Isnin, Oktober 05, 2009

Malaysia komited untuk terus jadi jiran yang baik

Mendengar cakap-cakap 'kedai kopi', ramai yang membantah usaha Malaysia membantu mangsa gempa di Indonesia kali ini. Ramai yang terkilan kerana rakyat seberang seperti tidak pernah belajar untuk berterima kasih.

Ramai yang masih berkecil hati atau mungkin marah dengan kempen 'ganyang Malaysia' yang cuba disemarakkan oleh segelintir kecil rakyat Indonesia, baru-baru ini.

Jika dilihat bagaimana sesetengah rakyat Indonesia melenting bila sesuatu isu timbul, memang mungkin agak berat untuk diterima. Dan ia memang menjadi satu hakikat. Ia berlaku sejak sekian lama.

Dan jika dilihat pada budi rakyat Malaysia selama ini, provokasi seperti usaha mengusir rakyat negara ini dari Indonesia atau tindakan membakar bendera Malaysia tidak seharusnya berlaku. Tetapi ia tetap berlaku walaupun hanya kerana isu sekecil "tarian pendet".

Bagaimanapun ternyata majoriti rakyat Malaysia tidak mudah melatah. Api tidak pernah dibalas dengan curahan minyak.

Kini ketika saudara serumpun di negara seberang ditimpa musibah terbaru, wujud gerakan di kalangan rakyat negara ini untuk membantu seboleh mungkin.

Sejak kelmarin, bantuan dari Malaysia mula dihantar ke sana. Bukan sahaja di pihak kerajaan malah NGO-NGO turut menyatakan komitmen untuk membantu mangsa di Sumatera itu.

Semuanya dilakukan atas nama kemanusiaan. Rasa kecil hati dan marah diketepikan. Hati siapa tidak tersentuh ketika menatap gambar-gambar mangsa gempa khususnya kanak-kanak.

Maka rasa marah terhadap sikap segelintir kecil rakyat Indonesia diketepikan.

Dan pastinya seperti apa yang pernah berlaku sebelum ini - terutama ketika Tsunami 2004 - rakyat Indonesia akan melihat bantuan dari Malaysia akan terus mencurah.

Lihat sahaja apa yang berlaku di Padang. Bantuan sangat diperlukan di sana ketika ini dan bukannya dendam.

Lupakan sahaja provokasi yang berlaku di Jakarta. Ingat saudara serumpun seagama di Sumatera Barat yang kini menanti secebis doa dan bantuan dari kita di sini.

Seringgit dua mungkin tiada makna bagi sebahagian besar kita di sini tetapi jumlah itu bila dikumpulkan, bakal menjadi sesuatu yang sangat bermakna untuk mangsa gempa di Padang.

Maka atas semangat saudara dan jiran serumpun serta kemanusiaan yang masih menebal dalam jiwa kita, marilah kita bersama-sama menyumbang untuk meringankan beban mereka.

Marilah kita berganding bahu sebagai rakyat Satu Malaysia untuk terus komited menjadi jiran yang baik kepada rakyat negara serantau.

Buktikan kepada mereka dan kepada sesiapa sahaja bahawa provokasi yang dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab itu tidak akan melunturkan semangat kemanusiaan di jiwa kita rakyat Malaysia.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.