Selasa, November 17, 2009

Polisi Takaful Health PruBSN sedia bonus

PRUDENTIAL BSN Takaful Bhd (PruBSN) memperkenalkan pelan insurans perubatan terbarunya, Takaful Health, yang menawarkan bonus antara RM100 hingga RM500 setahun kepada pelanggan yang tidak membuat tuntutan perubatan sepanjang tahun.

Ketua Operasinya, Azmin Mithani, berkata pelan yang pertama kali diperkenalkan dalam industri Takaful Malaysia, itu akan memberikan lebih tambah nilai kepada pengguna untuk menikmati ganjaran daripada pelaburan mereka, walaupun dalam keadaan sihat.

Bergantung kepada pelan pilihan pengguna, katanya, jumlah bonus tahunan itu akan terus dimasukkan ke dalam akaun pengguna dalam bentuk tunai setiap tahun apabila tiada tuntutan dibuat.

Beliau berkata, Takaful Health adalah produk yang membayar pelanggan untuk menggalakkan mereka menjaga kesihatan dan pada masa sama melindungi pelanggan ketika sakit.

“Sejak Takaful Health mula dijual 12 November lalu, kami menerima maklum balas menggalakkan daripada pengguna dan ia dijangka memberi sumbangan ketara kepada pendapatan syarikat tahun ini,” katanya selepas pelancaran Takaful Health di Kuala Lumpur.

Takaful Health menyediakan lima pelan insurans perubatan iaitu TH100, TH150 TH200, TH300, TH400 dan TH500 untuk dilanggani pengguna seawal usia setahun hingga 60 tahun menerusi premium minimum RM100 hingga RM500.

Ia menawarkan had perlindungan perubatan tahunan antara RM50,000 sehingga RM150,000, mengikut pelan yang dipilih pengguna dengan perlindungan sehingga usia 80 tahun.

Azmin berkata, Takaful Health bagi TH200, TH300 dan TH400 juga dirangka supaya pengguna boleh meningkatkan had perlindungan tahunan sehingga 10 kali ganda, mengikut tuntutan yang diperlukan bagi perlindungan di luar jangka.

Katanya, sebagai ciri tambahan lain, produk ini juga boleh dilampirkan bersama pelan lain yang berkaitan, khususnya untuk pelaburan atau pendidikan seperti pelan Takafulink atau Takafulink Cerdik.

Turut hadir Ketua Pegawai Pengagihan Prudential BSN Takaful, Wan Azman Wan Mamat.

Sementara itu, Ketua Pembangunan Produk PruBSN, Zailan Arshad, berkata pihaknya mensasarkan untuk meluaskan rangkaian hospital panel tahun depan meliputi luar Lembah Klang, khususnya di pantai timur.

Katanya, usaha penambahan jumlah hospital panel berbanding 35 hospital ketika ini adalah sebahagian langkah untuk menarik lebih ramai pengguna produk PruBSN.

Beliau berkata, sehingga kini syarikat mempunyai kira-kira 300,000 pelanggan dan jumlah itu dijangka meningkat tahun depan apabila syarikat meluaskan rangkaian hospital panel di seluruh negara.

“Kami lebih menumpukan hospital di kawasan yang ramai pelanggan dan mencapai spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.

- BERITA HARIAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.