Selasa, Ogos 17, 2010

Ramadan Bulan Kemerdekaan

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU)
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

Tanpa disedari bulan Ramadan menjanjikan seribu kemerdekaan dan kebebasan untuk umat Islam. Apatah lagi bagi yang berusaha bermati-matian untuk memperoleh kurniaan itu. Bahkan mereka yang sedar akan keistimewaan Ramadan bercita-cita pula agar Ramadan berlaku sepanjang tahun. Tidak lain kerana sekolah Ramadan mendidik manusia akan erti kemerdekaan yang sebenar yang dapat diperhatikan melalui proses pentarbiyahan ilahi sepanjang bulan al-Mubarak ini.

Kesempatan syaitan dibelenggu merupakan peluang terbaik untuk meraih cinta hakiki. Ini bermakna manusia kini merdeka daripada cengkaman musuh iaitu Iblis yang dilaknat oleh Allah SWT. Sayugianya peluang sebegini tidak dibiarkan pergi tanpa berbuat kebajikan semaksimum yang termampu. Oleh itu belajarlah mengurus nafsu dengan baik agar setelah tamat Ramadan, dunia yang penuh pancaroba boleh berjaya diharungi dengan pedoman wahyu ilahi.

Di dalam bulan ini juga umat Islam dikehendaki sentiasa memelihara segenap pancaindera daripada kutukan dosa. Semuanya bertujuan membentuk puasa yang berkualiti dan diterima dengan sempurna. Secara tidak langsung masyarakat Islam merdeka daripada sifat mazmumah seperti mengumpat, bergosip dan mencela individu lain.

Ramadan juga adalah bulan untuk menginfaqkan harta ke jalan Allah SWT dengan mengeluarkan zakat fitrah dan bersedekah. Oleh itu para Muslimin diseru untuk bersegera menunaikan kewajipan ini agar bantuan dapat disampaikan kepada fakir miskin dan orang yang memerlukan sebelum menjelang hari raya.

Amalan sunat seperti bersedekah, sumbangan kepada anak yatim, ibu tunggal dan yang mengharapkan bantuan juga tidak patut diabaikan, berikutan ganjaran penghapusan dosa yang dijanjikan.

Malahan dengan kaedah ini manusia boleh memerdekakan diri daripada sifat bakhil dan tamakkan harta kemewahan dunia yang sementara. Walau bagaimanapun niatnya mesti ikhlas dan diharapkan agar berterusan bukan sempena Ramadan dan sambutan hari raya sahaja.

Apatah lagi tiada siapa yang sanggup menanggung derita kembali ke alam baqa' dengan bekalan dosa yang bertimbun-timbun. Inilah masa untuk setiap insan, menjernihkan jiwa dan memerdekakan diri daripada dosa dengan dengan bertaubat nasuha dan beramal saleh dan memohon keampunan daripada-Nya. Sesungguhnya amalan-amalan yang saleh mampu menghapuskan dosa ibarat air memadamkan api.

Selain itu Ramadan adalah bulan mustajab doa. Peluang keemasan untuk diperkenankan segala doa adalah lebih tinggi berbanding bulan-bulan yang lain. Seolah-olah Ramadan dan doa tidak dapat dipisahkan.

Malah bersempena dengan Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-53 yang jatuhnya dalam bulan Ramadan ini setiap warga 1 Malaysia terutama yang beragama Islam patut merenung dan menilai akan tingginya nilai kebebasan sesebuah negara daripada unsur-unsur penjajahan.

Sedarilah tanpa nikmat kemerdekaan itu peluang untuk solat tarawih dan qiamullail di masjid dengan sebebasnya mungkin tidak akan dapat dirasai jika tanahair masih dijajah.

Oleh itu bersyukurlah dengan nikmat kemerdekaan negara yang diwarisi daripada titisan darah perwira terdahulu dengan mengelak daripada dipengaruhi oleh pemikiran negatif, budaya songsang dan amalan tidak berperikemanusiaan seperti membuang dan membunuh bayi yang tidak berdosa.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts