Tonton, rekod ASTRO Beyond secara HD

Sebagai peneraju dalam pengendalian perkhidmatan televisyen satelit berbayar, Astro sentiasa berusaha mencari ruang mempertingkatkan operasi penyiarannya.

Hadir pada tahun 1996, syarikat tersebut telah membawa dimensi baru dalam aktiviti tontonan televisyen rakyat Malaysia melalui pengenalan transmisi program menggunakan Terminal Multimedia Digital (DMT).

Meneruskan kecemerlangan itu, tahun lalu sekali lagi syarikat berkenaan membawa inovasi terkini dalam industri penyiaran melalui paparan rancangan televisyen berformat definisi tinggi (HD).

Perkhidmatan yang ditawarkan menerusi platform Astro B.yond itu telah memberi peluang kepada penonton menikmati program seperti sukan, filem dan dokumentari dalam resolusi HD.

Tidak terhenti setakat itu, fasa perkhidmatan Astro B.yond terus diperkembangkan melalui pengenalan aplikasi canggih terbaru iaitu Astro B.yond dengan fungsi perakam video peribadi (PVR).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan, perkhidmatan berkenaan bakal menawarkan pengalaman tontonan yang lebih selesa, bebas dan fleksibel.

''Kini, penonton boleh menikmati program kegemaran pada bila-bila masa mengikut waktu terluang dan yang paling penting mereka tidak akan terlepas mana-mana rancangan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Astro B.yond PVR di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Astro B.yond PVR yang masih mengekalkan kualiti siaran HD didatangkan dengan keupayaan empat fungsi interaktif utama iaitu merakam, mengulang, memberhenti dan memain semula.

Untuk tujuan menyimpan program yang telah direkod, Dekoder Astro B.yond PVR didatangkan bersama ruang storan binaan dalam bersaiz 500 gigabit (GB).

Kapasiti tersebut berkeupayaan menyimpan sehingga 290 jam rakaman berformat definisi standard (SD) dan 100 jam untuk HD.

Menarik mengenai Astro B.yond PVR, ia didatangkan dengan ciri penalaan berkembar yang membolehkan proses rakaman dibuat pada dua saluran secara serentak pada masa yang sama.

Di samping itu, ia juga membenarkan penonton menonton sesebuah rancangan siaran langsung dan pada masa yang sama mereka boleh merakam program di saluran lain.

Untuk memudahkan penonton menguruskan rancangan-rancangan yang telah dirakam dan memeriksa kapasiti memori yang tinggal, dekoder Astro B.yond PVR dilengkapi aplikasi perancang (planner) sebagai rujukan.

Bagi pengguna yang telah memiliki dekoder Astro B.yond sebelum ini, mereka masih boleh menjalankan operasi rakaman dengan hanya mendapatkan cakera keras binaan luar Western Digital (WD) My Passport bersaiz 320GB berharga RM299 dari mana-mana pusat komputer.

Berbeza dengan Astro B.yond PVR, operasi rakaman pada Astro B.yond hanya menyokong fungsi rakaman satu saluran sahaja pada satu-satu masa.

Astro B.yond PVR didatangkan bersama pakej satu unit dekoder, satu unit cakera penerimaan isyarat luar, kad pintar, alat kawalan jauh dan kabel antara muka multimedia berdefinisi tinggi (HDMI).

Kos pemasangan sebanyak RM400 akan dikenakan atau RM300 jika pelanggan memulangkan set unit dekoder Astro yang lama.

Selain itu, kos rakaman bulanan juga akan dicaj sebanyak RM10 untuk Astro B.yond PVR dan RM5 untuk Astro B.yond.

Pada masa akan datang, Asrto bercadang untuk menawarkan aplikasi video atas permintaan (VOD) dan sambungan televisyen protokol Internet (IPTV) pada Astro B.yond PVR.

Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan ini boleh diperolehi menerusi laman web www.astro.com.my/byond atau hubungi 1-300-82-3838. Tonton, rekod ASTRO Beyond secara HD

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.