Isnin, Oktober 05, 2009

Harapan tipis temui mangsa gempa bumi Indonesia

Sebuah lubang besar telah digali di tanah perkuburan awam Tunggul Hitam di Padang untuk mengebumikan 11 mayat yang tidak dapat dikenal pasti daripada runtuhan Hotel Ambacang, sebuah hotel popular dengan masakan pedas dan bumbung melengkung.

Pasukan penyelamat yang terus memeriksa runtuhan di hotel itu serta bangunan lain di bandar ini juga tidak menaruh harapan untuk menemui lagi mangsa yang masih hidup dalam gempa bumi di Sumatera Barat pada Rabu lalu.

Pekerja bantuan yang masuk lebih jauh ke kawasan pedalaman di Sumatera Barat menemui kampung-kampung yang terbenam dalam tanah runtuh dan mangsa berada dalam keadaan yang sangat memerlukan makanan, air dan tempat perlindungan.

"Hanya saya seorang yang tinggal. Anak, isteri, ibu mertua saya, mereka semua sudah tiada. Mereka sudah ditelan bumi," kata Zulfahmi, 39, seorang penduduk kampung Kapalo Koto, dekat Pariaman, kira-kira 40 kilometer ke utara Padang.

Dia berada bersama-sama 39 ahli keluarga sewaktu gempa bumi berukuran 7.9 skala Richter itu berlaku lalu mencetuskan kejadian tanah runtuh yang menenggelami kampungnya.

Di kawasan yang lebih terpencil, sekurang-kurangnya lima perkampungan dipercayai tertimbus di bawah lumpur dan batu. Di satu kawasan, tanah runtuh telah membenamkan seluruh penduduk yang sedang menghadiri satu majlis perkahwinan.

"Di kampung Pariaman, kami anggarkan kira-kira 600 orang mati.

"Sebuah menara setinggi 20 meter di salah sebuah kampung turut tertimbus sama sekali, jadi saya membuat andaian seluruh kampung tersebut telah terbenam sedalam 30 meter," kata ketua pusat bencana Kementerian Kesihatan, Rustam Pakaya.

Menteri Kesihatan Indonesia, Siti Fadillah Supari memberitahu Reuters bahawa kerajaan menganggarkan angka kematian boleh mencecah 3,000 orang.

Ancaman penyakit kini menimbulkan kebimbangan terutamanya di bandar Padang, di mana bau mayat reput menyelubungi udara di sekitar bangunan-bangunan yang musnah, kata beliau.

Di Padang, sebuah bandar pelabuhan yang mempunyai 900,000 penduduk, penyelamat menggali di celahcelah runtuhan bangunan untuk mencari beribu-ribu orang yang masih terperangkap.

"Kami sedang melakukan pemeriksaan terakhir, sebelum kami boleh mengisytiharkan fasa menyelamat sudah berakhir. Kami berpendapat kami berada di penghujung fasa menyelamat," kata pekerja penyelamat dari Britain, Peter Old daripada pasukan Rapid UK.

Beliau mengakui kemungkinan untuk menemui mangsa yang masih hidup adalah sangat tipis.

"Peringkat untuk menghentikan kerja menyelamat sudah bermula," katanya.

Kawasan Chinatown di Padang, terdiri daripada rumah-rumah kedai yang sudah usang turut musnah sama sekali dalam gempa bumi itu.

- Reuters

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.