Rabu, Oktober 14, 2009

KLPlus, Perlis, N.Sembilan, Trg, Johor FC, KM Naza, Selangor & Kelantan layak ke Suku Akhir Piala Malaysia 2009

Juara bertahan, Kedah sah tersingkir daripada persaingan suku akhir bola sepak Piala Malaysia biarpun membelasah Pulau Pinang 4-0 di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, semalam.

Dengan sekadar memungut 10 mata, Sang Kenari kempunan tiket suku akhir setelah Perlis, Terengganu dan KM Naza meragut kedudukan untuk menjadi tiga naib juara terbaik masing-masing daripada Kumpulan A, B dan D.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, gol tunggal Ahmad Fakri Saarani ke atas kelab Wira Lebuh Raya, KL PLUS itu sudah cukup melayakkan Singa Utara menerusi kemenangan keempat selepas melalui enam perlawanan.

Kemenangan 2-0 Negeri Sembilan bagaimanapun tidak menjejaskan laluan Terengganu sebagai wakil kedua Kumpulan B yang terselamat dengan kutipan 12 mata berbanding naib juara kumpulan lain selepas enam perlawanan.

KM Naza pula memanfaatkan sikap selesa dan mengambil mudah Selangor yang sudah pun layak dengan mengejutkan juara Kumpulan D itu, 3-2 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Mereka mengiringi Johor FC yang turut mengesahkan tiket tersebut selaku juara Kumpulan C selepas terikat 1-1 dengan Perak di Stadium Perak, Ipoh hasil jaringan Farid Ideris pada minit ke-45 dan Saufi Saaidi (72).

Turut telah menempah tiket suku akhir sejak dua perlawanan lalu ialah Kelantan, KL PLUS, Negeri Sembilan dan juara Piala Sultan Ahmad Shah, Piala FA dan Liga Super musim 2009, Selangor.

Malah Kelantan yang menjadi pasukan pertama layak, tidak menunjukkan belas selepas membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 5-0 di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu.

Sayap kiri kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin mencatat hatrik Wira Merah pada minit ke-58, 71 dan 81 sementara dua lagi gol sumbangan Che Hishamuddin Hassan (38) dan Nor Farhan Muhammad (55).

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang mengutip kemenangan sulung setelah membelasah Melaka 6-0 pada perlawanan terakhir yang tidak mampu membawanya ke suku akhir daripada Kumpulan A.

R. Kartigesu mencatat hatrik pada minit ke-52, 62 dan 69, dua gol daripada Rahman Kadir (28 dan 37) serta satu lagi jaringan penalti Razlan Oto, seminit sebelum tamat permainan, melengkapkan malam derita dan tanpa kemenangan Melaka.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts