Jumaat, Julai 30, 2010

Lulusan SKM boleh sertai perkhidmatan awam

Pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang setaraf dengan diploma kini berpeluang diterima memasuki skim perkhidmatan awam, selain layak menyambung pengajian ke peringkat ijazah di institusi pengajian tinggi (IPT).

Sehubungan itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, meminta Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bekerjasama dengan IPT, termasuk politeknik selain badan persijilan di dalam dan luar negara bagi mengiktiraf SKM.

“Sebagai permulaan, kita sudah berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi membolehkan pemegang sijil SKM 4 bidang perhotelan dan teknologi komunikasi maklumat (ICT) meneruskan latihan sehingga ke peringkat ijazah.

“Kini, pelajar dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang baik boleh gunakan SKM 4 sebagai kaedah alternatif bagi mendapatkan ijazah berasaskan kemahiran berbanding kelaziman biasa yang menekankan aspek akademik.

“Kita juga menggalakkan majikan memberi gaji yang setimpal kepada pekerja mereka yang ambil inisiatif menambah kemahiran,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara JPK, Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) dan Akademi Latihan Pendidikan Vokasional (VETA) di sini, semalam.

JPK diwakili Ketua Pengarahnya, Dr Pang Chau Leong dan UniRazak pula oleh Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohd Zabid Abdul Rashid, manakala VETA diwakili Pengurus Besarnya, Azizul Ikmal Mohd Hamsan.

Dr Subramaniam berkata, kini hanya 23 peratus daripada 12 juta tenaga kerja tempatan tergolong sebagai separa mahir, mahir atau profesional dan jumlah itu perlu ditingkatkan sehingga 37 peratus atau kira-kira 1.5 juta pekerja menjelang 2015.

Justeru, tegas beliau, JPK bertanggungjawab memastikan sekurang-kurangnya 350,000 pekerja setahun menjalani penambahbaikan bagi meningkatkan kemahiran selain membantu purata 4,000 pelajar tercicir mendapat latihan kemahiran setiap tahun.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.