Sabtu, Ogos 01, 2009

Pas tetap pertahan Permatang Pasir

Pas akan bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, di Pulau Pinang selepas penyandangnya, Allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, meninggal dunia, pagi semalam akibat sakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, berkata jentera pilihan raya Pas di Pulau Pinang akan digerakkan serta diberi taklimat sepenuhnya dalam tempoh terdekat ini sebagai persediaan menghadapi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, berkata Pas mula bertanding DUN berkenaan sejak 1999 dan yakin Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat akan sekali lagi memberi sokongan kepada parti berkenaan untuk mempertahankan kerusi Permatang Pasir.

"Pas amat sedih di atas pemergian wakil rakyatnya hari ini (semalam). Kita akan mempertahankan kerusi DUN Permatang Pasir yang dimenangi Allahyarham," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pas di sini, semalam.

Mohd Hamdan yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang selama 14 tahun menjadi wakil rakyat Permatang Pasir bermula 1999 dan Allahyarham adalah satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas di negeri berkenaan.

Di GEORGETOWN: Pas Pulau Pinang akan bermesyuarat dua hari lagi bagi membincangkan persiapan pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir.

Pesuruhjaya Pas negeri, Salleh Man, ketika dihubungi, belum bersedia untuk membincangkan perkara itu kerana mahu menyelesaikan urusan pengebumian jenazah Mohd Hamdan.

"Nanti dulu, dalam dua hari lagi, Pas negeri akan mengadakan mesyuarat," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata kerajaan Pulau Pinang mengucapkan takziah kepada keluarga Mohd Hamdan dan menyifatkan arwah seorang Adun yang sangat amanah menjalankan tanggungjawabnya dengan memperjuangkan kebajikan penduduk setempat.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts