Isnin, Ogos 10, 2009

H1N1: Semua Masjid digesa adakan solat hajat

Semua masjid di seluruh negara digesa mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat akan datang bagi memohon negara diselamatkan daripada penularan wabak influenza A (H1N1) atau selesema babi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom turut mencadangkan khutbah khas diadakan bagi menerang mengenai kaedah dan persediaan menghadapi penularan wabak tersebut.

''Saya harap semua masjid boleh mengambil inisiatif ini untuk kita sama-sama memohon kepada Allah agar negara dijauhkan daripada bahana penyakit ini.

''Mungkin pada hari Khamis malam Jumaat itu kita boleh adakan bacaan Yasin supaya keberkatan daripada Allah SWT, kita sama-sama dapat menghindarkan segala penyakit yang memudaratkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran Karnival Zakat dan Program Nur Ramadhan 1430 Hijrah anjuran Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang di Dewan Milenium di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang juga Pengerusi PUZ negeri, Shabudin Yahaya dan Pengurus Besar PUZ Pulau Pinang, Dr. Azman Abdul Samat.

Jamil Khir berkata, penularan wabak H1N1 semakin serius dan orang ramai khususnya umat Islam perlu melakukan segala persediaan bagi membantu kerajaan memerangi wabak tersebut.

''Selain usaha-usaha yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan, kita juga perlu mempersiapkan diri dan berdoa agar wabak ini dapat ditangani secepat mungkin," tambahnya.

Sementara itu, beliau memuji pendekatan PUZ Pulau Pinang yang kreatif dalam pengagihan wang zakat dengan mengamalkan kaedah 'memberi jala' berbanding pendekatan 'memberi ikan' semata-mata.

Melalui kaedah itu katanya, pengagihan sumber zakat tidak hanya berbentuk material tetapi disertai pemberian ilmu dan kemahiran agar golongan asnaf mampu meningkatkan keupayaan dalam bidang ekonomi.

''Saya tertarik dengan kewujudan Gerak Asnaf Niaga, Asnaf Kraf, PUZ Mart dan Asnaf Katering. Semuanya menunjukkan bagaimana penyaluran wang zakat sudah melalui transformasi yang sangat baik.

''Ini membuktikan golongan asnaf boleh dimajukan dan akhirnya mereka yang sebelum ini adalah penerima zakat menjadi golongan yang mempunyai kemampuan memberi zakat," katanya.

H1N1: Kawalan lebih drastik jika perlu

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengenakan langkah pengawalan yang lebih ketat dan drastik sekiranya perlu bagi mengelakkan virus selesema babi atau influenza A (H1N1) daripada terus menular.

Sambil melahirkan rasa bimbang dengan perkembangan yang berlaku, Perdana Menteri berkata, beliau akan berbincang dengan semua pihak yang terlibat bagi meneliti setiap cadangan sebelum mengambil sebarang keputusan.

''Cuma masalahnya kalau kita buat sesuatu ia akan melibatkan tindakan seperti membatalkan semua perjumpaan secara terbuka, pertemuan awam dan sebagainya sedangkan banyak keperluan untuk diadakan seperti mesyuarat parti politik, kegiatan rakyat dan sebagainya.

''Namun kalau perlu kita buat sesuatu yang lebih drastik, kita kena buat. Nampaknya kita tidak boleh biarkan perkara ini,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ampang dekat sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terbaru H1N1 yang menyaksikan sebanyak lapan lagi kematian disahkan sebagai berpunca akibat virus tersebut hari ini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat H1N1 meningkat kepada 26 di negara ini.

Sementara itu, Najib berkata, beliau akan mendengar terlebih dahulu sebarang pandangan atau cadangan spesifik daripada Kementerian Kesihatan esok sebelum mempertimbangkan sebarang syor dalam menangani wabak ini.

Kata beliau, ini disebabkan terdapat badan bertindak di peringkat kementerian yang terdiri daripada ahli profesional dan sehubungan itu penting untuk mendengar pendapat mereka ini sebelum sesuatu keputusan diambil.

''Lagi pun saya telah serahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi jawatankuasa peringkat Kabinet (Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik H1N1),'' jelasnya.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.