Sabtu, Ogos 01, 2009

Analisis: Politik semasa pengaruhi pengundi Permatang Pasir

Oleh Fazli Abdullah

Lagi pilihan raya kecil. Itulah topik yang diperkatakan sebaik berita kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, yang juga wakil tunggal Pas dalam kerajaan Pulau Pinang, tersebar semalam. Selepas Pilihan Raya Umum 2008, dua pilihan raya kecil diadakan di Pulau Pinang dalam tempoh setahun dan menariknya, kedua-duanya membabitkan kawasan Permatang Pauh, iaitu satu bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh manakala satu lagi, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Pilihan raya kecil ketiga, iaitu yang akan diadakan tidak lama lagi bagi kerusi DUN Permatang Pasir berikutan kematian Mohd Hamdan, 63, akibat sakit jantung, juga dalam Parlimen Permatang Pauh. Parlimen Permatang Pauh yang diwakili Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempunyai tiga DUN iaitu Penanti, Permatang Pasir dan Seberang Jaya, masing-masing diwakili PKR, Pas dan Barisan Nasional (BN).

Pilihan raya kecil kali ini perlu diadakan berikutan kematian Mohd Hamdan kira-kira jam 7.15 pagi semalam selepas beberapa hari menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, meninggalkan seorang balu dan enam anak. Allahyarham menang tiga pilihan raya umum bagi kerusi DUN Permatang Pasir sejak 1999 selepas menewaskan calon BN dan menjadikan kerusi itu kubu kuat Pas. Sebelum itu, Allahyarham gagal dalam dua percubaan di DUN Penaga, Kepala Batas.

Pada Pilihan Raya Umum 1999, Allahyarham menewaskan Datuk Ahmad Saad dengan majoriti 3,154 undi. Pada 2004, Allahyarham menewaskan Datuk Md Isa Ramli dengan majoriti 679 undi. Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham yang memperoleh 11,004 undi, menang dengan majoriti besar iaitu 5,433 undi apabila menewaskan Ahmad Sahar Shuib yang mendapat 5,433 undi.

Pada pilihan raya umum lalu, DUN Permatang Pasir mempunyai 20,350 pengundi dengan Melayu mewakili 72.93 peratus, Cina (25.93 peratus), India (1.10 peratus) dan lain-lain (0.1 peratus). Pilihan raya kecil pertama di Permatang Pauh bermula apabila Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen bagi membolehkan suaminya, Anwar bertanding. Dalam pilihan raya kecil pada 26 Ogos tahun lalu, Anwar menewaskan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dengan majoriti 15,671 undi. Presiden Akim, Hanafi Mamat, yang memperoleh 92 undi, hilang wang pertaruhan.

Mei lalu, kerusi DUN Penanti pula kosong berikutan peletakan jawatan Mohamad Fairus Khairuddin yang dikaitkan dengan kes rasuah. Bagaimanapun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membersihkan namanya dengan membuat keputusan tiada kes terhadap beliau. Sebelum itu, beliau turut melepaskan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I. Dalam pilihan raya kecil itu, BN tidak meletakkan calon kerana tidak mahu terjerumus dalam permainan politik pembangkang. PKR mengekalkan kerusi itu apabila calonnya, Mansor Othman menewaskan tiga calon Bebas dan Mansor dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I.

Kini, tiba giliran DUN Permatang Pasir pula diuji selepas dua ujian pertama berpihak kepada PKR. Melihat beberapa pilihan raya lalu, DUN Permatang Pasir pernah menjadi kawasan selamat BN sebelum ditawan Pas pada 1999 melalui Mohd Hamdan. Sejak 1990 kawasan itu diwakili BN apabila Mohd Isa menang pada pilihan raya umum 1990 dengan majoriti 4,271 undi. Pada 1995, BN mengekalkan kerusi itu menerusi Ahmad. Pada pilihan raya umum itu, Ahmad yang memperoleh 8,764 undi menewaskan calon Pas, Yusof Abdul Latib (2,566) dan Mior Aarif Mior Hassan dari DAP (1,577).

Bagaimanapun, Pas mula menerajui kawasan itu apabila Mohd Hamdan menang dengan majoriti 3,154 undi pada 1999 menewaskan Ahmad. Pada pilihan raya 2004 dan 2008, Allahyarham terus mengekalkan kerusi itu apabila menewaskan calon BN, masing-masing Mohd Isa dan Ahmad Sahar, dengan majoriti 679 undi dan 5,433 undi. Majoriti besar yang diperoleh Allahyarham pada pilihan raya 2008, membuktikan penguasaan Pas di Permatang Pasir tidak boleh diperlekehkan oleh BN pada pilihan raya kecil yang akan diadakan.

Dengan kerusi DUN itu terletak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh yang diwakili Anwar serta Pulau Pinang dikuasai Pakatan Rakyat, Pas mempunyai kelebihan mempertahankan kedudukannya. Namun, mengambil kira kemenangan moral BN pada pilihan raya kecil Manek Urai selepas berjaya mengurangkan majoriti undi Pas kepada 65 undi, bulan lalu, BN khususnya Umno tidak perlu terlalu bimbang dengan peluang mereka.

Meskipun mungkin bakal melalui cabaran getir dan laluan sukar, BN terutama Umno Pulau Pinang di bawah kepemimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Umno Permatang Pauh yang dipimpin Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, perlu muhasabah diri dan menyusun strategi berdepan Pakatan Rakyat untuk kali ketiga dalam tempoh setahun. Jadikan pengalaman di Parlimen Permatang Pauh dan DUN Penanti sebagai cabaran untuk merampas kerusi itu.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts