Rabu, Disember 02, 2009

Produk China buat kita 'angkat kening'

Oleh AFIQ HANIF
afiq@hmetro.com.my

Stigma mengaitkan produk elektronik dari China tidak berkualiti tinggi mungkin tidak akan hilang dari pendapat rakyat negara ini persepsi itu seakan sebati di naluri mereka berdasarkan pengalaman lalu.

Apa saja produk yang bertulis 'Made In China' dianggap tidak mempunyai kualiti sempurna jika dibandingkan dengan barangan buatan negara lain.

Pendapat sedemikian tidaklah dianggap salah memandangkan pengalaman sebelum ini dengan produk China yang tidak setanding dan tidak mampu bertahan lama.

Cuma harga yang murah menjadi taruhan pembeli.

Bagaimanapun, tidak semua produk dari China perlu dianggap 'koman' atau cepat rosak kerana pembangunan sesuatu produk bergantung kepada kekuatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang meneliti kualiti barangan terutama perkakasan elektronik.

Oleh itu, Pengurus Komunikasi Lenovo ASEAN, Derrick Koh beranggapan pendapat itu tidak tepat selagi pengguna tidak mengkaji sejauh mana pembangunannya dilaksanakan sebelum dipasarkan.

"Asalkan namanya dari China, belum tentu ia tidak berkualiti kerana syarikat yang bersungguh dalam penyelidikan mampu menghasilkan produk hebat," katanya.

Pengurus Makmal Persekitaran Konsisten, Makmal Pembangunan Desktop (China), Lenovo, James Zhou, berkata terdapat hampir 40 makmal ujian yang menyelidik keberkesanan pembangunan desktop di tiga negara termasuk Jepun, China dan Amerika Syarikat.

Tidak dapat dijelaskan fungsi setiap makmal secara terperinci kerana banyak perkara tidak boleh didedahkan kepada umum, namun secara amnya ia mempunyai kelengkapan cukup untuk menguji desktop sebelum dipasarkan.

Terdapat makmal yang menguji desktop menerusi tiga ujian merangkumi ketahanan papan induk, ketahanan suhu dan kelembapan serta sistem haba.

Ketiga-tiga ujian terbabit menentukan ketahanan kepada suhu sehingga 60 darjah selsius, kecukupan untuk bertahan di bawah paras beku bagi memastikan ia sesuai digunakan untuk persekitaran pengguna di seluruh dunia.

Makmal Prestasi Peningkatan Jangka Hayat Awal (EELP) mengamalkan konsep sama seperti makmal pertama namun kawasannya lebih luas dan mampu meletakkan 200 produk pada masa sama untuk diuji serentak yang mengawal kualiti dan mutunya.

Ketika proses ini dijalankan, suhu maksimum 40 darjah selsius akan diaplikasikan bagi memastikan ia bersedia untuk menemui si pemiliknya di pasaran.

Semua desktop yang tidak melepasi saringan ujian akan dilupuskan untuk memelihara kualiti dan mutu jenama Lenovo.

Ujian Pancaran Radiasi akan meletakkan komputer peribadi (PC) atas meja setinggi hampir satu meter mengadap pancaran radiasi untuk menentukan ia selamat bagi tubuh badan manusia.

Selain itu, ujian pelepasan elektrik statik juga digunakan untuk bagi memastikan voltan yang dikeluarkan badan manusia tidak mengganggu operasi komputer sebaik ia dibuka.

"Sebenarnya, badan manusia akan mengeluarkan 8,000 voltan secara automatik dan secara tidak langsung ia boleh mengganggu komputer ketika ia beroperasi," kata Zhou.

Malah, Lenovo turut menjalankan ujian lain dengan meletakkan beberapa perkakasan elektronik berdekatan komputer seperti pemain MP3, kamera, telefon bimbit dan sebagainya dalam usaha memastikan ia tidak mengganggu pengalaman pengguna.

Seterusnya, PC akan dihantar ke makmal membuat saringan keselamatan bagi setiap negara yang memasarkan produk Lenovo.

"Ia adalah lanjutan ujian elektrik kerana negara tertentu mungkin memiliki piawaian berbeza mengenai tahap voltan pada produk dan akan dikaji sebelum dipasarkan ke negara terbabit," kata Zhou.

