Rabu, Jun 02, 2010

Rombakan Kabinet - Empat muka baru

KUALA LUMPUR 1 Jun - Bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng digugurkan daripada barisan Kabinet baru, berkuat kuasa Jumaat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua senarai rombakan jemaah menteri dan timbalan menteri itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Menurut beliau, jawatan Tee Keat selaku Menteri Pengangkutan akan diambil alih oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sekarang, Datuk Seri Kong Cho Ha, manakala kekosongan jawatan Jeck Seng pula disi oleh Ahli Dewan Negara, Senator Gan Ping Shou.

Perdana Menteri berkata, jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang ditinggalkan Cho Ha akan diambil alih oleh Timbalan Menteri Kewangan sekarang iaitu Datuk Chor Chee Heung.

"Selaras dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan Menteri Persekutuan dan Timbalan Menteri Persekutuan, ia telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Baginda juga telah memperkenankan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia diadakan Jumaat ini di Istana Negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, perubahan dalam Kabinet baru kali ini turut membabitkan Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Tambah beliau, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK); Kementerian Luar; Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga berlaku perubahan.

Menurutnya, Datuk Rohani Abdul Karim akan memikul tugas sebagai Timbalan Menteri KPDNKK, Jelaing Mersat sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan, Lee Chee Leong (Timbalan Menteri Dalam Negeri) dan Senator Heng Seai Kie (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Sementara itu, terdapat empat muka baru iaitu seorang Ahli Parlimen dan tiga Ahli Dewan Negara dilantik sebagai timbalan menteri.

Mereka adalah Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong yang juga anak kepada Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Yang lain ialah Datuk Donald Lim Siang Chai (Timbalan Menteri Kewangan); Datuk Maglin Dennis D'cruz (Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) serta Ping Shou yang menggantikan Jeck Seng.

SENARAI ROMBAKAN KABINET BARU

1. Datuk Chor Chee Heung - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan)

2. Datuk G. Palanivel - Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi

3. Datuk Richard Riot - Timbalan Menteri Luar (Ahli Parlimen Serian)

4. Datuk Donald Lim Siang Chai - Timbalan Menteri Kewangan

5. Datuk Manglin Dennis D'Cruz - Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan

6. Datuk Rohani Abdul Karim - Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (sebelum ini Timbalan Pertanian dan Industri Asas Tani)

7. Datuk Lee Chee Leong - Timbalan Menteri Dalam Negeri (sebelum ini Timbalan Menteri Luar)

8. Gan Ping Sieu - Timbalan Menteri Belia dan Sukan

9. Jelaing anak Mersat - Timbalan Menteri Pengangkutan (sebelum ini Timbalan Menteri Dalam Negeri)

10. Chua Tee Yong - Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (Ahli Parlimen Labis)

11. Heng Seai Kie - Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

- UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.