Ahad, Januari 10, 2010

Program Saya nak cuti! Astro


Hanya melengkapkan karangan 'Mengapa mereka atau saya paling layak untuk memenangi percutian ini...' dengan tidak melebihi 350 patah perkataan, siapa tahu anda berpeluang meraih percutian percuma ke mana-mana destinasi di Asia Tenggara (Asean) menerusi program separa realiti, Saya Nak Cuti!

Bahkan, impian untuk bergelar pengacara juga menjadi kenyataan apabila pemenang diberikan kesempatan muncul selama 30 minit di kaca televisyen sambil menceritakan momen terindah di negara yang dilawati.

Seramai tujuh peserta bertuah akan terbang ke salah satu daripada 17 lokasi berlainan ditawarkan oleh syarikat penerbangan Malaysia Airlines sambil ditemani krew produksi Saya Nak Cuti! untuk merakamkan pengalaman mereka di sana.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, Saya Nak Cuti! merupakan kolaborasi Astro Ria (saluran 104) dan Malaysia Airlines berkonsepkan pengembaraan yang menyuntik sedikit kelainan berbanding program berjalur sama.

"Setiap insan tidak dinafikan memiliki percutian idaman dalam hidup masing-masing. Cuma ada di antara mereka belum sempat merealisasikan angan-angan ini disebabkan terikat dengan komitmen kerja atau hal lain.

"Impian mereka bukan saja ditunaikan dalam program ini, bahkan setiap kenangan menarik yang dikutip dikongsi dengan ahli keluarga, sahabat handai serta masyarakat.

"Pemenang juga bakal menjadi inspirasi kepada orang lain kerana Saya Nak Cuti! memperlihatkan peluang kepada pemenang untuk menjadi hos percutian sendiri.

"Pada waktu yang sama, program ini barangkali dapat mencungkil bakat tersembunyi pemenang dan seterusnya menjadi batu loncatan untuk menjadi personaliti televisyen.

"Elemen menarik lain termasuk undian awam yang membolehkan orang luar mengundi peserta yang diminati," katanya ketika ditemui pada sidang media program tersebut di Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini.

Turut hadir ialah Penolong Pengurus Besar Bahagian Jualan Malaysia dan Brunei, Azman Ahmad dan Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB), Zainir Aminullah.

Sambung Azlin, pihaknya sentiasa akur dengan kehendak pelanggan yang dahagakan program terbaik berbanding rancangan sedia ada ditawarkan sebelum ini.

"Astro Ria berjaya menarik perhatian audiens menerusi rangkaian program realiti berbentuk hiburan seperti Akademi Fantasia dan Sehati Berdansa.

"Saya Nak Cuti! menjadi taruhan terbaru pada tahun ini di Astro Ria," jelasnya.

Penonton yang berminat menyertai program itu dikehendaki menghantar gambar berukuran 4R dan menyudahkan karangan pendek.

Mereka boleh memilih atau mencalonkan sesiapa sahaja yang difikirkan layak termasuk diri sendiri. Semua penyertaan perlu dihantar ke laman sesawang www.mastraveller.com sebelum 31 Januari ini.

Seramai 20 peserta akan disenarai pendek sebelum mara ke peringkat seterusnya.

Para juri bakal menentukan tujuh pemenang utama daripada 12 peserta terakhir.

Saya Nak Cuti! bakal bersiaran di Astro Ria (saluran 104) pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

- KOSMO!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts