Selasa, Ogos 24, 2010

Seksyen 15 AUKU tidak akan dipinda

Kerajaan tidak bercadang meminda Seksyen 15, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), yang melarang pelajar daripada terbabit atau meluahkan rasa simpati serta sokongan kepada mana-mana parti politik negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin berkata, institusi pengajian tinggi (IPT) tempat pelajar untuk menimba ilmu dan mencari pengetahuan.
Jika kita benarkan sesuatu parti politik mewujudkan cawangan di kampus, ia akan mengubah senario kehidupan kampus, katanya selepas merasmikan mesyuarat agung Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Johor di Taman Scientex, Masai, di Johor Bahru semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas permintaan Presiden MIYC, A Rajaretnam supaya kerajaan mengurangkan kerenah birokrasi membolehkan pertubuhan belia seperti MIYC dapat menemui pelajar universiti di kampus.

Mohamed Khaled berkata, pertubuhan belia dibenarkan menganjur aktiviti di kampus asalkan mereka mendapat kebenaran naib canselor universiti terbabit.

Badan bukan kerajaan (NGO) walaupun tidak bermotifkan politik, sering meminta ahlinya ikut perkembangan terkini dasar kerajaan.

Belia sepatutnya mengetahui dasar kerajaan supaya mereka boleh menyatakan pandangan dan pendapat. Mereka boleh berdebat dan mengadakan forum awam tetapi tidak sewajarnya terbabit dalam aktiviti politik, katanya.

- BERITA HARIAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.