Sabtu, Februari 13, 2010

UPM lancar laman web pencegahan kanser

STATISTIK oleh Pendaftar Kanser Nasional mencatatkan sebanyak 21,773 kes kanser di Semenanjung Malaysia pada tahun 2006.

Daripada jumlah itu, seramai 11,799 merupakan pesakit wanita manakala 9,974 lelaki dengan dominasi di kalangan kaum Cina berbanding Melayu dan India.

Antara catatan kes paling tinggi adalah kanser payu dara, kolorektal, paru-paru, serviks dan juga nasofarinks.

Melihat betapa seriusnya masalah itu, banyak kajian dan penyelidikan di peringkat antarabangsa telah dijalankan.

Tujuannya adalah untuk mencari punca dan kaedah rawatan terbaik agar ia dapat dicegah pada peringkat awal.

Kebanyakan hasil kajian mendapati kes-kes penyakit kanser ini berpunca daripada faktor pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.

Ia merujuk kepada tabiat kurangnya melakukan aktiviti kecergasan fizikal, merokok, mengambil minuman keras dan sebagainya.

Di samping itu kemajuan dalam pelbagai sektor dan bidang perindustrian juga menjadi penyumbang perubahan cara hidup seharian masyarakat.

Justeru, adalah menjadi cabaran kepada kita untuk mengambil inisiatif menghindari tabiat-tabiat negatif tersebut agar kesihatan diri dan keluarga terjamin.

Untuk tujuan sama, terdapat juga banyak aktiviti kesedaran dijalankan oleh badan kerajaan serta pihak swasta.

Contohnya seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) yang baru-baru ini telah melancarkan laman web NutriHealth bertujuan menyampaikan maklumat dan pengetahuan mengenai pencegahan kanser kepada umum.

Dijalankan oleh sekumpulan penyelidik daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, laman web berasaskan penyelidikan itu boleh diakses menerusi alamat www.nutrihealth-upm.com.

Menurut Ketua Penyelidik Promosi Kesihatan Tempat Kerja bagi Kajian Pencegahan Kanser, Prof. Madya Dr. Mirnalini Kandiah, kajian yang melibatkan penyertaan lebih kurang 360 orang kakitangan UPM itu mengambil masa selama dua tahun.

''Kita telah memulakan penyelidikan bermula tahun 2008 dan siap sepenuhnya pada bulan November tahun lalu di bawah pembiayaan skim geran penyelidikan universiti.

''Semua maklumat dalam laman ini tersedia dalam Bahasa Malaysia kerana informasi penting seperti ini perlu disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami,'' katanya pada pelancaran laman web tersebut di UPM, Serdang baru-baru ini.

Laman utamanya memuatkan pilihan capaian beberapa kandungan penting seperti pengenalan situasi dan keadaan penyakit kanser di Malaysia, bahan sokongan pendidikan, kertas kajian, klip video dan juga pautan memuat turun buku-buku mengenai kanser.

Selain itu, pengunjung juga disediakan dengan maklumat pihak yang boleh dihubungi secara peribadi sekiranya mereka ingin mengajukan sebarang pertanyaan atau menyertai forum yang dianjurkan oleh NutriHealth.

Menerusi cara tersebut, pengguna berpeluang mendapatkan bantuan dan sokongan mengenai kanser dengan lebih tepat.

Kandungan informasinya pula akan dikemaskini dari semasa ke semasa agar pengunjung sentiasa mendapat maklumat terkini.

''Keunikan lain laman web ini, paparan maklumatnya adalah berdasarkan kajian terperinci yang telah dibuat,'' jelasnya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof. Dr. Azhar Md. Zain berkata, pelancaran laman web berkenaan diharap dapat memberi manfaat secara meluas kepada masyarakat umum.

''Laman ini secara tidak langsung memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha mengurangkan kadar penyakit kanser di kalangan rakyat negara ini.

''Selain itu, laman ini juga boleh dipromosikan di sekolah-sekolah untuk memupuk golongan muda mengamalkan gaya hidup sihat,'' katanya.

Pada masa hadapan, laman berkenaan akan mengetengahkan medium penyampaian dalam Bahasa Inggeris pula bagi menarik lebih ramai pengunjung.

Ia diharap akan dapat membantu masyarakat dalam menjaga kesihatan diri dan keluarga.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.