Kemalangan 2009 kerugian RM9 bilion

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati, kerugian sosioekonomi akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu mencecah RM9 bilion.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerugian itu disebabkan oleh kehilangan nyawa dan kecederaan pengguna jalan raya ekoran nahas berkenaan.

Beliau berkata, jumlah tersebut tidak termasuk kerugian emosi akibat kesedihan dan trauma yang dialami oleh ahli keluarga mangsa kemalangan.

"Justeru usaha-usaha menangani kemalangan jalan raya akan terus diberikan keutamaan kerana ia memberi kesan secara langsung kepada ekonomi negara dan kebajikan rakyat Malaysia.

"Saya percaya sekiranya semua pihak dan setiap rakyat Malaysia mengambil tanggungjawab atas keselamatan diri dan orang lain, maka matlamat kerajaan untuk menjadi negara maju akan dapat direalisasikan menjelang 2020,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Operasi Bersepadu Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2010 di Stesen Sentral di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan, Jelaing Mersat; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Long See Wooi dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh.

Muhyiddin berkata, daripada jumlah kematian tahun lalu, sebanyak 6,745 kes atau 60 peratus melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

"Perkara ini haruslah dilihat secara serius dan oleh itu saya menyeru sesiapa yang ingin pulang ke kampung dengan motosikal sila gunakan topi keledar yang diluluskan oleh Sirim dan ikat topi keledar dengan kemas,'' katanya.

Beliau di dalam ucapannya turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya menjaga tiga 'K' ketika memandu ke kampung untuk menyambut hari raya nanti iaitu kelajuan, kesabaran dan kecergasan.

Ujar beliau, memandu terlalu laju boleh menyebabkan hilang kawalan dan seterusnya membahayakan nyawa bukan sahaja penumpang malah boleh melibatkan kenderaan lain.

"Ingatlah, kelajuan di jalan raya boleh membawa maut. Sementara itu 'k' yang kedua ialah kesabaran. Kita perlu mempunyai sifat sabar apabila memandu kenderaan terutama musim perayaan. Bersabarlah apabila hendak memotong.

"Potong hanya apabila keadaan benar-benar selamat,'' katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pemandu supaya mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan bagi memastikan mereka cergas.

"Jika merasa penat dan mengantuk kita perlu berehat seketika di kawasan rehat yang disediakan atau di tempat yang selamat. Berhenti di tepi jalan boleh membahayakan orang lain dan boleh mengakibatkan perlanggaran dari belakang yang boleh membawa maut.

"Ada tiga k selain ketupat. Ketupat sudah dikira empat k. Walau apa pun jika tiga k yang saya sebutkan tadi tak selesai, k yang terakhir pun tidak boleh dapat,'' katanya berseloroh.

- MINGGUAN MALAYSIA Kemalangan 2009 kerugian RM9 bilion

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.