Ahad, September 06, 2009

Syahdu di permata baru Putrajaya

Oleh Zin Mahmud

Berdiri di aras utama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin menghadap tasik Putrajaya merupakan detik pengalaman yang indah dengan menikmati suatu kecemerlangan seni bina dan reka bentuk bangunan.

Ini kerana apabila seseorang itu berdiri menghadap ke tasik, apa yang dilihat ialah betapa air yang berada di kolam pada aras masjid itu seolah-olah bercantum sambung dengan tasik yang menjadi pemandangan latar kepadanya.

Sedangkan ia adalah kolam memanjang di tepi masjid itu tetapi reka bentuknya menyebabkan rumah ibadat ini meliputi keseluruhan

Putrajaya. Sememangnya dari masjid ini, dapat dilihat dengan jelas Masjid Putra dan Bangunan Perdana Putra yang mempunyai kubah reka bentuk tradisi bangunan Islam.

Di Putrajaya, satu lagi bangunan yang

mempunyai kubah indah seperti Taj Mahal ialah Istana Kehakiman. Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidi ini juga mempunyai kubah. Tetapi reka bentuknya dengan keseluruhan bangunan masjid ini bukan bercirikan tradisional. Ia mempunyai ciri-ciri minimalis dan pasca- moden yang lebih menepati azam umat Islam negara ini yang berjiwa wawasan masa depan.

Minimalis merupakan konsep yang

menggunakan ciri-ciri reka bentuk minima tetapi menghasilkan paparan indah. Sementara

pasca-moden merupakan pemikiran melangkaui kemodenan. Masjid Negara merupakan contoh seni bina modenis yang dipengaruhi oleh unsur seni Melayu.

Melihat ke dalam ruang Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin ini, reka bentuk dalamannya juga melambangkan pemikiran dan cita rasa terkini. Mihrab dan mimbar yang menggunakan bentuk empat segi dan bulat yang kemas, licin,

kelogaman dan tajam memberi suasana dan

semangat baru bagi para pengunjung.

Memang begitulah tujuan seni bina untuk manusia. Bagi sebuah rumah ibadat, seni bina yang hebat akan membantu para abid, atau pelaku ibadat untuk meningkatkan lagi keupayaan rasa khusyuk, syahdu, tawaduk dan bertafakur terhadap Yang Maha Esa.

Suasana ini mampu untuk membantu meningkatkan keindahan beribadat. Pakaian bersih, wangi dan indah untuk menghadap Ilahi mempunyai nilai tersendiri. Begitu juga dengan sejadah dan tasbih yang cantik. Sementara dalam masjid yang indah, dihiasi tulisan khat yang memukau, dan bacaan imam atau khatib yang merdu, kesemuanya dapat membantu seseorang melakukan ibadat.

Nyaman

Begitulah suasana pada Jumaat lalu ketika solat Jumaat yang pertama diadakan di masjid itu. Cuaca yang nyaman juga menambah lagi rasa syahdu. Suasana selepas hujan di Malaysia tentu menyegarkan persekitaran apabila ion positif tersebar di merata tempat.

Maka ruang masjid yang direka bentuk terbuka itu mengizinkan angin segar yang dingin memasuki keseluruhan masjid. Pancutan air dalam masjid menenteramkan lagi jiwa pengunjung.

Justeru, kedamaian keseluruhan Putrajaya sebagai kota pasca-moden sebuah negara Islam yang menaungi penduduk pelbagai agama di negara ini dengan doa semoga Malaysia menjadi negara Baldatun Toyyibaton Wa Rabbun Ghafur, negeri yang baik, aman dan makmur serta diampuni oleh Allah SWT.

Dalam khutbah yang disampaikan pada Jumaat itu, dinyatakan bahawa masjid ini akan terbuka kepada semua, bermaksud termasuk orang bukan Islam. Sememangnya masjid bukan saja untuk orang Islam, tetapi semua manusia.

Ini kerana dalam Islam, hakikatnya tidak ada istilah bukan Islam. Apa yang ada ialah belum Islam. Sesiapa pun manusia, walaupun memerangi Islam, selagi hayatnya masih ada, maka kemungkinan tetap wujud bahawa seseorang akan dikurniakan hidayah untuk memeluk agama Islam.

Islam dianggap sebagai rahmat bagi alam. Ia merupakan kebaikan bukan saja bagi umat islam tetapi semua manusia, malah semua makhluk. Maka Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin merupakan simbol naungan Islam ke seluruh penduduk di negara ini.

Dengan menamakan masjid ini pada Yang Dipertuan Agong juga mempunyai erti tersendiri. Sesungguhnya di Malaysia, Yang Dipertuan Agong yang juga ketua agama Islam di negara ini adalah penaung kepada semua rakyat, tanpa mengira kaum, anutan agama dan fahaman politik.

Di Asia Barat, Asia Tengah dan Asia Selatan, terdapat banyak warisan masjid indah yang dibina ketika pemerintahan islam pada zaman keemasannya. Iaitu ketika pemerintahan Umayah, Abasiah, Uthmaniah, Safawiah, Qajar dan Moghul. Tetapi itu pada masa lalu.

Lebih bermakna ialah ketika masjid baru yang moden dibina di negara-negara yang sedang pesat membangun seperti Malaysia. Dengan seni bina kontemporari menunjukkan kedinamikan umat islam negara ini bagi menghadapi masa depan.

Namun begitu, dari segi infra struktur, Malaysia tidak ada tolok bandingnya di kalangan negara-negara islam. bangunan-bangunan tersergam, lebuh-lebuh raya dan bandar-bandar baru.

Tetapi Malaysia kini amat memerlukan umat yang berkualiti. Bukan saja beretika dan berhemah tinggi, tetapi juga bersih daripada rasuah, serta juga mempunyai sifat toleran dan kesabaran, di samping kekuatan ilmu yang membolehkan penerokaan semula sains Islam yang sudah lama ketinggalan.

Bukan saja dengan adanya bangunan universiti tersergam, tetapi juga ilmu sejati yang dijana.
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts