Isnin, September 14, 2009

Kenapa dipalu gendang perang?

Oleh GUNAWAN MAHMOOD
Ulu Tiram, Johor Bahru

Saya sungguh tidak faham terhadap tingkah laku segelintir rakyat Indonesia dan media mereka yang bertindak mengapi-apikan rakyat mereka membenci Malaysia.

Saya rasa ini benar-benar sikap yang tidak sopan dalam mewujudkan satu rantau yang aman dan harmoni. Ini bukan masanya kita mendabik dada dan menyatakan siapa yang kuat.

Perjuangan kita harus berfokus bagaimana hendak menaikkan taraf hidup rakyat senusantara ini agar menikmati kehidupan yang lebih baik, meningkatkan kualiti hidup dan mengukuhkan kedudukan ekonomi kita. Konsep memakmurkan jiran harus diterjemahkan secara ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Elok saja tenaga yang dikerah untuk 'memerangi' Malaysia itu digunakan untuk membangunkan negara atau membantu rakyat mereka sendiri yang menghadapi musibah bencana alam.

Tenaga yang banyak itu penting bagi membangunkan infrastruktur yang rosak binasa. Usah sibuk memerangi saudara sendiri.

Mereka mesti sedar, beratus-ratus ribu rakyat Indonesia mencari nafkah di Malaysia. Mereka bertungkus-lumus bekerja siang dan malam mencari penghidupan yang lebih baik, malah mengirim pendapatan mereka untuk saudara mara mereka di Indonesia.

Tidak terfikir sama sekali mereka hendak memerangi Malaysia, tanah yang memberi rezeki kepada mereka. Jika pun negara ini hancur kerana diperangi mereka, apa lagi yang mereka dapat daripada negara ini?

Sebahagian kecil rakyat Indonesia agak emosional. Barangkali media mereka cuba mengalih perhatian daripada masalah yang mereka hadapi hari ini. Kerja mengapi-apikan rakyat tidak memberi apa-apa keuntungan kepada kedua-dua negara. Yang penting, bagaimana perut mahu diisi pada esok hari.

Bagaimana anak-anak boleh mendapat pelajaran untuk hari depan dan bagaimana rumah-rumah dapat dibuat untuk perlindungan.

Jangan diapi-apikan rakyat dengan omong kosong penuh semangat tetapi tidak membawa makna apa-apa.

Seruan memerangi Malaysia atau 'Ganyang Malaysia' bukan hal baru. Ketika Malaysia mencapai kemerdekaan dulu, seruan 'Ganyang Malaysia' sudah berkumandang. Kemerdekaan Malaysia dikatakan 'neo kolonialisme' atau penjajahan baru Imperialis British.

Lalu rakyat Indonesia diseru membantu rakyat Malaysia yang 'kebuluran' makan ubi kayu.

Komando-komando Indonesia terjun di Labis, Pontian dan beberapa tempat lain.

Rakyat Malaysia pula terpaksa mengadakan home guard bagi menjaga kampung masing-masing.

Akhirnya, mereka tertipu kerana rakyat Malaysia hidup aman tenteram dan cukup sandang pangan (makan pakai).

Sejarah tidak pernah menipu. Hari ini, seruan-seruan memerangi Malaysia kedengaran lagi.

Mujurlah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Susilo Bambang Yudhiyono pemimpin yang sabar, panjang akal dan tenang. Mereka tidak terkocoh-kocoh atau hilang sabar atas desakan pemimpin-pemimpin jalanan.

Wajar kedua-dua mereka diangkat sebagai pemimpin dua negara Nusantara yang terkenal ini.

Pemimpin tidak beromong kosong, mereka menilai daripada pelbagai sudut untuk mencari jalan membahagiakan rakyat jelata.

Soal budaya bukan soal baru dalam hubungan Malaysia-Indonesia. Memang pada peringkat awal, kita lebih banyak mengagumi budaya Indonesia kerana kita merujuk Indonesia sebagai 'Abang Besar' dalam kesusasteraan dan kebudayaan.

Kita malah mengenali budayawan dan sasterawan Indonesia awal 60-an. Kita pelajari Sutan Takdir Alisyahbana, Hamka, Sanuse Pane, Khairil Anwar, WS Rendra dan lain-lain lagi. Malah mengagumi filem-filem dan novel-novel Indonesia juga.

Tapi itu dulu! Sekarang sudah 52 tahun Malaysia merdeka. Kita punya identiti dan jati diri yang tersendiri.

Soal kebersamaan tidak dapat dielakkan kerana pergerakan budaya dalam lingkungan Nusantara ini hadir bersama pengamalnya.

Usahlah hendak memerangi Malaysia. Marilah di bulan yang mulia ini kita bantu mangsa-mangsa gempa bumi.

Malaysia sendiri selalu hadir membantu seperti peristiwa tsunami dan mala petaka yang lain. Wujudkanlah Nusantara yang stabil dan sejahtera. Salam senusantara.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts