Selasa, Disember 08, 2009

Kepentingan harta intelek


Apabila menyebut tentang harta intelek, masih ramai individu kurang memahami mengenai kepentingan perkara tersebut. Malah, ada yang beranggapan masalah berkaitan harta intelek bukan satu isu penting dan tidak membawa apa-apa makna dalam pembangunan sesebuah negara.

Disebabkan itulah terdapat segelintir pihak bertindak sewenang-wenangnya 'mencuri' hak orang lain dan mengaut keuntungan di atas apa yang diusahakan oleh pihak yang bersusah-payah menghasilkan karya tersebut.

Antara yang sering berlaku adalah kes yang melibatkan penghasilan cakera padat (CD) atau video cakera padat (DVD) sesebuah filem atau album yang dihasilkan oleh karyawan seni di Malaysia mahupun di luar negara.

Selain itu, banyak lagi kesalahan yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap sesuatu 'produk' harta intelek seperti menggunakan perisian komputer palsu, meniru logo, plagiat penulisan buku atau tesis.

Menurut Pengarah IP Rights (M) Sdn. Bhd., Gameladha Nasirifin Arifin, tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap kewujudan harta intelek semakin meningkat. Namun, katanya, ia masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan masyarakat di negara-negara maju yang lain.

Jelasnya, walaupun ramai yang mengetahui ketinggian nilai harta intelek, namun masalah berbangkit seperti cetak rompak dan sebagainya tetap wujud dan ia dilakukan dengan lebih meluas.

"Sukar untuk mengubah persepsi masyarakat bahawa membeli barangan cetak rompak sebenarnya satu kesalahan yang besar. Ia secara tidak langsung menggalakkan pihak yang tidak bertanggungjawab menghasilkan lebih banyak barangan sedemikian," kata Gameladha ketika ditemui Kosmo! di Cyberjaya baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut, Gameladha memberitahu harta intelek terdiri daripada empat cabang utama iaitu hak cipta, cap dagang (trademark), reka bentuk industri dan paten.

Kesemua empat perkara itu mempunyai pengkhususan tersendiri yang menjurus kepada pemilikan hak eksklusif terhadap harta intelek yang dihasilkan di bawah zon masing-masing.

"Ia direka semata-mata untuk melindungi hak dan nilai eksklusif sesuatu produk berkaitan harta intelek. Contohnya lirik lagu, penulisan buku, skrip drama, lukisan dan gambar. Kesemuanya terletak di bawah perlindungan hak cipta, manakala logo atau tanda nama pula disebut sebagai trademark.

"Bagi melindungi proses penghasilan sesuatu produk, ia dipanggil paten dan rekaan industri pula melibatkan perlindungan harta intelek terhadap aspek fizikal produk yang dihasilkan," jelas beliau lagi.

Secara umumnya, harta intelek merujuk kepada hasil kreativiti manusia yang merangkumi pelbagai bidang seperti karya muzik, sastera dan seni, hasil reka cipta, simbol, nama, imej dan reka bentuk yang digunakan dalam perniagaan.

Ia termasuklah hak cipta, cap dagang, paten dan hak-hak lain yang berkaitan. Di bawah undang-undang harta intelek, pemegang salah satu daripada 'harta-harta' yang bersifat abstrak itu mempunyai hak eksklusif tertentu untuk harta intelek yang mereka cipta.

Bagaimanapun, kecenderungan sesetengah pihak melanggar undang-undang harta intelek lebih berkait rapat dengan sikap dan pemikiran mereka yang memandang sinis kepentingan harta intelek.

Gameladha yang telah berkecimpung di dalam bidang harta intelek sejak tahun 2003 mengakui salah satu faktor penyebab mungkin disebabkan penguatkuasaan yang lemah dalam memperkukuhkan undang-undang harta intelek.

"Di negara barat, selain daripada penguatkuasaan undang-undang yang dilakukan secara serius, pada amnya masyarakat di sana mempunyai persepsi yang tinggi mengenainya. Oleh itu, mereka menghormati hak pereka sesebuah produk, lirik lagu atau buku.

"Tetapi, di negara kita, masih ada berlaku kes-kes yang mana seseorang itu termasuk profesional menyalin hasil hak cipta seseorang tanpa berasa bersalah," tegas Gameladha sambil menambah bahawa sebenarnya ramai orang melakukan kesalahan harta intelek tanpa mereka sedari.

Memberi contoh tentang perkara di atas, Gameladha membangkitkan satu isu yang sering dilakukan dalam kalangan pelajar universiti iaitu mencetak buku-buku rujukan tanpa kebenaran penulis sebenar.

"Sememangnya ia merupakan pencabulan hak penulis buku atau artikel tersebut, tetapi dalam perkara ini sukar bagi penulis mengawal percetakan haram pihak ketiga melainkan ada pihak yang melaporkan kepada mereka.

"Dalam hal ini, pelajar hendaklah ditegah oleh pihak universiti daripada berterusan melakukan kesalahan tersebut.

"Begitu juga jika seseorang itu memuat turun gambar daripada Internet dan menyebarkannya, ia juga satu kesalahan jika perkara itu tidak mendapat keizinan daripada tuan punya gambar.

"Jika gambar tersebut telah didaftarkan untuk hak cipta, individu berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang," ujarnya lebih lanjut.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Pengeluar/Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan Naib Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim turut melahirkan rasa kesal di atas sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang melanggar undang-undang harta intelek.

Ujarnya, masalah cetak rompak yang membelenggu industri seni hiburan tanah air sukar untuk diselesaikan jika khalayak sendiri tidak menunjukkan keprihatinan terhadap isu tersebut.

"Di kalangan karyawan, kami memang tahu mengenai kepentingan hak cipta atau harta intelek, cuma mungkin masyarakat tidak melihat masalah harta intelek sama seperti kami.

"Masyarakat sepatutnya memahami bahawa cetak rompak adalah musuh utama dalam dunia hiburan kerana ia mampu menjejaskan periuk nasi kami. Saya harap pandangan dan sikap mereka terhadap isu cetak rompak akan berubah," kata Norman ketika dihubungi Kosmo!.

Tambah Norman, kemudahan jalur lebar yang semakin meluas secara tidak langsung turut menyumbang kepada peningkatan masalah cetak rompak digital. Walaupun terdapat akta yang digubal untuk melindungi golongan karyawan, namun kesannya tidak begitu dirasai.

"Bayangkan jika satu ketika dahulu penjualan CD atau VCD boleh mencecah RM300,000 hingga RM400,000 tetapi sekarang hendak dapatkan RM100,000 pun terlalu susah.

"Untuk industri perfileman pula, kerugian boleh mencapai RM100 juta hingga RM200 juta setahun disebabkan masalah cetak rompak ini," tutur Norman sambil berharap minda orang ramai lebih ke hadapan dalam melihat isu perlanggaran harta intelek itu.

- KOSMO!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.