Ahad, Oktober 04, 2009

Hari Penglihatan Sedunia

Khamis kedua bulan Oktober setiap tahun merupakan tarikh sambutan Hari Penglihatan Sedunia. Sambutan ini diadakan bagi meningkatkan pemahaman dan perhatian kepada masalah penglihatan dan kebutaan yang boleh dicegah di seluruh dunia.

Tahun ini, sambutan Hari Penglihatan Sedunia bertumpu kepada penyediaan khidmat rawatan untuk masalah mata yang sekata antara lelaki dan wanita. Tema ini dipilih berikutan wanita dan gadis muda merangkumi dua pertiga individu buta di seluruh dunia. Kebanyakan daripada mereka juga tinggal di negara miskin atau kawasan yang sukar untuk mendapatkan rawatan berbanding lelaki.

Ancaman utama

Dianggarkan 90 peratus individu yang buta tinggal di negara yang miskin dengan sekitar 8 juta orang kekal buta akibat tidak menerima rawatan sewajarnya. Ujian mudah ke atas mata dan juga penggunaan cermin mata mungkin dapat memulihkan penglihatan sebahagian besar daripada mereka yang 'buta' ini.

Antara masalah mata yang paling banyak dikesan dan biasa berlaku kini adalah katarak, glaukoma, kemerosotan makular berkaitan usia (AMD) dan retinopati diabetik. Ada yang boleh dipulihkan kembali walaupun selepas mencapai tahap hilang penglihatan sepenuhnya. Namun, banyak juga yang tidak dapat dipulihkan lagi jika sudah menjadi buta. Apa yang penting, adalah langkah pencegahan dan pengesanan awal.

Jika masalah mata yang dihadapi tidak dapat dipulihkan sekalipun, masih terdapat kemungkinan perkembangannya dilengahkan supaya pesakit tidak menjadi buta dalam tempoh singkat.

Katarak merupakan antara masalah paling biasa ditemui, biasanya di kalangan warga emas. Pembedahan katarak juga kini menjadi antara pembedahan perubatan yang paling banyak dilakukan di seluruh dunia.

Glaukoma pula menjadi antara masalah yang senyap dan boleh menyebabkan pesakit buta tanpa disedari atau tiba-tiba.

Masalah ini juga menyebabkan kerosakan kekal. Dalam kata lain, kerosakan kepada saraf optik tidak dapat dipulihkan.

Jika pesakit sudah buta, sukar untuk dibantu lagi. Jika dikesan awal, perkembangannya dapat dikawal supaya penglihatan dapat dikekalkan selama mungkin.

Retinopati diabetik merupakan masalah yang biasa dikaitkan dengan penghidap diabetes. Risikonya bergantung kepada berapa lama seseorang menghidap diabetes dan berapa teruk peningkatan gula di dalam darah.

AMD pula merupakan masalah mata yang menjejaskan makula mata (yang menentukan ketajaman penglihatan). Biasanya mempunyai kaitan usia, mereka yang menghidap tekanan darah tinggi, mempunyai sejarah keluarga atau perokok juga berisiko menghidap AMD.

Memahami situasi

Perlu diingat bahawa 80 peratus punca kebutaan boleh dielakkan, sama ada boleh dirawat, dipulihkan atau dicegah daripada berlaku. Punca bilangan besar penduduk dunia yang mengalami masalah penglihatan dan kebutaan bukan sahaja terletak kepada faktor kemampuan dan kemudahan perubatan. Apa yang lebih penting adalah tahap pemahaman dan juga pengetahuan semasa mereka terhadap masalah mata dan juga rawatan terkini yang dapat membantu.

Individu yang tinggal di negara kaya dan maju sekalipun akan kekal buta jika pendedahan mengenai rawatan, pemulihan dan pencegahan masalah mata tidak sampai kepada mereka.

Pendedahan ini juga bukan hanya menjadi tanggungjawab doktor dan kakitangan kesihatan, malahan menjadi tanggungjawab ahli keluarga, jiran tetangga, sahabat handai dan juga komuniti umum untuk dikongsi bersama.

Namun, masih ramai di antara kita yang tidak mengambil endah situasi mereka yang mempunyai masalah mata mahupun yang buta.

Mungkin ramai yang bersimpati dengan individu yang sudah buta, membantu mereka dari segi kewangan atau keringat seperti membantu mereka melintas jalan. Tetapi, di kalangan mereka, ramai juga yang mengabaikan sikap anak dan ahli keluarga lain yang menghina, mengejek atau merendahkan individu yang mempunyai masalah penglihatan ataupun buta.

Sikap mengambil mudah golongan dewasa telah menyebabkan ramai individu yang menggunakan cermin mata, tongkat mahupun alat bantuan penglihatan lain berasa terhina.

Sama ada sikap mereka sendiri atau membiarkan anak-anak mengejek penggunaan cermin mata menyebabkan ramai individu yang rabun dan buta berasa rendah diri dan terpinggir. Atas alasan cuma sebagai jenaka dan hiburan ringan, masih ramai yang tidak peduli atau ingin memahami betapa individu dengan masalah penglihatan berasa terperangkap dalam dunia mereka, diselubungi bermacam sempadan dan halangan.

Bagi mereka yang memerlukan bantuan untuk melihat (cermin mata, tongkat dan sebagainya), ejekan dan penghinaan mereka yang mempunyai penglihatan normal memberi kesan besar dalam hidup. Kanak-kanak misalnya, ramai yang berasa rendah diri dan mula menjauhkan diri dari rakan sebaya. Tidak kurang juga yang enggan menggunakan cermin mata mahupun alat bantuan lain kerana ingin diterima atau mengelakkan kutukan.

Namun, perkara yang paling menghiris hati mereka adalah halangan dan sempadan yang menghalang mereka menyertai rakan dan keluarga dalam aktiviti mahupun acara.

Menjelajah, berenang mahupun menyertai sukan lasak sukar dilakukan mereka yang dibelenggu penggunaan cermin mata, tongkat, mahupun mana-mana alat bantuan lain. Ditambah dengan ejekan rakan sebaya, golongan yang mempunyai masalah penglihatan bagaikan berada dalam satu kelas yang berbeza, asing dan dipinggirkan golongan biasa.

Tiga kisah individu yang mempunyai masalah penglihatan yang dikongsi bersama minggu ini menunjukkan bagaimana ilmu dan persekitaran memainkan peranan besar dalam hidup mereka.

Kurang pendedahan dan pengetahuan menyebabkan mereka yang mempunyai masalah penglihatan berterusan menderita dalam 'penjara maya' yang memerangkap kehidupan seharian mereka. Sokongan dan dorongan individu di sekitar, terutamanya ahli keluarga dapat mendorong mereka mencari jalan penyelesaian dan lebih mengambil berat akan diri dan deria penglihatan.

Tidak kira lelaki mahupun wanita, masalah penglihatan tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja. Fahami apa yang menyebabkan masalah penglihatan dan ketahui jika terdapat rawatan atau langkah melengahkan perkembangan penyakit yang dihidapi.

Bagi mereka yang 'sempurna' pula, cukuplah sudah kelalaian dalam menghina kekurangan individu lain. Kemerosotan deria penglihatan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Beringat sebelum terkena, jadikan kisah mereka sebagai iktibar dan peluang mengekal dan melindungi penglihatan diri dan keluarga.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.