Khamis, Jun 17, 2010

Ar-Rahnu Bank Islam ke 5 negeri

KOTA BHARU 16 Jun - Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) merancang meneroka potensi pajak gadai Islam, Ar-Rahnu, di lima negeri yang membabitkan Terengganu, Kedah, Perlis, Pahang serta Kuala Lumpur.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, rancangan pengembangan operasi itu berdasarkan kepada potensi besar yang bakal ditawarkan oleh perniagaan tersebut.

"Kami merancang meneroka segmen Melayu dan bukan Melayu. Kami mahu memberi pilihan kepada pelanggan," kata Zukri kepada pemberita selepas pembukaan cawangan pertama perkhidmatan Ar-Rahnu Bank Islam di sini hari ini.

Cawangan itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Zukri berkata, pembukaan cawangan tersebut selaras dengan permintaan tinggi terhadap pembiayaan kredit makro oleh pasaran ekonomi negara yang mana 99.2 peratus daripadanya diterajui oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurut beliau, dengan perkhidmatan tersebut, pemohon boleh mendapatkan perkhidmatan kredit hanya dalam tempoh 10 minit dengan prosedur yang mudah.

"Kita amat jelas mengenai kepentingan perusahaan mikro ini dalam arus ekonomi semasa malah pada tahun 2008, ia menyumbang sebanyak 31.4 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

"Malah jika dilihat, 99 peratus daripada perusahaan Malaysia adalah PKS yang turut menyumbang sebanyak 56.4 peratus peluang pekerjaan dalam negara," jelasnya.

Zukri berkata, pelanggan yang menggunakan perkhidmatan tersebut berpeluang mendapat pembiayaan sehingga 60 peratus daripada nilai emas yang dipajak dan mereka hanya akan dikenakan 'upah simpan' iaitu caj untuk menampung kos menyimpan barangan yang dipajak.

"Bagi memastikan ketelusan, semua maklumat transaksi akan direkodkan dengan jelas di samping perlindungan takaful bagi menjamin keselamatan barangan yang dipajak.

"Selain itu, pelanggan yang gagal membayar semula pembiayaan yang diambil akan menerima lebihan lelongan emas yang dipajak selepas kita menolak jumlah hutang dan upah simpan," jelas beliau.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts