Ahad, Disember 13, 2009

Sultan Selangor kecewa dengan situasi politik

KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam menegur kerajaan negeri dan melahirkan kebimbangan baginda dengan keadaan semasa di negeri ini yang meletakkan agenda politik mengatasi pembangunan negeri.

Tegas baginda, perkara kecil berlaku di Selangor kadangkala dihebah dan diperbesarkan sehingga melampaui batasan dan menyebabkan rakyat menjadi keliru.

Justeru, baginda mahu kepemimpinan tertinggi negeri itu agar jangan banyak bercakap saja, sebaliknya melaksanakan perkara berfaedah untuk rakyat.

"Beta percaya rakyat lebih selesa berbincang dan bercakap mengenai pembangunan dan kesejahteraan daripada bertelagah mengenai soal politik.

"Beta mengingatkan bahawa kerajaan Selangor pada masa ini bertanggungjawab membina dan membuat landasan bagi keharmonian dan kesejahteraan rakyat pada masa depan," titahnya pada Istiadat Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor sempena ulang tahun Keputeraan Baginda ke-64 di Istana Alam Shah di sini.

Kerabat Diraja Selangor, Tengku Ahmad Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang dikurniakan Darjah Kerabat Selangor Kedua (DKII) mengetuai 102 penerima darjah kebesaran dan pingat.

Istiadat Pengurniaan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir akan diadakan pada tarikh lain.

Sultan Sharafuddin bertitah, masa untuk mencari kesalahan dan kelemahan sudah berlalu dan kini waktunya untuk kerajaan negeri Pakatan Rakyat melaksanakan segala perancangan dan janji yang dibuat ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2008 untuk kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.

Baginda turut mahu Menteri Besar Selangor dan barisan Exconya melaksanakan tugas mentadbir dan pembangunan negeri dengan penuh dedikasi serta sentiasa mempercayai dan bekerjasama dengan penjawat awam yang berkhidmat di negeri itu.

"Kerjasama dan kepercayaan antara eksekutif dengan penjawat awam penting bagi memastikan pembangunan di negeri ini berjalan lancar.

"Beta berkenan supaya pegawai kerajaan menjalankan tugas dengan telus dan berdedikasi, jangan mengambil kesempatan menyalahguna tanggungjawab demi kepentingan peribadi yang akan merosakkan pentadbiran dan menyusahkan rakyat," titahnya.

Baginda juga mahu hubungan baik kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dengan kerajaan Pusat dapat diteruskan supaya agenda pembangunan dapat dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat.

Baginda juga bertitah, rakyat Selangor yang mahu menyalurkan pendapat atau rintihan bagi mencari jalan penyelesaian perlu menggunakan saluran yang disediakan mengikut undang-undang.

Titah baginda, perbezaan fahaman politik bukan alasan untuk tidak saling menghormati antara satu sama lain dan hidup bersatu padu demi kemajuan dan kesejahteraan bersama.

Baginda mahu melihat rakyat di Selangor bebas bergerak dan tidak berasa takut atau khuatir terhadap keselamatan diri, harta benda dan keluarga.

Justeru, baginda mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menjalankan tugas mereka dengan penuh azam dan komitmen bagi menghapuskan jenayah di Selangor.

Sultan Sharafuddin turut menasihatkan waris dan kerabat diraja Selangor supaya sentiasa menjaga nama baik dan tidak melakukan sesuatu yang akan menjejaskan imej serta kedudukan mereka sebagai kaum kerabat diraja.

"Reputasi dan nama baik hendaklah sentiasa dipelihara daripada perkara negatif kerana nama yang baik adalah satu aset yang berharga kepada individu dan institusi Istana Selangor," titahnya.

- BERITA MINGGU

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts