10 artis lalok


Oleh NAZARALI SAERIL dan FIRDAUS SAHAT
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Bimbang kerjaya mereka dalam dunia hiburan musnah dan nyawa juga mungkin melayang, seramai 10 artis tanah air yang terjerat dengan gejala dadah secara sukarela ‘menyerah diri’ kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta mohon diberikan rawatan pemulihan.

Mendedahkan perkara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Profesor Dr Mahmood Nazar Mohamed berkata, semua artis itu lelaki dan sebahagian daripada mereka termasuk dalam kelompok yang dianggap popular.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti artis terbabit kerana tidak mahu mengaibkan mereka, tambahan pula mereka sudah insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan.

“Kami memang menyediakan program pemulihan ketagihan dadah kepada sesiapa saja termasuk golongan artis. Jadi, apabila 10 artis itu datang mendapatkan bantuan, kami berikan mereka rawatan sewajarnya dan syukur, setakat ini semua artis itu menunjukkan tanda pemulihan yang positif,” katanya.

Dr Mahmood Nazar berkata, semua artis terbabit datang secara sukarela bersemuka dengan AADK selepas mendapati mereka mula berdepan masalah akibat ketagihan ganja serta pelbagai jenis pil dan bimbang menjadi penagih tegar.

Berdasarkan maklum balas daripada temu duga dijalankan dengan artis terbabit, Dr Mahmood Nazar mengatakan, mereka mengambil dadah sejak berjinak dalam industri hiburan.

“Secara umumnya, artis terbabit memberitahu dadah yang sering diambil ialah ganja serta daripada jenis pil. Mulanya ia diambil dalam kuantiti kecil tetapi akhirnya bertambah kerana keperluan akibat ketagihan.

“Mereka mendakwa mengambil pelbagai jenis dadah terbabit kerana gemuruh untuk berdepan penonton, menambahkan kekuatan fizikal untuk mengadakan persembahan dan pelbagai lagi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya akhirnya mereka mula menyedari dadah yang diambil langsung tidak membantu kerjaya mereka, sebaliknya mengakibatkan kesihatan mereka mula terjejas dan periuk nasi mula terancam.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai rawatan pemulihan yang diberikan AADK terhadap artis terbabit, Dr Mahmood Nazar berkata, mereka tidak dihantar ke pusat pemulihan sebaliknya dihantar mengikuti program Pemulihan Dalam Komuniti di mana-mana daripada 93 daerah kelolaan AADK seluruh negara.

“Di sana, mereka akan mengikuti kaunseling selain bertukar pandangan dengan rakan dalam program. Mungkin ada peminat mereka dalam program berkenaan tetapi ia tidak menjadi masalah kerana semuanya bersikap profesional semata-mata mahu pulih,” katanya.

Menurut Mahmood, sebahagian daripada artis itu sudahpun menamatkan program pemulihan dan ada lagi yang masih meneruskannya.

“Apa yang membanggakan, ada daripada artis terbabit sanggup bekerjasama dengan AADK untuk bersama-sama menjalankan program pemulihan jika khidmat mereka diperlukan,” katanya.

Dalam masa sama, Mahmood tidak menafikan ada lagi artis yang terbabit dalam penagihan dadah tetapi tidak mendapatkan apa-apa rawatan pemulihan daripada mana-mana pihak.

“Mungkin mereka bimbang jika peminat tahu berkaitan perkara negatif itu. Dadah tidak tertumpu kepada artis kerana ia boleh berlaku terhadap sesiapa saja.

“Oleh itu, jangan malu untuk mendapatkan rawatan pemulihan kerana tidak kira anda artis atau sesiapa saja, usah musnahkan masa depan semata-mata mahu menjadi mayat hidup,” katanya.

- METRO AHAD

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.