Jumaat, Mei 21, 2010

Malaysia raih tempat 10 paling berdaya saing

KUALA LUMPUR 19 Mei - Malaysia buat kali pertama berjaya berada pada kedudukan di kalangan 10 negara paling berdaya saing di dunia, mengikut laporan World Competitiveness Yearbook 2010 (WCY) yang diterbitkan oleh Institute for Management Development (IMD) yang berpusat di Switzerland.

Dengan kedudukan terbaru itu, Malaysia berjaya memperbaiki prestasi daripada berada di tempat ke-19 pada tahun lalu.

Dengan nilai indeks sebanyak 87,228 pada tahun 2010, Malaysia tergolong dalam negara-negara paling berdaya saing di dunia bersama Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat, Switzerland, Australia, Sweden, Kanada, Taiwan dan Norway.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kedudukan itu dicapai hasil inisiatif inovatif yang diambil oleh kerajaan bagi memacu pembangunan dan pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan sektor swasta yang berdaya tahan.

''Ini menunjukkan kolaborasi sektor awam dan swasta telah berjaya dan dapat dijadikan asas bagi pertumbuhan yang kukuh, stabil dan menyeluruh di masa hadapan," katanya di sini hari ini.

Menururt beliau, kedudukan terbaru itu menggambarkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) telah membuahkan hasil.

Program GTP yang dilancarkan pada tahun lalu, memberi fokus kepada usaha kerajaan dalam bidang utama seperti memperkukuhkan persekitaran perniagaan, membanteras rasuah, memperbaiki infrastruktur, mempermudahkan prosedur kerajaan dan mengukuhkan sistem pendidikan.

Mustapa menambah, faktor kecekapan perniagaan juga meningkat kepada kedudukan keempat berbanding tempat ke-13 sebelum ini.

Dalam kedua-dua faktor kecekapan kerajaan dan perniagaan, prestasi Malaysia kini mengatasi negara-negara maju seperti Luxembourg, Switzerland, Kanada, Denmark dan Sweden.

''Keputusan ini perlu dibanggakan oleh semua rakyat Malaysia," ujar beliau.

Beliau berkata, peningkatan kedudukan ketara itu juga adalah hasil pelaksanaan konsep 1Malaysia, yang mana Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan telah memberi keyakinan kepada pasaran global.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.