Sabtu, Ogos 07, 2010

TIPU elak jadi mangsa pelaburan haram

Oleh Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC)

Orang ramai yang berminat dengan pelbagai tawaran skim pelaburan diingatkan lebih bijak membuat pilihan mengenal pasti ciri-ciri syarikat pelaburan haram menggunakan formula khas T.I.P.U bagi membolehkan mereka membuat penilaian awal sebelum melaburkan wang.

Formula TIPU itu adalah berasaskan konsep Tidak akan rugi?; Indah khabar daripada rupa; Peluang hanya sekali dan Untung besar.

Kebanyakan syarikat pelaburan akan memberi jaminan pelabur tidak akan rugi bahkan menawar pulangan serta-merta 20 peratus daripada nilai pelaburan setiap bulan, sedangkan ia hanya janji kosong.

Janji yang ditabur syarikat pelaburan haram sebenarnya indah khabar daripada rupa kerana jaminan pulangan tinggi tanpa sebarang risiko kewangan sebenarnya tidak logik seolah-olah pelaburan mereka dijamin sepenuhnya akan untung.

Istilah peluang hanya sekali diakui sering diutarakan syarikat pelaburan bagi memastikan mangsa mereka membuat keputusan cepat tanpa berfikir panjang. Mereka biasanya akan menghebahkan istilah ‘melaburlah sekarang atau anda akan ketinggalan dan kerugian’.

Jaminan bakal mendapat untung besar dalam masa singkat sebenarnya tidak wujud kerana syarikat itu, pada hakikatnya hanya menjalankan satu urus niaga tunai secara tergesa-gesa bagi mengelakkan tembelang mereka terbongkar.
Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) yang memperkenalkan formula itu menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan panduan pelaburan secara bijak dengan menyemak maklumat di laman web pelabur Malaysia, www.min.com.my

“Ramai yang terpedaya dengan skim pelaburan menipu tetapi jumlah yang berani membuat aduan terlalu kecil. Mereka beranggapan hanya kurang bernasib baik dan menyerahkan kepada takdir tanpa membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Sikap acuh tidak acuh inilah sebenarnya menggalakkan skim pelaburan semakin bercambah. Jika ada kerjasama daripada mangsa, ia sebenarnya boleh membantu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) membanteras kegiatan mereka sebelum orang lain terkena,” kata jurucakap SIDC.

Beliau mengingatkan bakal pelabur yang mengesan tanda-tanda wujudnya satu daripada unsur TIPU dalam mana-mana tawaran dan mengesyaki ia suatu skim yang mencurigakan, perlu segera membuat laporan.

Bagi mengelakkan ditipu, pelabur dinasihatkan supaya menggunakan pendekatan C.E.L.I.K. bagi memudahkan mereka mengenal pasti pelaburan tidak sah. Konsep CELIK itu adalah berasaskan pendekatan Curiga; Elak emosi; Lesen; Informasi dan Kuat semangat sebelum membuat sebarang keputusan untuk melabur.

Perasaan curiga perlu ada dalam diri kerana ia sebagai langkah berwaspada dengan terus mempercayai apa didengar. Jika sesuatu itu nampak seperti sukar dipercayai, biasanya ia tidak boleh dipercayai.

Bagi membantu orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan, SIDC turut menganjurkan Seminar Bijak Mengurus Wang yang diadakan di Hotel Renaissance, Kota Bharu, Kelantan hari ini secara percuma.

Pelabur juga dinasihatkan supaya sentiasa bersabar dan tidak beremosi apabila melabur kerana ia akan menentukan sebarang keputusan yang diambil. Paling penting, periksa lesen atau mendapatkan pengesahan kuasa pihak yang menawarkan pelaburan atau menyemak dengan SC.

“Informasi adalah senjata yang sesuai menghadapi penipuan. Jangan sesekali melabur melainkan selepas mendapat maklumat tepat, bebas dan dipercayai. Jika masih ragu, dapatkan pengesahan SC.

“Semua keputusan itu memerlukan semangat yang kuat. Jangan mudah terpedaya dengan taktik jualan yang nampak menarik, jangan tamak atau terikut dengan pilihan ramai. Buat keputusan berasaskan objektif kewangan dan profil risiko,” katanya.

Perlu diketahui, jika terlepas satu peluang, masih banyak peluang lain kerana sememangnya wujud banyak pelaburan tulen yang sah.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts