Sabtu, Mac 06, 2010

Kena tindakan jika tak lapor kes dera

Ahli keluarga, pengasuh dan pengamal perubatan adalah tiga kategori utama yang boleh diambil tindakan undang-undang jika mereka mengetahui berlaku kes penderaan kanak-kanak, tetapi tidak melaporkannya kepada polis untuk diambil tindakan.

Tindakan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan dan dalam kes penderaan anak, ibu bapa menjadi orang paling bertanggungjawab.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pihaknya tidak berkompromi dengan mereka yang terbabit melakukan penderaan kanak-kanak, sebaliknya mahu polis mengambil tindakan tegas bagi membendung perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.

Beliau juga mengarahkan semua pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri bertindak segera jika ada kanak-kanak didera, terabai, teraniaya atau berada dalam persekitaran berbahaya untuk diambil dan diberi perlindungan JKM.

Katanya, langkah awal itu bagi menyelamatkan kanak-kanak terbabit daripada terus menjadi mangsa penderaan dan pada masa sama, polis boleh menjalankan siasatan.

"Saya nak bagi amaran jangan sesekali ibu bapa dan ahli keluarga mengambil perkara ini (kes dera) sambil lewa kerana mereka akan berdepan tindakan undang-undang jika tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Jalinan Rakyat peringkat negeri Terengganu dan majlis pelancaran Skuad Sayang Wanita Umno Terengganu di Dataran Bukit Payong di sini, semalam.

Shahrizat berkata, masyarakat perlu menggunakan talian Nur 15999 untuk membuat laporan kes dera terhadap kanak-kanak dan sikap tidak prihatin untuk berbuat demikian boleh menyebabkan kes itu terus berleluasa.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts