Jumaat, Julai 30, 2010

Petrol RON 95 bukan punca kebakaran

Kerajaan menolak dakwaan petrol RON 95 menjadi punca kebakaran kenderaan apabila berlaku sesuatu kemalangan, akibat kandungan benzene yang dikatakan tinggi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim, berkata RON 95 adalah bahan bakar mematuhi spesifikasi EURO2M yang dapat mengurangkan pencemaran udara akibat pelepasan sulfur.

Katanya, di bawah spesifikasi EURO2M, jumlah maksimum penggunaan benzene adalah lima peratus saja, dan benzene yang terkandung di dalam RON 95 berfungsi sebagai ‘octane booster’ yang sebelum ini menggunakan plumbum.

“Pernyataan bahawa RON 95 menjadi punca berlaku kebakaran sekiranya berlaku kemalangan akibat kandungan benzene yang tinggi adalah tidak benar,” katanya ketika menjawab soalan Senator Ahmad Hussin di Dewan Negara, semalam.

Ahmad dalam soalannya ingin tahu sama ada benar dakwaan penggunaan RON 95 menyebabkan kenderaan terbabit kemalangan mudah terbakar.

Mengulas lanjut, Rohani berkata berdasarkan kajian, kebakaran berlaku ketika kemalangan disebabkan tiga perkara iaitu percikan api daripada sumber penyalaan, enjin yang tiba-tiba terbakar serta kebocoran atau tumpahan minyak berlaku di bahagian tangki minyak.

– BERNAMA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.