Khamis, Mei 06, 2010

Beginilah nasib polis menjaga keamanan...

Saya turut bersimpati dengan keluarga remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, yang mati ditembak polis selepas tidak berhenti apabila cuba ditahan oleh polis minggu lepas.

Sebagai ibu dan anggota keluarga yang kehilangan anak/anggota keluarga, seharusnya mereka sangat bersedih atas tragedi itu dan adalah hak mereka untuk mempersoalkan tindakan polis sehingga mengorbankan anak mereka.

Walau bagaimanapun, saya juga berpendapat pihak polis yang selama ini kita semua amanahkan untuk menjaga keamanan negara tidak sepatutnya dipersalahkan sepenuhnya apabila tragedi seperti ini berlaku.

Pada saya, mereka telah mengikut prosedur yang sepatutnya sebelum tembakan dilepaskan. Apabila ia berlaku, amat malang sekali mangsa tembakan adalah seorang remaja 15 tahun.

Saya ingin memetik kata-kata seorang pegawai atasan polis yang begitu kecewa dengan masyarakat yang terlalu mudah menyalahkan pihak polis atas kejadian ini.

Bayangkan dalam situasi cemas ketika anggota polis cuba menahan dan mengejar mana-mana suspek, adakah mereka berpeluang dan mempunyai masa untuk 'bertanya' berapakah umur suspek (yang sudah terang cuba melarikan diri) sebelum tindakan lanjut boleh dilakukan?

Saya percaya kejadian sedih ini tidak akan berakhir begini sekiranya remaja dan rakannya berhenti dan menyerah diri sesudah tayar kereta mereka bocor terkena tembakan dalam usaha polis memberhentikan kereta. Benar, mereka masih muda tetapi mungkin kita lupa banyak sudah kes jenayah melibatkan remaja sekitar umur begini.

Sekiranya mangsa adalah anggota polis, siapa yang membela nasib mereka? Paling tidak pun, sudah tentu kita akan berkata; ''Oh.. itu kerja mereka dan risiko terkorban atau tercedera sudah tentu polis sudah sedia maklum.''

Beginilah nasib pihak yang menjaga keamanan dan keselamatan negara. Apabila kadar jenayah meningkat polis dituduh tidak buat kerja. Tetapi apabila pekara begini berlaku polis pula dituduh salah guna kuasa.

SHIDI
Semenyih, Selangor

- FORUM UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts