Khamis, Mei 20, 2010

Norasyikin menang kategori pembaca ABPBH 2009

SERI KEMBANGAN: Kakitangan kerajaan, Norasyikin Samsudin, 36, memenangi kereta Nissan Grand Livina 1.6 bernilai RM86,000 selepas dipilih pemenang hadiah utama kategori pembaca bagi undian pusingan kedua Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009).

“Ini kali pertama saya menyertai peraduan Undi dan Menang ABPBH2009 dan terus mencapai kemenangan. Saya menghantar 30 penyertaan untuk peraduan ini,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang anugerah di Hotel Palace of the Golden Horses di sini, semalam.
Penolong Pegawai Tadbir di sebuah jabatan kerajaan di Kuala Lumpur berkata, beliau turut dibantu adik-beradiknya untuk mencipta slogan dan memilih artis kegemaran bagi setiap kategori.
Sementara itu, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin pula menjadi artis ‘paling mewah’ apabila membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah kira-kira RM328,000.
Siti yang dipilih oleh pembaca Berita Harian sebagai Bintang Paling Popular ABPBH2009 menerima sebuah kereta Nissan X-Trail 2.0L bernilai RM130,000.

Hadiah kereta untuk pembaca dan artis ditaja oleh Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd.

Selain kereta, Siti juga menerima perabot tajaan Empire Classics Furniture bernilai RM30,000; pakej penginapan mewah tiga hari dua malam di Head of Suite bernilai RM18,000 tajaan Hotel Palace of the Golden Horses dan barangan kemas Habib bernilai RM20,000.
Hadiah disampaikan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Mior Kamarul Shahid. Turut hadir Pengarang Hiburan Berita Harian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH2009, Hanizam Abdullah; Pengarang Bintang Popular (BiPop) Berita Minggu, Akmal Abdullah dan semua wakil penaja.

Pada majlis itu, pemenang pelbagai kategori dalam ABPBH2009 turut menerima hadiah masing-masing, iaitu barangan kemas Habib bernilai RM20,000 tajaan Habib Jewels, perabot bernilai RM5,000, hamper Nano White dan kad ganjaran Palace Lifestyle.

Artis yang hadir menerima hadiah masing-masing ialah Aznil Nawawi, kumpulan Rabbani, Fara Fauzana, Tiz Zaqyah, Remy Ishak, Liyana Jasmay, Aizat, Yuna, Black dan Bunkface.

Turut diraikan ialah penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hajat, Datuk Khadijah Ibrahim yang menerima barangan kemas Habib bernilai RM30,000 dan barangan sumbangan Nano White dan fabrik Jakel.

Selain Norasyikin, 47 pembaca bertuah lain turut menerima hadiah berupa barangan kemas dengan jumlah keseluruhan bernilai RM260,000, motosikal Naza Blade 250 bernilai RM16,000 sumbangan Naza Bikes Sdn Bhd, pakej percutian daripada POTO Travel & Tour, pakej rawatan kecantikan dan pelangsingan badan daripada Slimming Sanctuary selain telefon bimbit, iPod, komputer riba, pemain MP4 dan kamera digital.

Majlis penyampaian hadiah kepada semua pemenang ABPBH2009 ini turut diserikan dengan persembahan Siti Nurhaliza; Artis Baru Lelaki Popular, Black; Artis Baru Wanita Popular, Yuna dan juara Bintang Idola Berita Harian (BIBH) 2009, Nor Ashimah Ramli.

- BERITA HARIAN

1 ulasan:

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts