesia itu bagaimanapun dibebaskan selang beberapa hari kemudian.

Ogos lalu, akhbar Kompas yang memetik kenyataan Ketua Pengarah Hukum dan Perjanjian Internasional Kementerian Luar Indonesia, Havas Oegroseno mengkritik kegagalan sistem GPS pasukan itu serta mempersoal tindakan tiga pegawai marin tersebut yang melarikan diri ketika kejadian.

"Saat kejadian itu, mereka juga memindahkan tujuh nelayan Malaysia ke kapal patrol Republik Indonesia dengan dua awak-awak walhal prosedur tidak membolehkan jumlah tahanan lebih banyak dari petugas, itu membahayakan diri sendiri.

"Lalu, saat kapal polis Malaysia datang kenapa lari? Kalau yakin ada di wilayah sendiri, ya, hadapi dong," ujar Havas.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.