Sabtu, November 21, 2009

Latar belakang pendidikan, kerjaya antara faktor pengaruhi keinginan berumah tangga

Lewat berkahwin bukan sekadar menjadi isu peribadi atau menjadi topik perbincangan antara badan mewakili wanita tetapi turut mendapat perhatian pakar psikologi, kesihatan dan agama lantaran ia mempunyai hubung kait rapat dengan ketiga-tiga aspek itu.

Pakar psikologi, Wan Azreena Wan Jaafar, berkata terlalu banyak meluangkan masa kepada pendidikan menjadi salah satu faktor utama ramai wanita atau lelaki masih membujang selepas melewati usia wajar berkahwin.

Selain itu, apabila mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi, ia sekali gus menyukarkan seseorang wanita untuk menemui calon suami yang setaraf kerana merujuk kepada senario semasa jumlah wanita di IPT lebih ramai berbanding lelaki

"Kini, di IPT wanita lebih ramai. Situasi itu sekali gus menyempitkan lagi peluang wanita untuk mendapat pasangan sedangkan ketika di IPT adalah masa paling sesuai untuk bertemu jodoh. Contohnya, cuba lihat guru. Ramai yang berkahwin selepas ditempatkan di sekolah," katanya.

Masalah trauma selepas melihat keruntuhan rumah tangga di kalangan ibu bapa sendiri atau orang terdekat juga menjadi faktor menyebabkan wanita enggan berkahwin.

Katanya, apa yang berlaku di sekeliling hidupnya boleh membuatkan wanita tidak percaya pada lelaki sekali gus menolak perkahwinan. Jika berkahwin sekalipun, rasa kurang percaya itu tetap mendalam dan memberi kesan kepada rumah tangga.

"Terlalu lama memperuntukkan masa di tempat kerja juga mengurangkan masa berkualiti untuk seseorang itu bersosial sekali gus mengurangkan peluangnya mengenali individu lain yang berpotensi untuk dijadikan pasangan hidup.

"Ada pula yang terlalu menghargai kebebasan yang dimiliki ketika bujang sehingga rasa sayang untuk melepaskannya. Bagi mereka, perkahwinan itu satu komitmen dan ia cuba dielakkan. Senario itu banyak berlaku di Barat tetapi semakin menular di negara ini," katanya.

Dari sudut agama pula, penceramah bebas, Profesor Madya Dr Maznah Daud, berkata alasan tiada jodoh tidak boleh dijadikan sebab utama lambat berkahwin kerana sebagai umat Islam, perlu ada daya usaha untuk mencari pasangan hidup.

Malah, katanya, mengutamakan hal lain sehingga mengetepikan soal perkahwinan adalah sesuatu yang sangat tidak digalakkan dalam Islam.

"Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: 'Wahai golongan pemuda, siapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan, hendaklah dia berkahwin'. Ia menunjukkan bahawa perkahwinan itu sangat ditekankan dalam Islam.

"Malah, ada ayat al-Quran yang menyuruh wali atau sesiapa yang bertanggungjawab kepada seseorang wanita untuk mengahwinkan jagaannya yang belum berkahwin. Pada zaman Umar Al-Khattab, perempuan belum berkahwin, dikahwinkan.

"Gambarannya, peranan wali tetap sama meskipun zaman sudah berubah. Mereka tak boleh lepas tangan apabila anak sudah sesuai untuk berkahwin. Islam melihat perkahwinan itu sebagai satu keperluan dan ibadat. Ia penting bagi melahirkan generasi baru," katanya.

Dalam aspek kesihatan pula, perunding sakit puan di Pusat Perubatan Kajang Plaza, Profesor Madya Dr Jamil Mohd Sharif, berkata berkahwin lewat memungkinkan pelbagai risiko terhadap wanita terutama apabila mengandung pada usia melebihi 38 tahun.

"Wanita tak digalakkan mengandung selepas usia 38 tahun. Ia mendedahkan mereka kepada risiko darah tinggi, kencing manis serta kelahiran tak normal. Justeru, berkahwin lewat dikhuatiri mengundang masalah itu.

"Wanita tak sama dengan lelaki. Mereka hanya ada dua juta telur yang akan digunakan sebanyak 200 hingga 300 biji setiap bulan. Pada usia 45 hingga 50 tahun, telur itu akan habis dan mereka tidak boleh mengandung lagi

"Lelaki pula tak ada penghujungnya. Sperma masih boleh dikeluarkan walaupun sudah berusia. Justeru, isu berkahwin lewat di kalangan wanita lebih membimbangkan berbanding lelaki," katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts