Isnin, Julai 12, 2010

Agrobank tamatkan sistem konvensional 2015

Agrobank akan terus mengembangkan sistem perbankan Islam di 167 cawangannya di seluruh negara dan mengecilkan sistem konvensional secara perlahan-lahan mulai tahun ini sebagai langkah memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah.

Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Ahmad Said, sambutan orang ramai termasuk bukan Islam ke atas produk-produk perbankan Islam yang ditawarkan oleh bank itu amat menggalakkan sejak diperkenalkan 12 tahun lalu.

Bagaimanapun, pihaknya bercadang membiarkan kedua-dua sistem berfungsi secara seiringan untuk memberi pilihan kepada pelanggan sebelum menamatkan sepenuhnya sistem konvensional menjelang tahun 2015.

"Sistem ini menunjukkan perkembangan menggalakkan dan daripada aset terkumpul berjumlah RM10 billion, 65 peratus daripada sistem perbankan Islam dan elebihnya iaitu 35 peratus lagi sistem konvensional dan kita percaya, pilihan orang ramai yang cenderung ke arahnya akan membantu mencapai matlamat Agrobank menjelang 2015," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Bangunan Baru Agrobank Tanah Merah dan Penyerahan Zakat 2009 oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Dr. Awang Adek Hussin di sini semalam.

Dalam perkembangan lain, Agrobank katannya, bercadang membuka 10 lagi cawangan tahun ini di seluruh negara antaranya di Kelantan, Pahang, Johor dan Sabah.

Namun jumlah tersebut tidak termasuk cawangannya yang akan dibuka di beberapa daerah di Sabah dan Sarawak yang akan beroperasi tanpa premis penuh atau mempunyai bangunan dan kaunter, katanya.

"Mengikut perancangan, 10 cawangan akan mempunyai premis penuh manakala cawangan tanpa premis di Sabah dan Sarawak akan menawarkan perkhidmatan perbankan elektronik seperti meletakkan mesin pengeluaran tunai automatik (ATM), bank bergerak mengikut jadual di sesetengah daerah.

"Di samping itu, sistem perbankan dalam talian atau khidmat pesanan ringkas (SMS) akan ditingkatkan bagi memenuhi urusan yang mendesak seperti pengeluaran, penyimpanan dan pembayaran bil.

"Bagi urusan pinjaman dan sebagainya, lazim pelanggan hanya berurusan sekali sekala dan mereka boleh ke cawangan yang menawarkannya di daerah lain," katanya.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.