Public Bank raih jenama unggul

Public Bank menerajui senarai 30 jenama syarikat Malaysia paling bernilai tahun ini dengan memiliki nilai jenama RM6.593 bilion, demikian menurut kajian penilaian Persatuan Ejen-Ejen Pengiklanan Berakreditasi (4As) dan akhbar mingguan, The Edge.

Kajian yang juga membabitkan Interbrand Asia-Pacific (Interbrand), sebuah syarikat perunding antarabangsa itu, turut menamakan Maybank di tangga kedua dengan nilai jenama RM5.374 bilion, diikuti CIMB (RM5.245 bilion), Celcom (RM3.993 bilion) dan Parkson (RM3.740 bilion).

Hasil kajian itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada majlis makan malam di Kuala Lumpur, malam tadi.

Hadir sama Presiden 4As, Datuk Vincent Lee; Presiden Interbrand, Stuart Green; dan Ketua Pengarang Business Weekly The Edge, Ho Kay Tat.

Kajian tahunan itu bertujuan menghargai dan memantapkan penjenamaan syarikat tempatan, khususnya syarikat terkemuka yang sudah beroperasi lebih 10 tahun.

Untuk layak bagi kajian berkenaan, jenama terbabit perlu mewakili sebuah syarikat senaraian awam atau dimiliki sebuah syarikat tersenarai, sama ada di Bursa Malaysia atau di bursa saham asing.

Jenama itu mesti juga dibangunkan di Malaysia atau dimiliki oleh syarikat tersenarai yang beribu pejabat di Malaysia, selain perlu memiliki ciri boleh memberi manfaat kepada pengguna.

Kajian tahun ini, turut menyaksikan dua jenama baru memasuki senarai 30 teratas iaitu Alliance Bank dan Premier, manakala Bonia kembali menyertai senarai terbabit selepas terkeluar tahun lalu.

Sementara itu, tiga jenama yang jatuh kedudukannya tahun ini pula adalah Proton, MAA dan Ogawa.

Berucap pada majlis itu, Nor Mohamed berkata, kerajaan menerusi Program Pembangunan Jenama SME, sudah melaksanakan beberapa inisiatif membantu syarikat Malaysia untuk menyepadukan jenama dalam amalan dan strategi perniagaan harian mereka.

Katanya, dengan matlamat membantu syarikat mengubah produk dan perkhidmatan mereka bagi mencapai kualiti serta kebolehpercayaan lebih tinggi di pasaran dalam dan luar negara, program berkenaan berupaya membantu peserta menjadi jenama yang terkemuka.

"Saranan kerajaan dalam mempromosikan kualiti produk Malaysia juga menumpukan terhadap aktiviti promosi perdagangan yang sentiasa dilaksanakan bagi mempromosikan jenama di pasaran domestik serta luar negara," katanya.

"Justeru, saya menggesa lebih banyak lagi syarikat tempatan tampil dan menyertai program yang ditawarkan ini serta memanfaatkan syarikat masing-masing dengan pelbagai insentif yang ditawarkan," katanya.

- BERITA HARIAN Public Bank raih jenama unggul

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.