Selasa, Disember 22, 2009

Tip mencari teman

Tidak semua remaja memiliki ramai teman. Justeru, remaja tersebut tidak mempunyai sebarang aktiviti sepanjang mereka bercuti. Ini tentu membosankan.

"Kenapa aku tidak mempunyai ramai teman?. Bosannya hidup. Tak dapatlah aku melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan," getus hati Ani yang banyak menghabiskan masa senggangnya bermain dengan kucing di rumah.

Ani tahu bahawa memiliki ramai teman membuatkan hidup remaja tidak dilanda bosan. Masa senggang sentiasa dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti menonton wayang, membeli-belah, bersukan, memasak dan pelbagai lagi.

Kadangkala seorang teman boleh meredakan perasaan kita yang sedang berkecamuk dengan berkongsi masalah.

Namun, tidak semua remaja memiliki ramai teman. Justeru, remaja tersebut tidak mempunyai sebarang aktiviti menarik sepanjang mereka bercuti.

Bagaimana seorang remaja itu boleh memiliki teman yang ramai?. GenK senaraikan tip memperoleh teman yang ramai:

Mudah senyum

Remaja yang mudah memberikan senyuman pastinya membuatkan orang selesa untuk menghulurkan salam perkenalan. Berbeza pula dengan remaja yang berjalan dengan tidak memandang sekeliling. Pastinya, mereka akan dianggap sombong.

Senang didekati

Orang yang mudah didekati sangat mudah untuk memulakan sesi perbualan. Mereka mudah menunjukkan rasa selesa dan bersikap mesra walaupun baru berkawan.

Pendengar yang baik

Ramai yang menganggap teman yang baik adalah mereka yang sentiasa mendengar dan memberi maklum balas yang baik. Walaupun perbualan yang anda terima membosankan, tidak salah jika anda mendengarnya. Ia akan membuatkan rakan anda berasa diri mereka dihargai.

Memahami

Rakan-rakan boleh menerima dan mendengar nasihat daripada anda serta pandangan yang diberikan dengan hati terbuka. Nasihat yang diberikan juga amat meyakinkan rakan anda.

Bersama kala susah dan senang

Ketika rakan mengalami krisis duit, keluarga atau percintaan, anda datang menghampirinya dan cuba memahami situasinya. Seboleh-bolehnya, anda berikan pertolongan dan pandangan. Nasihat dan pandangan anda itu mestilah tidak mempunyai unsur berat sebelah dan tidak meletakkan kesilapan pada mana-mana pihak.

Jujur

Sentiasa bercakap jujur di dalam persahabatan membuatkan rakan lebih mempercayai anda.

Nada suara teguran dan komen yang membina juga perlulah tidak kedengaran mengejek. Sahabat sejati akan menerima setiap teguran daripada anda.

Baik hati

Jika anda memiliki sikap baik hati, pasti semua orang ingin menjalin persahabatan dengan anda. Walaupun rakan anda mempunyai kelebihan dari segi fizikal mahupun mental, anda tidak pernah berasa iri hati atau cuba memburukkan rakan.

1 ulasan:

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.