Zhou berkata, Lenovo akan mendapatkan sijil pengiktirafan dari setiap negara terbabit menerusi wakil mereka yang berada di sana.

Beliau berkata, setiap komputer yang diuji perlu melepasi semua ujian dan akan dilupuskan secara automatik jika gagal berbuat demikian.

Di samping itu, Lenovo turut mempunyai makmal Akustik yang mengesan tahap bunyi PC bersesuaian dengan penerimaan telinga manusia bagi memelihara kesihatan deria terbabit.

Sensitiviti penerimaan bunyi dikesan menurut ukuran tenaga bunyi menerusi desibel (dBA) yang ditetapkan dunia.

Makin kurang sesuatu nombor dBA, ia lebih baik untuk telinga manusia.

Ia dikira berdasarkan keadaan bunyi biasa di rumah sebanyak 30dBA merangkumi bunyi kipas, televisyen, radio, angin dan sebagainya.

Manakala bunyi standard di pejabat mencecah angka 55dBA bergantung termasuk bunyi pencetak, PC, dan sebagainya.

Menurut Zhou, bagi memelihara ekosistem yang baik tidak kira di mana pengguna berada, Lenovo menetapkan bunyi standard PCnya kepada 25dBA atau kurang menyeimbangi bunyi lain di persekitaran.

"Standard dunia menetapkan bunyi yang perlu dipatuhi pengeluar perkakasan komputer ialah maksimum 30dBA namun ia juga tertakluk kepada sesebuah negara," katanya.

Tahap penerimaan yang baik untuk kesihatan manusia berada di antara 30dBA sehingga jumlah maksimum 120dBA.

Sementara itu, kemudahan Kilang Pengeluaran Lenovo di Beijing turut memainkan peranan penting dalam proses menghasilkan PC apabila mengenakan proses ketat sebelum ia menjadi hak milik pengguna.

Menerusi konsep Jaminan Pengguna yang ditawarkan, kilang terbabit mewujudkan simulasi bagi memastikan segalanya berjalan lancar.

Setiap komponen PC akan dilakukan secara separuh automatik mengikut kaedah yang ditetapkan kejuruteraan Lenovo.

Papan induk akan dimasukkan terlebih dulu diikuti penempatan cakera keras sebelum diuji ketahanannya di bilik khas yang dituruti komponen lain dalam PC.

Manakala bahagian terakhir akan menguji kemampuan perisian dan aplikasi yang dijalankan jurutera khas.

Setakat ini, kilang terbabit mampu menghasilkan empat hingga lima juta PC setahun.

Dalam pada itu, Pengarah Kumpulan Pasaran Membangun Unit Perniagaan Think Lenovo, Liqun Xue, menerangkan proses R&D syarikat itu dibuat berdasarkan konsep sumber dunia.

"Konsep terbabit bermakna kami akan mencari sumber yang terdapat di dunia ini untuk digunakan dalam produk selain mendengar pendapat pengguna," katanya.

Xue berkata, salah satu penyelidikan berjaya diaplikasikan menerusi rekaan tahan lasak berikutan permintaan pengguna yang mahu mengelak kerosakan pada PC.

"Produk laptop Thinkpad dihasilkan melalui R&D mantap yang membolehkan kami menghasilkan papan kekunci bermutu tinggi.

"Ia boleh menyalurkan air yang tumpah di atas permukaannya dengan proses tapisan sebanyak tiga bahagian diperbuat daripada aloi magnesium," katanya.

Katanya, bahan kerangka laptop juga dikaji menerusi perkongsian maklumat dengan organisasi perlumbaan Formula Satu (F1) yang ditaja Lenovo.

"Hasil kajian, kami mendapati beberapa bahan dari kereta F1 boleh digunakan untuk pembinaan laptop seperti gentian yang mampu mengelak kerosakan pada kerangka," katanya.

Tambahnya, Lenovo turut menggunakan konsep burung hantu untuk menjadikan laptopnya tidak berbunyi bising ketika digunakan.

"Kalau dilihat pada sifat burung hantu itu, ia akan senyap apabila terbang dengan mengoptimumkan penggunaan sayap.

