Kegagalan kuasai bahasa Melayu gagalkan agenda satukan 3 kaum

Fenomena generasi muda bukan Melayu yang tidak boleh bertutur dan menguasai bahasa Melayu adalah keadaan yang sangat membimbangkan. Mereka adalah warga negara Malaysia, tetapi tidak mendukung kedaulatan bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi negara ini.

Siapa harus dipersalahkan bila terjadi senario ‘ayam bercakap dengan itik’. Adakah sistem pendidikan kita gagal menterjemahkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan apabila perkara membabitkan bahasa kebangsaan diperlekeh hingga terjadi situasi yang tidak sewajarnya.

Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi termaktub dalam artikel 152 Perlembagaan Malaysia, ternyata gagal dihayati segelintir penduduk bukan Melayu di negara ini. Ramai seolah-olah lupa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang sepatutnya berperanan sebagai penyatu kepada tiga bangsa terbesar iaitu Melayu, Cina dan India.

Felo Penyelidikan Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Profesor Dr Teo Kok Seong mendedahkan perkara ini pada Forum Jati Diri anjuran Berita Harian, Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Persatuan Sarjana Komunikasi Media Malaysia (PERSKOM) yang diadakan di Balai Berita, baru-baru ini.

“Jati diri sekarang sudah merekah sebegitu. Satu contoh, belia dan remaja Cina rata-rata tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik sedangkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan kita. Buktinya, rakan saya yang menjadi jurulatih Pusat Latihan Khidmat Negara mendapati, tidak semua remaja tetapi sebilangan kecil pelajar berusia 18 tahun tidak boleh berbahasa Melayu langsung,” katanya.

Keadaan ini pada beliau menunjukkan betapa tidak berertinya taraf kewarganegaraan golongan ini kerana mereka langsung tidak tahu bertutur bahasa Melayu, sekali gus bagaimana pula mereka hendak menggambarkan jati diri sebagai rakyat Malaysia. Malah menurut beliau, ada dalam kalangan pemimpin kaum Cina mengatakan tidak boleh dianggap orang Cina yang tidak boleh berbahasa Melayu itu tidak bersikap patriotik.

“Saya tak kata mereka tidak patriotik. Cuma saya kata agak pelik. Hal ini tidak seharusnya berlaku. Sebab bagi saya, seorang warga negara Malaysia mesti mempunyai pengetahuan bahasa Melayu yang mencukupi. Sikit-sikit pun tidak mengapa. Sebab, setiap warga negara Malaysia seharusnya tahu berbahasa Melayu. Baru anda boleh panggil diri anda rakyat Malaysia. Sedangkan kita tengok ada yang sepatah pun tak tahu. Jadi macam mana?” katanya.
Lebih menarik lagi, beliau menceritakan pengalaman anaknya yang bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Berlaku di Unit Kecemasan, seorang pemuda Cina membawa rakannya yang cedera berlumuran darah di kepala. Bila ditanya kenapa, pemuda itu tidak dapat menjelaskan kerana tidak tahu bertutur bahasa Melayu sehingga akhirnya dia terpaksa menggunakan bahasa isyarat untuk menjelaskan punca kemalangan itu.

Ini satu senario yang lucu, tetapi sebenarnya menyedihkan. Seorang warga negara Malaysia yang tidak tahu bercakap bahasa Melayu. Adakah ini bermakna gagalnya sistem pendidikan kita menerapkan perasaan cintakan negara, cintakan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat berbagai kaum di negara ini.

Dr Teo berkata, masyarakat Cina lebih menekankan pembelajaran Bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu. Mereka menyediakan segala alat bantu seperti buku dan kelas tambahan kepada anak dalam usaha untuk memahirkan mereka berbahasa Inggeris.

Semua ini, katanya, berpunca daripada penggunaan bahasa Melayu yang tidak menyeluruh. bahasa Melayu yang kian dipinggirkan, malah kian terhakis nilainya.

Beliau mengambil contoh, kereta nasional, dulu ia dinamakan dengan menggunakan bahasa Melayu, seperti Proton Saga, Waja, Wira, Kancil, Kenari dan Kelisa tetapi kini model baru pula diperkenalkan menggunakan Bahasa Inggeris yang diadaptasi seperti Gen 2 (Gen Two) tidak disebut Gen Dua, Savy, Myvi dan sebagainya.

Malah siaran berita mahupun program bual bicara televisyen tempatan yang dulunya menggunakan bahasa baku kini sudah tidak mengamalkannya. Ini menjadi punca terhakisnya penggunaan bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan negara ini. Begitu juga dengan majlis rasmi kerajaan yang kebanyakan menggunakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.

Dalam pada itu, ketika memperkatakan gagasan 1Malaysia, Dr Teo berkata, bagi masyarakat Cina menyifatkannya satu harapan baru kerana menggambarkan persamaan dan kesaksamaan daripada pengagihan hak serta bantuan tanpa mereka merujuk kepada kontrak sosial pertama dan kontrak sosial kedua. Malah mereka suka bila bahasa Melayu ditukar kepada bahasa Malaysia kerana lebih mencerminkan Malaysia.

Ramai sebenarnya tidak memahami gagasan ini adalah satu penjenamaan semula kepada gagasan terdahulu yang hanya baru pada nama, selain mudah untuk diingat.

- BERITA HARIAN

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.