Ahad, Ogos 08, 2010

Program realiti TV Cabaran Angkasawan diperkenal

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menganjurkan program realiti televisyen, Cabaran Angkasawan bagi memberi peluang dan mendedahkan remaja kepada pengalaman yang dilalui angkasawan negara.

Program dengan kerjasama Agensi Angkasa Negara dan Yayasan Angkasawan Negara itu terbuka kepada lelaki dan wanita berusia 16 tahun ke atas, kini di peringkat pemilihan. Program itu dijangka ditayangkan tahun depan.

Penerbit Program Cabaran Angkasawan, Mejar Dr Faiz Khaleed, berkata program realiti membabitkan tiga fasa itu akan menjelajah ke seluruh negara dalam usaha mencari peserta yang layak dari segi fizikal serta akademik.

Katanya, program yang masih dalam fasa pertama sejak Mei lalu sudah menjelajah ke Kota Kinabalu dan Labuan di Sabah serta Terengganu.

“Untuk fasa kedua, peserta terpilih akan dilatih menjalani latihan angkasawan dan bakal melalui separuh daripada pengalaman yang dilalui angkasawan. Bagi fasa ketiga pula, pemenang akan berpeluang melawat agensi angkasa lepas di luar negara seperti Amerika Syarikat atau Russia,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas memberi ceramah pada Seminar Pelajar dan Kerjaya anjuran OXCELL di Dewan Perniagaan Cina, di sini semalam, Dr Faiz yang juga angkasawan kedua negara, berkata peserta program realiti itu harus berlari sejauh 3.5 kilometer di bawah 25 minit untuk lelaki dan 30 minit untuk wanita.
Katanya, ia hanya terbuka kepada rakyat negara ini dan sehingga ini penyertaan yang diterima kebanyakannya membabitkan pelajar sekolah serta penuntut institusi pengajian tinggi.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts