Khamis, Disember 03, 2009

Membaikpulih Muzik-Muzik


Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

Pada usia lebih 20 tahun, rancangan Muzik-Muzik bagai kehilangan maya. Tidak lagi dilihat sebagai sebuah rancangan TV yang mengujakan, dihadapkan dengan seribu satu kemelut, rancangan hiburan itu dilihat semakin ‘nazak’ untuk terus bertahan dengan nama yang gah. Selain itu Muzik-Muzik turut berhadapan dilema sama ada masih relevan atau sebaliknya?

Sejak dua dekad lalu, Muzik-Muzik menjadi sebuah program hiburan yang diklasifikasi sebagai tayangan wajib tonton. Waima tertinggal dalam tempoh satu minggu sekalipun, ia bagai satu kerugian besar kepada para pengikutnya.

Tidak seperti rancangan carta muzik stesen TV lain yang cenderung memutarkan video muzik lagu, lain pula halnya dengan program Muzik Muzik. Penyanyi yang terlibat dengan program itu harus menonjolkan persembahan secara langsung di studio sambil disaksikan penonton.

Muzik-Muzik memilih lagu-lagu yang paling berjaya sepanjang tahun untuk ke gelanggang Juara Lagu yang kini dikenali Anugerah Juara Lagu (AJL), diadakan pada awal setiap tahun berikutnya.

Muzik-Muzik dan AJL adalah satu-satunya rancangan yang memberi penghargaan kepada komposer dan penulis lirik lagu. Melaluinya mereka di sebalik tabir kejayaan seseorang artis merasa dihargai dan dimartabatkan.

Juara pertamanya menjadi milik komposer Manan Ngah melalui lagu berjudul Sekadar Di Pinggiran nyanyian Francisca Peter dan liriknya nukilan Lukman S.

Pada awal kemunculan Muzik-Muzik sehingga tahun 1991, lagu-lagu yang dipertanding dinilai secara terbuka tanpa wujudnya kategori-kategori tertentu dan pemenang dipilih mengikut kategori bulanan.

Selepas tahun 1992, Muzik-Muzik mula mengaplikasi konsep pembahagian jalur lagu yang terdiri daripada tiga kategori; Pop/Rock, Balada, dan Irama Malaysia (kini dikenali sebagai Etnik Kreatif).

Tidak dinafikan, Muzik-Muzik pernah menjadi fenomena luar biasa selepas ia diterbitkan dengan jayanya oleh stesen televisyen TV3. Ia menancap signifikan tersendiri penggiat seni tanah air.

Bercerita tentang Muzik-Muzik yang sedikit demi sedikit mulai menunjukkan kemerosotan sejak beberapa tahun lepas, ia dilihat menjadi situasi yang agak membimbangkan.

Sedar mahupun tidak, Muzik-Muzik sekarang tiada lagi hangatnya umpama kemunculan program itu sebelum ini.

Neraca Muzik-Muzik sekarang juga tidak mampu menunjukkan timbangan konsisten disebabkan sedikit demi sedikit penonton mula 'menjauhi' rancangan berkenaan sekali gus membuatkan auranya kini semakin menghilang entah ke mana.

Maka tidak hairanlah, sudah tidak ramai yang mengambil peduli tentang kehadiran Muzik-Muzik sejak kebelakangan ini. Malah waktu siarannya ada kebarangkalian tidak diketahui bila dan pukul berapa terutama kepada audiens yang bukan berjiwa fanatik. Rancangan itu kini disiar selama satu jam mulai pukul 5 petang setiap Sabtu.

Kebanyakan daripada mereka tidak lagi tertunggu-tunggu lagu mana yang masuk pencalonan pada setiap minggu atau ada perasaan ingin tahu tentang lagu mana yang menduduki carta teratas.

Padahal sebelum ini, ramai yang turut beratur di Jalan Liku, Bangsar, Kuala Lumpur dan kini Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor untuk menyaksikan kemeriahan program itu secara langsung.

Bukan setakat seri yang semakin pudar, Muzik-Muzik mula berdepan dengan kesukaran tersendiri apabila bilangan penyertaan bagi kategori Etnik Kreatif nampaknya semakin berkurangan tahun demi tahun.

Ia kelihatan jelas sekali pada musim ke-22 Muzik-Muzik yang begitu mendahagakan calon daripada kategori Etnik Kreatif lalu penganjur terpaksa menambah satu lagi ruang untuk calon AJL kategori Pop/Rock.

Mungkinkah peredaran usia yang meningkat membuatkan pengisian tidak lagi sehebat masa lalu? Atau mungkin terma dan syarat membuatkan Muzik-Muzik dewasa ini menjadi semakin kurang menarik.

Sedangkan orang di belakang tabir sentiasa bersemangat dan bertungkus-lumus untuk memastikan program Muzik-Muzik terus mencapai piawaian membanggakan dari semasa ke semasa walaupun ia sudah memasuki tempoh 24 tahun berada di gelanggang seni.

Aura semakin hilang - Fauzi Marzuki

Karyawan seni popular dan punya banyak pengalaman dalam dunia hiburan, Fauzi Marzuki turut bersetuju bahawa dalam keadaan sekarang rancangan hiburan popular itu sudah semakin kehilangan sengat.

Fauzi melihat Muzik-Muzik tidak berdiri di landasan sepatutnya setelah lebih 20 tahun bersiaran.

"Pihak penerbitan sepatutnya kena cari idea baru. Ini akan membuatkan program mingguan Muzik-Muzik kekal menarik dan dinanti-nantikan oleh penonton.

"Sudah lama sebenarnya saya nampak aura rancangan ini yang menghilang sedikit demi sedikit. Kalau tidak silap, ia mula menurun sejak tiga tahun lalu sampaikan pihak penerbitan terpaksa menghentikan konsep kategori," katanya.

Menurut Fauzi lagi, dengan lagu kurang berkualiti yang terpilih, ia juga memberi impak hambar kepada program tersebut meskipun berpengaruh besar dalam menilai tahap dan kualiti bidang seni dan muzik tempatan.

"Inilah yang menyebabkan Muzik-Muzik dilihat agak bosan dan tidak mampu lagi menambat hati orang ramai berbanding suatu ketika dahulu," kata Fauzi.

Bagaimanapun dalam masa yang sama, Fauzi tidak menafikan peranan Muzik-Muzik sebagai sebuah rancangan yang masih relevan untuk terus bersiaran di kaca TV kerana tanpanya, maka tiadalah Juara Lagu.

Malah Fauzi turut berbangga apabila ia memberi lebih banyak peluang kepada kemunculan muka-muka baru yang dilihat berupaya menjadi pelapis kepada para penyanyi sedia ada.

"Sekurang-kurangnya penyanyi senior boleh bersaing secara sihat walaupun dengan budak-budak yang baru hendak naik.

"Manakala penyanyi baru yang muncul pada program Muzik-Muzik boleh menimba pengalaman. Walaupun program ini semakin hilang sengatnya namun saya percaya situasi ini bakal berubah kerana banyak anak-anak seni yang muncul dengan single sendiri sejak beberapa tahun lalu.

"Selain itu saya juga berharap penonton bijak membuat pilihan dan mengundi menerusi SMS. Jangan fikir sebab kita minat dengan seseorang artis ini maka segera memilihnya walaupun lagu ini tidak bermutu," saran Fauzi.

Pilih juri yang betul - Eddie Hamid

Muzik-Muzik dan Juara Lagu perlu terus hidup untuk menyubur-hijaukan industri hiburan tempatan. Demikian tegas komposer popular Eddie Hamid ketika ditanya pendapat tentang peranan rancangan popular tersebut kepada industri hiburan ketika ini.

Bagaimanapun, kata Eddie, terdapat banyak perkara perlu diberi penambah-baikkan jika mahu memastikan rancangan itu kekal relevan dan berfungsi sebagai pemangkin industri.

"Pertama, juri yang dipilih sebagai pengadil perlulah datang daripada kalangan orang yang tidak berkepentingan dalam industri muzik itu sendiri.

"Untuk Juara Lagu misalnya, seharusnya tidak ada komposer di Malaysia yang boleh diundang sebagai juri, termasuklah Eddie Hamid. Ini bagi mengelakkan wujud unsur kepentingan. Perkara ini yang perlu diubah supaya status dan nilai rancangan itu kekal dipandang tinggi dan berprestij," tegas Eddie.

Meskipun tidak menggunakan nama komposer popular sebagai juri, rancangan itu masih boleh bergantung harap kepada profesional muzik lain yang terdiri daripada Pengarah Muzik di badan-badan kerajaan dan swasta serta pensyarah vokal dan muzik di universiti tempatan.

"Kenapa tidak panggil mereka ini untuk menjadi juri? Kenapa perlu guna khidmat komposer popular yang sudah tentu ada kepentingan tersendiri kepada individu-individu tertentu dalam industri yang sama?

"Kalau ini tidak diubah, saya percaya lambat laun Muzik-Muzik dan Juara Lagu akan hanya menjadi medan untuk mempromosi artis baru dan lagu baru, bukan untuk bertanding karya muzik terbaik dalam erti kata sebenarnya," kata komposer yang sedang popular dengan lagu Janganlah Tak Jadi nyanyian kumpulan AXL.

Medan popularkan diri - Helen Yap

Dalam pada itu, komposer wanita, Helen Yap berpendapat Muzik-Muzik menjadi program yang perlu diteruskan hingga bila-bila kerana ia memiliki kepentingan kepada seluruh penggiat seni.

"Muzik-Muzik menjadi rancangan yang perlu ada dalam industri. Saya cukup yakin ia masih relevan walaupun ada sesetengah pihak yang mengatakan kehebatannya semakin berkurangan. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana kalau rancangan ini dihentikan.

"Biar apa jua yang berlaku, Muzik-Muzik banyak membantu perkembangan kerjaya komposer, penulis lirik dan artis. Populariti Datuk Siti Nurhaliza dan komposer lain termasuk saya juga bermula daripada program ini.

"Begitupun, saya tidak nampak Muzik-Muzik mingguan kurang mendapat sambutan, mungkin sebab orang lebih suka menanti peringkat separuh akhir dan peringkat akhir sahaja, itu biasa. Ia ibarat peminat bola sepak yang tidak suka menonton perlawanan awal, tetapi sanggup melepak melepak di kedai mamak beramai-ramai untuk tonton perlawanan akhir.

"Cuma program ini mungkin sudah lama berada dalam dunia seni. Terus-terang, saya anggap rancangan ini begitu fantastik.

"Ia masih ada tarikan tersendiri. Cuma saya rasa siaran Muzik-Muzik perlu diubah daripada pukul 5 petang kepada waktu perdana. Barulah orang ramai berpeluang untuk menonton program ini," katanya.

TV3 tidak perlu gusar

Menjawab tentang kebimbangan produksi Muzik-Muzik tentang program itu yang dilihat tidak sepanas seperti dahulu, Pengurus Penerbitan Hiburan Primeworks Studios, Fadzliniza Zakaria punya pendapat tersendiri.

Menurut Fadzliniza, pihaknya tidak pernah berasa gusar tentang suara-suara nakal yang mengaitkan rancangan itu mula kehilangan bisanya sejak beberapa tahun lalu.

"Terus-terang, kita tak merasa bimbang dengan keadaan ini. Pihak kami sentiasa mencari cara untuk meningkatkan Muzik-Muzik supaya ia terus diterima oleh peminat.

"Sebelum ini tidak banyak persaingan Muzik-Muzik dengan rancangan hiburan lain di negara ini. Begitupun, kami tetap meneruskan program ini seperti biasa tanpa ada sebarang alasan munasabah kenapa ia harus dihentikan.

"Dalam waktu sama, kami juga menjalankan penyelidikan secara konsisten semata-mata mahu memperbaiki tahap Muzik-Muzik yang dianggap sudah menjadi jenama serta sebahagian penting kepada stesen TV3 dan karyawan seni tanah air.

"Kami menjalankan program Muzik-Muzik bukan sesuka hati atau memiliki agenda tertentu. Hakikatnya kami menggalas harapan tinggi untuk membantu perkembangan industri. Kami juga sering menggalakkan orang-orang baru untuk menghasilkan karya berkualiti supaya ia dapat dinilai dalam Muzik-Muzik.

"Kenyataan orang-orang tertentu yang mengaitkan Muzik-Muzik sudah hilang taringnya dilihat tidak disertakan dengan fakta. Hakikatnya, Muzik-Muzik terus menjadi program pilihan masyarakat berbanding rancangan carta hiburan lain yang meraih jumlah penonton rendah.

"Kami boleh terus berdiri kukuh untuk menerbitkan Muzik-Muzik. Tetapi pada waktu sama, karyawan seni kena muncul dengan karya yang berkualiti dan bukan sekadar melepaskan batuk di tepi tangga," jelasnya berterus-terang.

- KOSMO!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts