Jumaat, Ogos 06, 2010

Contohi KTMB utamakan bahasa Melayu

SYABAS diucapkan kepada pengurusan KTM Berhad (KTMB) kerana memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini.

Sepanjang penelitian, saya dapati lif KTMB antara satu atau dua lif di Malaysia yang ‘pandai’ berbahasa Melayu dan digunakan bukan saja warga Malaysia, malah pelbagai bangsa (pelajar dan pelancong luar negara). Mereka tidak menghadapi sebarang masalah.

Begitu juga setiap pengumuman ketibaan di stesen tertentu tetap menggunakan sama ada bahasa Melayu tanpa bahasa lain atau mendahului bahasa lain dan tidak juga memberi masalah kepada penumpang pelbagai bangsa dan warga negara.

Hal itu agak berbeza dengan Penerbangan Malaysia (MAS) yang walaupun turut menggunakan bahasa Melayu, tetapi secara tidak tetap.

Ada ketika bahasa Melayu digunakan, kadangkala dikemudiankan dan malah ada masa bahasa Melayu tidak digunakan langsung.

Syarikat penerbangan lain ada yang terpaksa menggunakan bahasa Inggeris, tetapi yang manisnya tetap tidak mengetepikan bahasa rasmi negara mereka yang didulukan pengumumannya seperti Japan Airlines.

Kita tidak meminta lebih daripada itu, jika bahasa Inggeris atau apa saja bahasa yang perlu digunakan untuk apa juga sebab, di mana, apa acaranya, bahasa rasmi negara perlu diguna dan diutamakan.
Penulis juga kerap terfikir ketika menonton siaran berita TV Malaysia, tetapi berasa seolah-olah seperti menonton berita televisyen di negara sama ada di London atau New York.

Di manakah jati diri yang kita selalu laungkan? Tidakkah bahasa Melayu juga sebenarnya bahasa perpaduan bagi 1Malaysia atau kita sudah berubah kiblat bahasa.

Semua warga Malaysia sepatutnya lebih malu jika tidak fasih bertutur dalam bahasa Melayu berbanding bahasa lain.

KAMALSHUKRI ABDULLAH SANI,
Timbalan Presiden
Persatuan Linguistik Malaysia.

- FORUM BERITA HARIAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.