Bahasa Melayu Bahasa Dunia

Kewujudan Manuskrip Risalah Hukum Kanun membuktikan dengan jelas bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa dunia yang turut dipelajari oleh golongan bukan Melayu.

Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Adi Yasran Abdul Aziz berkata, hakikat itu dibuktikan dalam manuskrip tersebut yang dihasilkan lebih 40 versi hingga kini dan masih tersimpan di luar negara.

Beliau berkata, antara negara yang menyimpan manuskrip itu ialah Belanda, Itali, Jerman, Indonesia, Brunei dan Malaysia.

"Manuskrip itu digunakan oleh para sarjana Barat untuk mengetahui tentang kekuatan, jati diri dan budaya Melayu.

"Kewujudannya jelas membuktikan bahasa Melayu adalah salah satu bahasa dunia dan mereka boleh membaca Manuskrip Risalah Hukum Kanun yang ditulis dalam tulisan Jawi.

"Malah pada satu persidangan bahasa baru-baru ini, para sarjana terbabit boleh bertutur bahasa Melayu dengan fasih. Bila ditayangkan, mereka boleh membaca manuskrip dalam tulisan jawi dengan lancar," katanya.

Adi Yasran berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk 'Manuskrip Hukum Kanun Aspek Kosa Kata dan Sistem Tulisan Sebagai Wahana Penyebaran Ilmu' pada Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Beliau berkata, menerusi manuskrip itu bahasa Melayu jelas sebagai wahana penyebaran ilmu dengan kosa kata banyak dalam bahasa Arab kerana undang-undang yang ada dalam kanun itu berteraskan undang-undang Islam.

Sebagai contoh, katanya, mereka memulakan penulisan atau pembicaraan dengan bismillah yang membuktikan orang Melayu tidak pernah memisahkan jiwanya dengan Islam.

"Kita juga dapati bahasa Melayu sentiasa berkembang dan sedia menerima perubahan demi kebaikan iaitu pada peringkat awal mereka menggunakan waktu sekadar selepas subuh, zuhur, asar dan isyak.

"Tetapi apabila masa berlalu, mereka kemudian menukarnya pada waktu yang tepat iaitu pukul 6 pagi, 2 petang atau 10 malam," katanya.

Mengenai slogan 'Bahasa Jiwa Bangsa', Adi Yasran berkata: ''Ia menterjemahkan tulisan jawi adalah jiwa bangsa Melayu. Jawi melambangkan jati diri Melayu''.

Namun beliau kesal kerana selepas negara mencapai kemerdekaan, tulisan jawi ditukar kepada rumi sedangkan pada abad ke-16, 17 dan 18, bahasa Melayu berada di kedudukan kelima bahasa dunia.

Sehubungan itu beliau berharap kerajaan dapat menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam urusan pentadbiran negara sesuai dengan slogan 'Bahasa Kebangsaan Bahasa Kebanggaan' bagi memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia.

- UTUSAN

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.