Jumaat, September 11, 2009

‘Fikir rakyat Indonesia di sini’

Hampir 28 tahun menetap di Malaysia dan sudah menyaksikan pasang surut hubungan Malaysia-Indonesia merentasi beberapa era pemimpin.

Oleh itu, Khairuddin Harahap barangkali individu paling layak melontar pandangan mengenai riak perhubungan antara kedua-dua buah negara yang kembali berkocak ketika ini.

Pengarah Kajian Sosiologi Indonesia ini melihat apa yang berlaku sebenarnya adalah disebabkan oleh provokasi pihak ketiga yang mempunyai maksud dan kepentingan tertentu. Beliau juga berkeyakinan rakyat Indonesia yang keterlaluan melampiaskan perasaan marah terhadap Malaysia itu langsung tidak mengetahui situasi sebenar yang berlaku.

Kegagalan pihak berkuasa serta kerajaan Indonesia menangani kebangkitan sentimen kebencian terhadap Malaysia sehingga berjaya dimanipulasi oleh media turut memburukkan keadaan. ‘‘Di Indonesia demokrasi dan kebebasan bersuara begitu bebas. Jadi inilah antara natijahnya apabila kemarahan rakyat itu tidak dibendung dan diperbesarkan pula oleh media,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL, baru-baru ini.

UTUSAN: Apa sebenarnya yang mencetuskan sentimen kemarahan terhadap Malaysia di Indonesia?

KHAIRUDDIN: Saya melihat apa yang berlaku adalah kerana masalah laporan berita oleh media di Indonesia. Media di sana selalu mencari perkara sensitif tentang Malaysia dan sering kali laporan berita itu tidak seimbang. Sebagai contoh jika berlaku kes penderaan pembantu rumah atau seperti isu penggunaan budaya Indonesia di dalam dokumentari mempromosikan Malaysia baru-baru ini, media di sana terlalu memperbesarkannya.

Tetapi ketika puluhan rakyat Indonesia melakukan jenayah di negara ini dan ada yang ditembak mati oleh polis Malaysia sewaktu melakukan jenayah, berita itu jarang dimainkan oleh media Indonesia. Sehinggakan pada pandangan mereka, semua rakyat mereka yang mencari rezeki di Malaysia baik-baik belaka. Padahal hakikatnya tidak seperti itu. Tanpa laporan berita yang tidak seimbang, isu-isu seperti ini tidak akan berkembang.

Kenapa wujudnya sentimen sebegitu di kalangan media Indonesia?

Terdapat segelintir kumpulan di Indonesia yang sangat ‘silau’ dengan kemajuan yang dikecapi oleh Malaysia. Seharusnya jika tetangga kita maju, kita melihatnya dari sudut positif dan belajar bagaimana boleh menjadi sedemikian maju, sedangkan kita (Indonesia) dulu yang mengecapi kemerdekaan. Jadi mengapa kita tidak boleh maju seperti mereka?

Walaupun kumpulan yang cemburu dengan pembangunan Malaysia ini hanya segelintir, namun mereka mempunyai pengaruh yang besar dan menggunakan isu ini untuk membangkitkan sentimen terhadap Malaysia. Perkara ini juga berlaku kerana persaingan media di sana sangat tinggi.

Adakah kerajaan Indonesia mengambil langkah yang wajar dalam mengekang provokasi ini?

Seharusnya yang menjaga kepentingan Indonesia secara rasmi ialah Duta Besar Indonesia di Malaysia. Kita mengharapkan duta memainkan peranan yang penting secara berterusan untuk memperbaiki hubungan Malaysia-Indonesia. Tetapi dalam situasi ketika ini saya melihat hubungan itu bukannya bertambah baik, tetapi semakin tegang.

Saya tidak mengatakan Duta Indonesia gagal melaksanakan tugas. Tetapi beliau perlu berusaha lebih keras supaya hubungan ini dapat diperbaiki. Ketika zaman Presiden Suharto, hubungan Malaysia-Indonesia begitu akrab. Tidak ada isu-isu seperti ini dan duta-duta ketika itu juga dapat mengatasi permasalahan sebelum ia sampai ke pengetahuan umum atau media.

Jadi kenapa Duta Besar ketika ini tidak mampu mengatasi masalah ini sehingga ia terlepas ke media massa dan menjadi isu besar sehingga hubungan dua pihak menjadi tegang? Saya melihat prestasi Bapak Duta kebelakangan ini agak menurun.

Di Indonesia demokrasinya sangat bebas. Ini salah satu sisi negatif daripada demokrasi yang begitu bebas itu. Sesiapa sahaja boleh bercakap sesuka hati mereka. Sememangnya usaha kerajaan Indonesia mengurangkan desakan itu ada, tetapi ia hanya sekadar sebatas ucapan. Tindakan di lapangan tidak nyata.

Seperti dalam kejadian demonstrasi jalanan di Jalan Diponegoro, Jakarta kelmarin. Polis tidak seharusnya membiarkan penunjuk perasaan menahan kereta dan bertanyakan identiti rakyat Malaysia. Itu tindakan orang yang tidak bertamadun.

Kenapa polis membiarkan hal itu? Seharusnya sebaik kumpulan itu turun ke jalanan, polis tidak menunggu lama dan menghalang serta menahan mereka. Tidak sehingga ia diketahui oleh media dan kain rentang provokasi seperti ‘Sweeping Malaysia’ itu berjaya dirakamkan oleh media. Perkara ini tidak seharusnya dibiarkan kerana ia sangat mengganggu hubungan Malaysia-Indonesia.

Kelompok penunjuk perasaan itu juga tidak seharusnya memikirkan tentang diri mereka semata-mata, sebaliknya harus memikirkan tentang rakyat Indonesia di Malaysia. Mereka yang turun berdemonstrasi di jalanan itu sebenarnya tidak tahu situasi sebenar yang berlaku di Malaysia.

Menurut berita yang saya terima, mereka yang membawa kain rentang dan buluh runcing untuk mengusir orang Malaysia ialah penjaja, pembawa beca dan teksi serta penganggur. Mereka dibayar sebanyak 100,000 rupiah (kira-kira RM35) dan diberi nasi bungkus sebagai upah. Sesudah itu mereka bersurai. Jadi mereka bukan betul-betul militan yang mahu berperang dengan Malaysia.

Siapa pihak ketiga yang mengupah penunjuk perasaan itu?

Dalang itu sehingga kini tidak dapat dipastikan. Tetapi ada beberapa perkara yang boleh dikaitkan dengan provokasi ini. Ketika ini Indonesia dalam pembentukan Kabinet selepas kemenangan Presiden Susilo Bambang pada Pemilu lalu.

Jadi ramai di kalangan pemimpin merasakan mereka layak menjadi menteri lalu mempergunakan isu provokasi ke atas Malaysia ini sebagai posisi tawar-menawar jawatan terhadap Presiden.

Orang awam mungkin tidak tahu siapa di belakang penunjuk perasaan ini. Tetapi kalangan perisikan pasti tahu dan akan memaklumkan kepada Presiden bahawa pihak ini akan menggunakan pengaruh untuk menjadikan hubungan Malaysia-Indonesia kurang harmoni.

Jadi dalam keadaan seperti ini, mungkin Presiden akan mempertimbangkan agar pihak ini diberikan jawatan dalam Kabinet. Jika tidak, pihak ini akan melakukan gangguan yang seterusnya sehingga ia menjejaskan hubungan Malaysia-Indonesia. Jadi tidak mustahil sebelum menteri baru dilantik, akan ada gerakan anti-Malaysia yang lebih besar dalam masa terdekat dengan di belakangnya ialah orangorang yang mempunyai maksud seperti itu.

Kenapa Malaysia sering menjadi mangsa provokasi sedangkan di Singapura juga ada laporan kes penderaan pembantu rumah?

Kenapa Malaysia sering menjadi sasaran? Kerana pertengkaran seperti ini sebenarnya lebih kepada pertelingkahan abang dan adik. Jadi ia sangat menarik untuk diceritakan dan banyak pihak yang ingin mengetahui sejauh mana pertengkaran adik-beradik ini.

Jika cerita ini mengenai pertelingkahan antara Indonesia dan Singapura, orang tidak akan peduli dan akhbar juga tidak akan laku. Pertelingkahan Indonesia-Malaysia ini juga menarik perhatian rakyat Indonesia apabila si adik iaitu Malaysia pula jauh lebih maju daripada abangnya iaitu Indonesia.

Jadi dalam kemajuan Malaysia itu, si adik barangkali terlupa tentang masalah yang sedang dihadapi oleh abangnya. Kealpaan Malaysia itu mungkin kerana sebagai sebuah negara yang semakin pesat membangun, hubungan Malaysia tidak lagi sekitar negara Asia Tenggara, sebaliknya lebih meluas sehingga ke Barat, Asia Barat dan banyak lagi.

Maksudnya provokasi seperti ini akan terus kedengaran pada masa depan?

Persoalan antara Indonesia dan Malaysia ini tidak akan pernah berhenti sebab ia akan sentiasa ada naik dan turun. Tetapi jika pemerintah Indonesia benar-benar mahu isu yang membelenggu ini selesai, maka mereka perlu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya. Sehingga tidak ada lagi pembantu rumah atau buruh binaan perlu mencari rezeki di Malaysia.

Sebelum peluang pekerjaan kepada rakyat Indonesia ini tersedia, maka tidak perlulah rakyat Indonesia bercakap sombong. Merendah dirilah sedikit. Kita ini meminta dan yang meminta itu tangannya di bawah. Meminta bukan bererti kita mengemis kerana kita datang untuk bekerja. Kita tahu kita tidak mampu, jadi janganlah hidung tinggi. Usahlah sesuatu isu itu diperkecil atau diperbesarkan.

Tidakkah provokasi ini jika dibiarkan berpanjangan boleh menjadi semakin serius?

Untuk membayangkan pertelingkahan ini sehingga mampu mencetuskan perang, itu adalah sesuatu yang tidak mungkin. Tetapi hal ini boleh mengganggu iklim pelaburan baik di Malaysia mahu pun Indonesia. Pelabur akan menilai provokasi ini mampu mengheret kedua-dua negara ke kancah peperangan. Ini kerana mereka keliru.

Jadi tanggapan sebegitu akan menyebabkan iklim ekonomi Malaysia dan Indonesia tidak lagi sesuai dan selamat. Akhirnya pelabur-pelabur ini akan berpindah ke negara lain dan ini merugikan Malaysia dan Indonesia sendiri. Pelancong sama ada ke Pulau Langkawi atau Bali juga akan berkurangan.

Tambahan pula orang luar terutamanya Barat melihat di Indonesia sendiri ada kejadian letupan bom berani mati yang juga ada kaitannya dengan Malaysia. Jika provokasi ini berterusan, mereka akan berfikiran bahawa kejadian pengeboman itu akan berlaku lagi.

Adakah apa yang berlaku turut menjejaskan rakyat Indonesia di Malaysia?

Kami di sini selalu berusaha mempererat dan memanjangkan hubungan baik kerana kedua-dua pihak akan mendapat untung. Kami dapat pekerjaan di sini dan hasil pendapatan itu pula kami hantar untuk menjana ekonomi di Indonesia. Jadi kami di sini mahu hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia itu tetap terjalin.

Jika hubungan ini rosak, kami di sini terpaksa menanggung kerugian. Kami akan kirim pasukan dari sini pulang ke Indonesia dan mencari orang-orang yang merosakkan hubungan ini. Jika mereka boleh turun dan membuat kacau di jalanan, kami juga boleh berbuat demikian. Jangan gara-gara mereka, kami susah untuk mencari makan di sini.

Perlu untuk saya tekankan, saya sendiri sudah 28 tahun di Malaysia dan kelima-lima anak saya bersekolah sehingga ke universiti di negara ini. Malah kerajaan Malaysia juga memberi pinjaman pendidikan kepada anakanak saya serta ramai lagi rakyat Indonesia.

Jika tinggal di Indonesia, belum tentu anak-anak mampu menjejakkan kaki ke menara gading. Ini sangat jelas dan nyata. Jadi tidak ada sebab untuk Malaysia dituduh zalim. Memang tidak dinafikan adanya kes seperti penderaan ke atas pembantu rumah oleh pihak yang hilang kawalan. Tetapi itu tidak menggambarkan pendirian dan sikap kerajaan. Jadi bagaimana rakyat Indonesia boleh mendakwa Malaysia tidak baik?

Apa harapan kepada rakyat Indonesia dalam mendepani isu ini?

Harapan saya supaya rakan-rakan dan aktivis di Indonesia melihat situasi ini dengan jujur. Ini kerana mereka tidak tahu situasi sebenar di Malaysia. Mereka hanya meneropong dari jauh. Saya juga berharap mereka tidak terlalu banyak bercerita tentang Malaysia.

Tetapi kalau mahu, saya syorkan mereka datang dan melihat sendiri keadaan di Malaysia. Bertemu dengan seberapa ramai wakil serta pekerja-pekerja Indonesia di sini. Kemudian balik buat kajian dan barulah membuat komentar. Jangan membuat komentar yang hanya didengar dari kiri atau kanan. Itu hanya akan memanaskan situasi. Mereka perlu datang sendiri ke sini.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.