Khamis, November 19, 2009

Gunakan laman sosial secara bijak

Laman sosial Facebook semakin mendapat tempat. Terbaru apabila Perdana Menteri mengumumkan, beliau sendiri turut menyertai laman sosial tersebut.

Menyedari bahawa Facebook kini semakin popular di kalangan rakyat, Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan turut mengambil manfaat daripadanya.

Sebagai pemimpin yang mahu "mendekati dan didekati rakyat", Najib memilih laman sosial ini untuk berkongsi pelbagai perkara.

Rakyat tidak kira di mana berada, kini boleh mengenali pemimpin utama negara ini dengan lebih dekat menerusi Facebook.

Malah kita juga digalakkan berkongsi pelbagai maklumat dengan menyuarakan pendapat kepada Perdana Menteri itu menerusi laman sosial berkenaan.

Paling menarik, laman sosial ini memberi peluang untuk semua rakyat mengetahui maklumat peribadi Perdana Menteri termasuk apa yang mungkin belum pernah kita ketahui selama ini dengan hanya klik ke alamat www.facebook.com/najibrazak.

Najib menggunakan pendekatan popular. Dalam zaman teknologi maklumat ini, penyertaan Perdana Menteri dalam laman sosial tersebut membolehkan akses kepada beliau dilakukan dengan lebih mudah. Semuanya hanya di hujung jari.

Sememangnya semua perkara ada baik dan buruknya. Namun jika diniatkan untuk kebaikan, maka ia akan menjurus kepada kebaikan dan memberi banyak manfaat.

Sebelum ini kita dikhabarkan bahawa laman sosial tersebut turut digunakan oleh ah long untuk tujuan mengugut mangsa-mangsa mereka. Ah long dikatakan menggunakan laman sosial itu untuk memalukan mangsa.

Maka penggunaan Facebook mempunyai kesan positif dan negatifnya. Namun segalanya bergantung pada niat.

Najib mengambil pendekatan untuk meneroka kebaikan Facebook. Beliau meletakkan harapan agar rakyat boleh mendekatinya menerusi laman sosial tersebut.

Setakat ini, Facebook yang disertai Najib sejak 13 Oktober lalu mempunyai seramai 7,106 penyokong.

Jumlah itu meningkat mendadak selepas pengumuman mengenainya kelmarin.

Kita pasti jumlah yang mengunjungi laman sosial Perdana Menteri ini akan meningkat dan mereka yang menjadi penyokong juga akan bertambah.

Dalam keadaan banyak pihak cuba mempertikaikan cara kepimpinan Najib, apa salahnya untuk kita melayari laman sosial beliau ini.

Cubalah mengenali pemimpin utama kita ini dan belajarlah memahami apa yang cuba dilakukannya untuk negara dan bangsa.

Jika kita mempunyai idea untuk disumbangkan, kenapa tidak turut serta? Sekurang-kurangnya ia mungkin akan diberi perhatian jika ia adalah idea yang bernas.

Berilah peluang untuk beliau mentadbir dan membuktikan keupayaannya.

Usah terlalu cepat membuat andaian dan memberi penghakiman dalam tempoh yang terlalu singkat.

Jangan hanya gemar mencari kesalahan dan mendedahkan aib orang termasuk membuat fitnah di laman-laman blog. Belajarlah untuk bersikap adil.
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts