Tiada arahan amaran bahaya telefon bimbit

Para pengeluar telefon bimbit tidak perlu menampal amaran risiko tumor otak akibat penggunaan alat itu pada produk mereka sebelum ia disahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, walaupun kerajaan mengambil kira semua pandangan berkaitan kepentingan awam namun sebarang arahan perlu dibuat berdasarkan kajian yang sah dan berkecuali.

Katanya, ini kerana terdapat banyak aduan membabitkan penggunaan telefon bimbit yang diterima pihaknya sebelum ini didapati tidak sah dan mempunyai kepentingan tertentu.

"Setelah diselidik, banyak kajian yang didedahkan kepada kami sebelum ini (mengenai telefon bimbit) mempunyai kepentingan masing-masing.

"Contohnya ada kalangan pengkaji ini didapati tidak menyukai perkembangan industri telefon bimbit atas pelbagai sebab.

"Jadi kerajaan perlu bersikap adil dan hanya laporan WHO akan diterima pakai," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan tentang bahaya penggunaan telefon bimbit ke atas orang ramai dan menggesa kerajaan mewajibkan pengeluar meletakkan tanda amaran tentang risiko itu pada produk mereka.

Presiden CAP, S. M. Mohamed Idris memberitahu, kajian oleh Hospital Universiti Orebro, Sweden mendapati penggunaan telefon bimbit secara berterusan selama lebih 10 tahun mampu meningkatkan risiko tumor otak.

"Bagi setiap 100 jam penggunaan telefon bimbit, penyakit tersebut meningkat sebanyak lima peratus," katanya.

Rais seterusnya menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu mempercayai laporan sedemikian tanpa rujukan lanjut atau disahkan oleh pihak berkuasa.

"Orang ramai jangan terima sahaja, ini serupa seperti dulu apabila ada stigma mengatakan makan ubi kentang akan dapat penyakit usus yang kemudiannya terbukti tidak benar," tegasnya.

- UTUSAN

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.