"Keadaan udara yang mengalir pada badan burung hantu membolehkannya terbang tanpa bunyi kuat," kata Xue.

Xue berkata, sifat yang burung hantu mampu digunapakai untuk rekaan laptop yang beroperasi secara senyap namun tidak berkompromi dari aspek prestasi.

Menyentuh mengenai rekaan PC, Pengarah Bahagian Rekaan Lenovo, Johnson Lee, berkata terdapat tiga tempat yang mengkaji rekaan sesuai untuk produk terbabit iaitu Beijing, Raleigh di Amerika Syarikat dan Yamato di Jepun.

Lenovo menerusi Pusat Rekaan Inovasinya menggabungkan penyelidikan seni, teknologi dan aspek kemanusiaan untuk diterapkan dalam pembangunan PC.

"Prosesnya bermula apabila jurutera mengetengahkan idea mengenai struktur PC sebelum pihak kami memikirkan seni bersesuaian termasuk warna dan simbol," kata Lee.

Menurutnya, cadangan rekaan akan dihantar semula ke jurutera untuk mendapat pengesahan berkaitan arkitektur kerangka sebelum contoh produk siap dihasilkan.

"Pada kebiasaannya, jurutera akan mendapatkan idea secara kasar dari kami sebelum mereka mencipta PC baru," ujarnya.

Proses rekaan mengambil masa setahun bergantung kepada tahap kerumitan PC itu sendiri.

Pusat Rekaan Inovasi terbabit mempunyai 100 kakitangan yang menggabungkan pereka dari China, New Zealand, Jerman, Singapura, Itali dan Amerika Syarikat.

Syarikat perkomputeran dengan jualan paling laris di China itu meletakkan empat kategori bagi produk penggunanya.

Pengarah Perancangan Produk, Unit Perancang Idea untuk Laptop, Kevin Gao, berkata ia terbahagi kepada Hiburan Y yang merangkumi hiburan, Indah U untuk pengguna wanita, Popular G untuk perniagaan dan Warna untuk pilihan rekaan unik.

"Kesemua bahagian didatangkan dengan teknologi berlainan seperti bateri tahan lama, mudah alih dan bergantung kepada keperluan," kata Gao.

Gao berkata, Lenovo setakat ini sudah memperkenalkan inovasi tersendiri seperti pengesahan muka, perlindungan dengan satu butang dan mudah digunakan.

Beliau berpendapat, pada masa depan, PC akan mementingkan kad grafik berkuasa tinggi selain visual tiga dimensi (3D).

"Grafik berkuasa tinggi menjadi faktor penentu kerana resolusi jelas semakin dituntut pengguna di dunia," katanya.

Tambahnya lagi, penggunaan rangkaian sosial menggunakan web 2.0 semakin mendapat tempat dan Lenovo bersedia mengetengahkan konsep satu butang untuk membuka laman web sosial pada masa akan datang untuk laptop.

"Kami turut menunggu keupayaan rangkaian WiMAX di setiap negara bagi membolehkan kami menetapkan cip pada perkakasan komputer.

"Setakat ini, hampir 70 peratus produk yang dipasarkan dilengkapi cip WiMAX manakala Amerika Syarikat dan Jepun adalah negara yang mula bersetuju untuk membawa produk sama," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Pasaran Membangun Lenovo, Chen Shaopeng, menjelaskan hanya inovasi dihasilkan sendiri yang berupaya menghasilkan teknologi bagus.

"Mungkin vendor lain banyak bergantung kepada pengilang perkakasan asli (OEM) untuk menghasilkan teknologi namun kami memperuntukkan hampir RM5 bilion untuk R&D," katanya.

Beliau berkata, produk PC semua dalam satu (AIO) akan menggantikan PC tradisional manakala Internet mudah alih bakal menyaksikan populariti netbook meningkat naik.

Sememangnya, produk yang berkualiti banyak bergantung kepada keupayaan syarikat berbelanja besar dalam pelaburan R&D masing-masing.

Perbelanjaan yang besar mampu memenuhi permintaan pengguna di samping memelihara kualiti produk tidak sama ada ia dari China atau negara lain.

- HARIAN METRO

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.