Isnin, Ogos 03, 2009

Remaja perempuan semakin nakal

Pelajar perempuan sering dikaitkan sebagai golongan yang mematuhi disiplin serta tekun dalam kelas berbanding pelajar lelaki.

Jika berlaku perselisihan faham antara mereka, ia hanya sekadar perang mulut.

Paling ganas pun aksi ketika bergaduh ialah tarik rambut atau tudung dan tampar menampar.

Namun, itu cerita dulu. Kini, pelajar perempuan lebih cenderung melakukan aksi ganas yang setaraf tindakan pelajar lelaki.

Contoh keganasan pelajar perempuan kini ialah kes sekumpulan pelajar perempuan memukul pelajar perempuan lain bagaikan lagak samseng.

Satu lagi kes yang menunjukkan keberanian mereka ialah tindakan sekumpulan pelajar menyebarkan agenda dua orang sahabat karib yang dipaksa bergaduh sesama sendiri secara meluas melalui Internet dan telefon bimbit.

Hasil kajian Institut Sosial Malaysia (ISM) mendapati kes salah laku jenayah di kalangan pelajar perempuan meningkat dalam tempoh tiga tahun sejak 2005.

Jumlah kes bertambah kepada 673 pada 2007 berbanding 523 kes pada 2006 dan 514 kes (2005).

Kes salah laku jenayah membabitkan pelajar perempuan sebanyak 100 dan ia meningkat kepada 600 kes dalam tempoh enam tahun, sama jenis kesalahan seperti pelajar lelaki, antaranya vandalisme, ponteng sekolah, bergaduh dan lari daripada rumah.

Kadang-kala kita tertanya juga, mengapa mereka berani melakukan perkara itu. Apakah jati diri sebagai insan yang dianggap lemah lembut sudah tiada lagi?

Ataupun mereka mahu perhatian keluarga dan memberontak untuk mengatakan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara?

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi & Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Wan Azreena Wan Jaafar, berkata banyak faktor menyebabkan pelajar perempuan bertindak ganas dan melakukan kes jenayah.

Beliau berkata, fenomena terikut-ikut apa yang mereka lihat atau dalam istilah psikologi disebut ‘modeling’ antara faktor pelajar wanita melakukan kes jenayah.

“Ia seperti kanak-kanak yang mengikut apa yang dilakukan ibu bapanya setiap hari sama ada baik atau sebaliknya.

“Eksperimen dilakukan terhadap beberapa kanak-kanak yang ditinggalkan dalam satu bilik bersama patung di sudut tepi.

“Kanak-kanak itu hanya bermain dengan patung kerana tiada reaksi apa-apa.

“Apabila patung disepak dan dipukul, kanak-kanak itu turut melakukan perbuatan yang sama terhadap patung mereka,” katanya.

Aksi lasak dan ganas yang ditonjolkan dalam filem turut mempengaruhi perlakuan mereka.

Selain itu, menurut Azreena faktor pengaruh rakan sebaya banyak menyumbang kepada keberanian pelajar perempuan untuk bertindak agresif.

“Jika seorang diri, pelajar perempuan tentu tidak berani melakukan keganasan atau kes jenayah, tetapi dorongan rakan sebaya, mereka sanggup berbuat apa sahaja,” katanya

Selain itu, katanya, kurangnya perhatian ibu bapa antara punca pelajar perempuan melakukan kes jenayah.

“Ramai ibu bapa sibuk mencari rezeki hingga mengabaikan tanggungjawab memelihara anak atau menyerahkan kepada pembantu rumah.

“Justeru, anak bebas melakukan apa sahaja tanpa kawalan dan ini menjadikan mereka berani untuk melakukan keganasan,” katanya.

Mengulas keinginan menarik perhatian dan berkuasa, ia bukan faktor utama pelajar perempuan sanggup melakukan kes jenayah.

“Perhatian bukan sesuatu yang diharapkan sangat pelajar, tetapi kuasa sangat penting. Jika ada kuasa dan ditakuti pelajar lain kerana keganasannya, mereka bangga serta bebas melakukan apa saja.

“Mereka dianggap istimewa di kalangan pelajar sekolah dan rakan sebaya lain terpaksa mengikut apa yang mereka arahkan,” katanya.

Azreena mengakui pelajar perempuan berdepan krisis identiti apabila mencecah usia remaja kerana mereka terpaksa mencari hala tuju dalam hidup.

Katanya, dalam proses mencari, ada yang keliru. Untuk menangani kekeliruan itu, mereka melakukan apa sahaja dan tidak sedar bertindak ganas atau terbabit dengan jenayah.

“Alam remaja adalah satu tahap di mana seseorang itu akan cenderung mencuba sesuatu yang baru kerana sifat ingin tahu.

“Sikap ingin tahu memang bagus tetapi jika tiada kawalan atau bimbingan, mereka akan terjebak dalam lembah maksiat dan jenayah.

“Mungkin mereka ingin tahu apa sebab orang lain menghisap rokok atau mengambil dadah, tetapi perbuatan itu akan memusnahkan diri sendiri,” katanya.

Dalam usaha menyelesaikan masalah ini, ibu bapa perlu memberikan bimbingan agama dan akhlak kepada anak-anak.

“Pegangan agama yang kuat seperti rajin bersolat, insya-Allah dapat menghindarkan seseorang itu melakukan perbuatan ganas dan jenayah,” katanya.

- HARIAN METRO

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.