Isnin, Mei 24, 2010

Ruang sosial warga Singapura

Berdiri dalam dua barisan dengan kaki dibengkokkan, 10 orang lelaki secara perlahan menolak tapak tangan keluar secara serentak dalam sesi latihan seni bela diri Cina, tai chi di tingkat bawah sebuah blok bangunan awam.

Di beberapa tempat serupa di Singapura, perkahwinan orang Melayu berlangsung secara sederhana di lokasi itu. Malah, ia juga tempat permainan untuk kanak-kanak pelbagai kaum termasuk daripada keluarga ekspaktriat yang menyewa flat awam di sana.

Ia adalah pemandangan hujung minggu biasa dalam kawasan terbuka di bawah bangunan-bangunan apartmen tinggi di Singapura kerana mempunyai jumlah penduduk yang padat.

Dengan lebih 80 peratus penduduknya tinggal di dalam flat awam, termasuk orang asing yang kini merangkumi sepertiga populasi Singapura berjumlah lima juta orang, ruang lapang di bawah bangunan menjadi sebahagian kehidupan harian di sana.

Seperti kanvas kosong yang diwarnai pelangi etnik di Singapura, ruang berkenaan memainkan peranan penting bermula dengan perkahwinan dan majlis kematian sehinggalah kepada tempat golongan pesara daripada pelbagai kumpulan etnik berkumpul.

"Ia menjadi tempat bermalas-malasan," kata Profesor di Jabatan Sosiologi Universiti Kebangsaan Singapura, Chua Beng Huat.

Lebih daripada itu, berkongsi ruang juga adalah sebahagian daripada polisi sosial yang dikuatkuasakan di Singapura yang bertujuan memastikan keharmonian kaum di rantau yang sering dikaitkan dengan perselisihan agama dan etnik.

Flat di setiap perumahan awam dibahagikan berdasarkan campuran etnik di Singapura iaitu 77 peratus Cina, 14 peratus Melayu dan lapan peratus India dengan bancian 2,000 orang bagi mengelakkan perbalahan kaum berlaku.

Keharmonian kaum amat penting kepada Singapura yang pernah mengalami rusuhan kaum pada tahun 1960-an.

Dalam dua kes terbaru yang disiarkan media tempatan, seorang paderi Kristian dipaksa meminta maaf di hadapan awam selepas menghina Taoisme dan agama Buddha, manakala tiga remaja Cina disiasat berkenaan kata-kata kasar berunsur anti-India di laman web.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong telah menggunakan ruang lapang itu untuk menggaris keperluan toleransi etnik, dengan mengambil sebuah kejadian yang boleh menyebabkan ketegangan kaum semakin marak.

Hsien Loong mengaitkan ucapan pada hari kebangsaan Ogos lalu dengan sebuah keluarga Cina mengadakan majlis kematian manakala keluarga Melayu sedang melangsungkan perkahwinan di ruang yang sama. Tetapi situasi di situ perlu dikawal dengan campur tangan daripada tokoh masyarakat.

"Jika kejadian sebegitu ditangani dengan salah, ia akan mengakibatkan perbalahan kaum atau konflik agama, kes itu akan menjadi lebih buruk," katanya.

Bagi kebanyakan penduduk Singapura, ruang lapang adalah kawasan neutral untuk melepak dan bercampur dengan kaum lain.

Seorang pesara, Wong Phui San, 59, menaiki bas ke daerah-daerah lain untuk bermain dam kerana pemain di sana memiliki kemahiran yang setanding dengannya.

"Dengan cara ini saya tidak perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk berhibur. Saya hanya perlu menaiki bas dan menghabiskan masa saya di sini," katanya.

Perkahwinan etnik Melayu selalunya berlangsung di ruang berkenaan pada hujung minggu.

Perancang perkahwinan dipanggil untuk menukar suasana ruang berkenaan menjadi dewan perkahwinan dengan lantai simen dilapik dengan karpet, dinding dihiasi dengan langsir dan bunga serta pelamin.

"Satu sebab mengapa ruang lapang itu begitu popular untuk majlis perkahwinan orang Melayu ialah kerana ia menjimatkan kos," kata perancang perkahwinan, Nurdyana Lim.

Majlis perkahwinan orang Melayu yang besar berkembang daripada tradisi kampung yang melibatkan seluruh keluarga, saudara-mara jauh dan jiran tetangga yang hadir membantu melancarkan perjalanan majlis, katanya.

"Mereka boleh menjemput lebih 1,000 tetamu dan tidak bimbang berbelanja lebih. Sedangkan dewan hotel memakan belanja ribuan ringgit," tambahnya.

Pengamal kecergasan juga menggunakan ruang lapang itu berbanding membayar yuran gimnasium.

"Kami suka mengadakannya di ruang terbuka kerana jika kami mempunyai lebih banyak ahli, kami masih ada ruang yang cukup untuk menampung mereka," kata seorang jurutera, Bill Chan, 34 yang sering mengikuti sesi tai chi di sebuah blok.

Kebanyakan ruang lapang dilengkapi meja batu, bangku atau rak basikal dan terletak berdekatan lif dan taman permainan.

Kebanyakannya digunakan sebagai pusat penjagaan kanak-kanak, kedai runcit dan sudut warga emas yang dilengkapi set televisyen, tandas dan meja batu yang dicetak dengan papan dam.

Semasa majlis kematian diadakan oleh komuniti Cina, bahagian berkhemah didirikan melindungi altar dan keranda yang terbuka daripada dilihat manakala kalungan bunga di susun berdekatan pintu masuk.

Kerusi dan meja disediakan kepada pelawat yang hadir menziarah sehingga tiga ke lima hari.

Pada hari terakhir, mereka akan mengusung jenazah ke tapak perkuburan dengan jiran-jiran daripada pelbagai etnik turut mengambil bahagian.

- AFP

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts