Ahad, Ogos 02, 2009

Temubual : Melayu perlu bersatu - Ku Li

Nama Tengku Razaleigh Hamzah sudah tidak asing lagi dalam arena politik negara. Sepanjang penglibatannya, beliau telah melakarkan pelbagai sejarah termasuk berusaha bertanding sebanyak dua kali bagi merebut jawatan Presiden UMNO.

Walaupun gagal berbuat demikian namun Tengku Razaleigh tidak pernah terfikir untuk meninggalkan parti tersebut, sebaliknya selagi tenang dan khidmatnya diperlukan beliau bertekad untuk terus berbakti kepada parti induk Melayu tersebut.

Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZIN MAHMUD, ZULKIFLEE BAKAR dan HAFIZAHRIL HAMID, Ahli Parlimen Gua Musang itu yang merupakan salah seorang tokoh politik Kelantan yang disegani memberikan pandangannya berhubung situasi politik semasa.

Untuk dikupas oleh beliau ialah mengenai penyatuan orang Melayu, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan masa depan UMNO di Kelantan.

Ternyata sekali, dalam pertemuan hampir sejam itu, Tengku Razaleigh amat menekankan soal perpaduan Melayu yang beliau anggap perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Beliau mahu orang Melayu mengenepikan perbezaan politik yang berlaku antara mereka.

Sebaliknya, beliau mahu mereka mencontohi kaum-kaum lain yang bersedia bersatu apabila ada isu berkaitan dengan kepentingan mereka biarpun berbeza fahaman politik.

MINGGUAN : Pada pandangan Tengku kenapa kedudukan orang Melayu agak terumbang-ambing selepas pilihan raya lepas. Bagaimana dengan kedudukan mereka sekarang dari segi politik, ekonomi dan lain-lain?

TENGKU RAZALEIGH: Orang Melayu ini barangkali mahu cara lama dikekalkan, nilai-nilai orang Melayu dan nilai-nilai keislaman sebagaimana yang diamalkan pemimpin-pemimpin kita terdahulu.

Ini sangat berbeza dari segi nilai, tingkah laku dan sifat pemimpin sekarang dan inilah persepsi orang. Mereka begitu gelojoh dalam tindakan, begitu angkuh dalam sifatnya serta tidak berapa mempedulikan keadaan orang di bawah.

Mereka asyik memandang kepentingan kelompok, puak atau kumpulan masing-masing walhal mereka berasal dari kaum yang sama. Ini yang menyebabkan orang menjauhkan diri dari UMNO. Sebelum ini walaupun mereka ini bukan ahli UMNO tetapi menggelar diri mereka sebagai orang kuat UMNO. Mereka ini dapat merasai semangat yang dibawa oleh UMNO.

Tetapi kini kita dapat merasakan macam ada kerenggangan berikutan daripada apa yang dilakukan oleh pemimpin dan apa yang diharapkan oleh orang ramai. Pemimpin sekarang ini lebih menunjukkan sikap elitis berbeza dengan dahulu. Mereka ini mahu menggunakan kereta besar, rumah besar mahu diraikan dalam majlis yang meriah.

Ini semuanya tidak menampakkan cara orang Melayu berpakat atau bersama. Ini yang menyebabkan orang merasakan pemimpin-pemimpin yang ada sekarang tidak boleh diharap terutama mereka daripada golongan muda. Mereka ini lebih cenderung menyertai pembangkang.

Kini kita boleh lihat golongan muda ini menyokong dan berkempen untuk DAP dan terdapat antara mereka orang Melayu. Jika dulu mereka bukan sahaja tidak mahu mendekati lambang DAP malah takut untuk mendekatinya. Sekarang sudah tidak ada lagi. Ini bukan kerana pendidikan, pendedahan, tetapi lebih kerana kegagalan pemimpin untuk mendekati mereka dan menjauhkan diri dari apa yang diharapkan oleh mereka.

Jadi untuk memulihkan keadaan ini seperti yang saya katakan tadi kita perlu kembali kepada cara yang lama. Tetapi ini bukanlah bermakna kita ini bukan orang Melayu kita masih orang Melayu. Biarlah melalui cara lama tetapi objektif untuk menyelamatkan orang Melayu akan tercapai.

Jangan kita berharap kepada penyelesaian masalah orang Melayu tetapi tidak tercapai, tidak ke mana-mana. Kita boleh lihat pemimpin dapat menikmati segala kebaikan dan kemewahan tetapi orang di bawah tidak dapat apa-apa. Contohnya jika kita lihat di Kuala Lumpur ini apabila banjir yang menanggung adalah orang bawahan. Pembelaan datang dalam tempoh dua tiga bulan. Jadi orang Melayu fikir pemimpin ini sepatutnya menyelamatkan kita tetapi tidak bertugas menyelamatkan kita.

Berbeza dengan zaman Tunku dulu di mana pemimpin tidak berada, tidak banyak wang untuk dibelanjakan tetapi sentiasa turun padang. Kita lihat pada zaman Tun Razak dahulu kerajaan tidak begitu kaya tetapi beliau sentiasa turun padang. Turun kampung orang dapat tanah, dapat Felda dapat macam-macam.

Bukanlah sekelip mata tetapi yang penting mereka dapat. Kerajaan dapat membantu dalam banyak bidang termasuklah pendidikan dengan menghantar mereka belajar bukan sahaja di dalam negeri tetapi juga di luar negeri seperti Britain, Australia dan sebagainya.

Ini harapan yang UMNO beri kepada mereka dan semuanya tercapai. Tetapi sekarang ini harapannya agak gelap.

Buat masa ini orang Melayu berasa kita banyak mengalah. Apa pandangan Tengku?

TENGKU RAZALAEIGH: Ada orang beritahu pada saya, sekarang ini Najib hanya menyerah sahaja. Segala apa yang patut kita dapat banyak yang diserahkan kepada orang bukan Melayu. Setakat ini orang Melayu masih belum mendapat apa yang cuba dilakukan oleh Najib. Itu anggapan orang Melayu. Bagi saya ini bukan soal rugi kerana kita tidak akan dapat 100 peratus yang kita tuntut sama ada orang Melayu, Cina, India kerana kita hidup dalam sebuah negara majmuk.

Tinggal lagi apa yang perlu ialah tolak ansur supaya kita akan dapat maksimum dari apa yang kita harapkan. Saya rasa setakat ini kita sudah dapat apa yang kita tuntut dulu baik dari segi pelajaran, ekonomi dan sebagainya. Namun kita tidak dapat 100 peratus. Macam apa yang dikatakan oleh Tun Dr. Mahathir, Dasar Ekonomi Baru orang Melayu hanya menguasai 20 peratus, namun saya berpandangan kita tidak mencapai 20 peratus pun malah kurang dari itu tetapi baiklah kita terima angka itu. Ia membuktikan kita telah berjaya mencapainya walaupun tidak mendapat 20 peratus daripada 30 peratus.

Tetapi bagi Dr. Mahathir beliau berkata kita telah gagal kerana tidak menguasai 30 peratus. Namun secara umumnya orang Melayu sudah berjaya dan dari segi pendapatan ia telah meningkat. Dari segi pelajaran orang Melayu telah mencapai kejayaan yang lebih baik berbanding dulu.

Ini menunjukkan orang Melayu semakin meningkat naik namun kita tidak boleh berbangga dengan apa yang kita capai kerana jika dibanding dengan orang lain kita masih jauh ketinggalan. Oleh itu orang Melayu perlu menyedari bahawa kita ini masih lemah dan perlu merasa insaf dan berusaha lebih dari orang lain.

Masa depan UMNO di Kelantan

Apakah Tengku melihat keadaan orang Melayu itu akan lebih baik jika kerjasama antara Pas dan UMNO lebih erat?
TENGKU RAZALEIGH: Saya bersetuju jika orang Melayu bersatu walaupun kita mempunyai pandangan yang berlainan.

Ini kerana politik sudah tentu membentuk haluan yang berbeza-beza tetapi banyak perkara yang dititikberatkan itu sama.

Kalau kita tengok MCA, DAP, Gerakan, SUPP, semua ini adalah parti yang didokong oleh orang Cina tetapi dalam banyak hal mereka boleh bersama tetapi dalam hal ideologi mereka berbeza. Seperti dalam soal kematian Teoh Beng Hock mereka bersama tetapi dalam soal dan perkara yang tidak berkaitan dengan jenayah Teoh mereka berbeza.

Jadi saya rasa tidak ada sebab kenapa orang Melayu tidak boleh bersatu. Dalam soal kerjasama politik, ia mungkin berbeza tetapi dalam perkara berkaitan kerjasama mencari titik pertemuan bagi perkara penyatuan Melayu dan Islam, saya rasa kita patut bersatu.

Namun terdapat pertanyaan sama ada rakan-rakan kita dalam BN boleh menerima kerjasama itu dan perkara sama perlu ditanya kepada kawan-kawan dalam pakatan pembangkang apabila Pas mahu bekerjasama dengan UMNO. Dan bagi saya tidak ada sebab kenapa kita tidak menerima kesepakatan ini.

Berdasarkan apa yang dilakukan oleh BN dan UMNO setakat ini, adakah Tengku yakin sokongan kepada kerajaan akan kembali kukuh?

TENGKU RAZALEIGH: Sama ada kita suka atau tidak orang ramai lebih memilih pembangkang sekarang dan ini persepsi mereka. Mereka berasa tidak yakin dengan kita sekarang. Oleh itu kita perlu melakukan pembaharuan yang mampu menarik bukan sahaja orang luar tetapi juga orang di dalam parti ini. Ia mesti bagi mengelakkan orang keluar dari parti kita. Saya dengar kira-kira dua bulan lalu di Perlis ada 3,000 ahli UMNO yang hendak keluar dari parti.

Saya bimbang tentang perkara ini kerana kita akan kehilangan ahli, sedangkan kita akan berhadapan dengan pilihan raya lebih kurang tiga tahun setengah lagi. Jika kita tidak lakukan sesuatu sekarang kita akan berhadapan dengan keadaan yang sangat sulit. Ini kerana kita bukan sahaja perlu menarik sokongan orang Melayu di luar UMNO tetapi juga meyakinkan rakyat secara keseluruhannya. Oleh itu UMNO sebagai tulang belakang orang Melayu bukan sahaja perlu meyakinkan orang Melayu tetapi rakyat keseluruhannya termasuklah orang Sabah dan Sarawak.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.