Sabtu, Mei 22, 2010

Maybank sasar transaksi cecah RM3b


Malayan Banking Bhd. (Maybank) menyasarkan jumlah transaksi Maybankard Visa Debit bernilai RM3 bilion dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Ketua Perbankan Konsumer Maybank, Lim Hong Tat berkata, pada masa ini jumlah transaksi yang direkodkan adalah sebanyak RM250 juta sebulan atau kira-kira RM2.5 bilion setahun.

''Jumlah transaksi sebanyak RM2.5 bilion dicatatkan oleh pemegang kad debit sebanyak dua juta. Dengan sasaran sebanyak RM3 bilion, Maybank turut meningkatkan unjuran pemegang kad kepada tiga juta.

''Maybank kini merupakan peneraju dalam pengedaran kad debit di Malaysia dengan penguasaan pasaran sebanyak 82 peratus,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran perkhidmatan kemudahan pembayaran untuk pemegang Maybankard Visa Debit di sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Negara Asia Tenggara Visa International, Peter Maher, Pengurus Negara Visa Malaysia, Stuart Tomlinson dan Naib Presiden Eksekutif, Ketua dan Pembayaran Maybank, Ashraf Ali Abdul Kadir.

Tambah Hong Tat, melalui perkhidmatan terbaharu, pemegang kad Maybankard Visa Debit boleh menggunakan kad tersebut untuk membeli-belah atau pembayaran dalam talian.

''Apa yang perlu mereka lakukan adalah mendaftar kad mereka dengan Maybankard Secure Online Shopping (MSOS) melalui Maybank2u.com. MSOS merupakan protokol yang dibangunkan untuk menjamin keselamatan semasa menjalankan pembayaran elektronik.

''Maybankard Visa Debit merupakan kad Maybank dengan dua tujuan yang mendapat penerimaan domestik dan antarabangsa yang menerima kad Visa,'' jelasnya.

Penggunaan kad debit untuk tujuan membeli-belah dan pembayaran dalam talian adalah pada jumlah maksimum RM5,000 dan pelanggan juga boleh menetapkan kadar penggunaan maksimum peribadi.

''Dalam masa terdekat, Maybank tidak merancang untuk meningkatkan kadar maksimum tersebut,'' katanya.

Dalam tempoh sembilan bulan selepas dilancarkan pada Mac 2008, ia telah mencecah angka satu juta pemegang kad dan dalam tempoh dua tahun ia telah mencatatkan jumlah dua juta pemegang kad.

Ia merupakan pencapaian pertumbuhan sebanyak 102 peratus ahli kad debit pada tahun lalu.

Hong Tat berkata, Maybank kini meluaskan lagi pembayaran kad debitnya kepada pembayaran tempahan perjalanan, hotel dan pembelian runcit dan akan menambah lagi dalam beberapa bulan akan datang.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts