MAS raih anugerah kelas ekonomi terbaik dunia

Malaysia Airlines (MAS) meraih kejayaan membanggakan apabila dipilih sebagai Penerbangan Kelas Ekonomi Terbaik Dunia oleh Skytrax di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia 2010.

Dalam upacara anugerah yang berlangsung di Hamburg, Jerman baru-baru ini itu, MAS turut menerima anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan Petugas bagi sektor Asia.

Kejayaan MAS dipilih berdasarkan kaji selidik oleh Skytrax iaitu sebuah badan perunding penerbangan yang beribu pejabat di London daripada lebih 40 syarikat penerbangan seluruh dunia.

Kaji selidik tersebut melibatkan kira-kira 18 juta penumpang penerbangan yang berjalan selama 10 bulan iaitu bermula dari Julai 2009 sehingga April 2010.

Pengerusi Skytrax, Edward Plaisted dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan Petugas yang diterima MAS membuktikan bahawa penerbangan itu memiliki standard perkhidmatan yang membanggakan.

''Standard itu bukan sahaja ditunjukkan semasa dalam penerbangan tetapi juga di lapangan terbang. Kejayaan meraih Penerbangan Kelas Ekonomi Terbaik Dunia pula mencerminkan kualiti perkhidmatan MAS,'' jelasnya.

Menurut Plaisted, Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia turut dikenali sebagai 'Pilihan Penumpang' dan secara hakikatnya, MAS nyata dapat memuaskan hati pengkritik terhebat iaitu pelanggan mereka sendiri.

Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia diperkenalkan oleh Skytrax pada 1999.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Datuk Tengku Azmil Zahruddin berkata, pihaknya amat berbangga dengan kesungguhan kerja yang ditunjukkan oleh kakitangan MAS sehingga memperoleh pengiktirafan sedemikian.

''Tahun demi tahun kita bekerja keras untuk memperbaiki perkhidmatan. Saya sangat gembira apabila segala kerja keras ini mendapat pengiktirafan daripada pengguna.

''MAS akan meneruskan usaha untuk membawakan perkhidmatan terbaik kepada semua penumpang,'' tambahnya.

- UTUSAN MAS raih anugerah kelas ekonomi terbaik dunia

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.